[9]

348 68 0
                                    

JAM menunjukkan hampir 9 pagi. Hujan sudah berhenti. Suara pemberita dari radio trak kedengaran perlahan. Hampir semua pasukan pemberontak di negara ini telah dilumpuhkan. Ketua-ketua mereka sudah berjaya ditangkap dan dibunuh. Perkhabaran itu disampaikan dengan nada gembira. Nell mematikan radio itu dengan perasaan benci.

Sayup-sayup kelihatan lampu-lampu dari trak-trak milik tentera sedang berkeliaran. Nell menekan pedal. Tayarnya berpusing deras, menerbangkan lumpur di sekeliling. Trak buruknya terus meluncur laju. Dia harus mengelakkan diri dari dilihat oleh mereka. Mungkin mereka juga dalam misi untuk memburunya.

Keadaan di bandar sesak dan huru-hara. Masih terdapat konfrontasi daripada pihak tentera dan perusuh-perusuh. Banyak jalan yang telah ditutup dan dikawal polis dan tentera. Nell terpaksa memberhentikan kenderaannya jauh dari situ.

Ramai yang berasak-asak di hadapan pagar yang dibina sementara itu, cuba masuk ke dalam bandar. Namun pihak polis telah membentuk beberapa lapisan benteng manusia yang lengkap dengan perisai, mengawas ketat jalan itu. Polis-polis itu juga sudah bersedia dengan anjing-anjing yang terlatih. Mereka sukar untuk ditembusi.

Nell menunduk dan melindungi wajahnya dengan brim topi. Dia cuba mengintai dari celahan kerumunan manusia itu. Dari dalam bandar kedengaran suara dan pekikan yang berselang seli dengan bunyi-bunyi tembakan. Asap-asap kelabu tebal berkepul ke awan. Rusuhan menjadi semakin buruk.

"Undur! Undur!!" kedengaran suara dari kerumunan perusuh yang ramai. Segera yang lain bertempiaran dari situ. Nell ternampak kelibat bom-bom buatan sendiri melayang laju ke arah benteng yang telah menghalang mereka itu.

BOOMMM!!

Serpihan batu dan besi, serta objek lain berterbangan di udara. Beberapa orang polis yang berada di barisan hadapan telah rebah ke tanah. Pagar yang kukuh tadi sebahagiannya telah patah dan runtuh. Nampaknya usaha mereka untuk masuk ke dalam bandar semakin berjaya.

"Maraa!!" laung mereka beramai-ramai.

Pergelutan yang dahsyat berlaku. Orang ramai merempuh masuk. Polis mula bertindak agresif memukul perusuh-perusuh itu. Mereka mengeluarkan senjata perenjat, alat berbentuk seakan pistol yang mampu menembak renjatan elektrik kepada sasaran walaupun dengan jarak yang jauh. Tanpa berlengah, polis-polis itu merenjat sesiapa sahaja yang melawan. Orang ramai tidak hanya diam. Mereka cuba menentang kembali dan membalas kekasaran yang diterima dengan menggunakan pelbagai objek seperti batang besi, kayu, batu, dan sebagainya.

Nell kini telah sama berasak di dalam rempuhan tadi. Keadaan kacau-bilau. Beberapa kereta dan harta benda telah terbakar. Sebahagian kecil perusuh terus-menerus membaling bom botol yang dibuat sendiri. Gas pemedih mata juga sudah dilepaskan. Jarak penglihatan semakin terhad. Keadaan semakin tegang.

Nell sebolehnya mengelakkan sebarang perkelahian. Kawasan yang sudah berkabut itu memberikannya kelebihan. Dia menyusup pantas melalui celahan ramai yang sedang bergasak dengan penuh keganasan. Sekali-sekala dia bersembunyi di belakang kenderaan dan menyusuri lorong-lorong kecil.

Dalam keadaan yang kalut itu, Nell terlihat beberapa kelibat. Jantungnya hampir terkeluar. Di sebalik kesamaran asap yang tebal, beberapa orang askar besi seperti yang menyerangnya semalam sedang merayau di persekitaran. Mereka tidak mengendahkan keadaan hiruk-pikuk di sekeliling, sebaliknya mereka seperti sedang mencari sesuatu. Sekarang, dia percaya askar-askar besi itu marah dengan kematian rakan-rakan mereka. Nell tahu kemungkinan besar mereka sedang mencarinya. Dia harus segera bersembunyi.

Nell menerjah masuk ke pintu belakang klinik. Segera pintu itu dikunci rapat. Dia berlari anak ke bahagian bawah tanah klinik usang itu. Bilik rahsia bawah tanah itu menjadi tempat Martin menyorokkan bekalan ubat-ubatan yang diseludup. Tapi dewasa ini, bekalannya hampir tiada. Setakat ini, askar-askar itu masih belum menemui tempat ini. Tapi tidak lama lagi, mereka akan tiba juga.

Lama budak itu menunggu di situ. Dia berharap lokasi persembunyiannya ini mampu bertahan hingga esok pagi. Mancis dibakar untuk menyalakan lilin. Cahaya itu cukup untuk menerangi bilik usang yang gelap itu. Di situ, ada dua buah katil besi tersusun rapi sebelah-menyebelah. Tilamnya yang tidak bersarung sudah lusuh dan terkoyak. Budak itu melabuhkan punggungnya di atas salah sebuah katil tersebut.

Nell merenung rak-rak besi tinggi dan besar yang berdiri di tepi dinding di setiap penjuru. Beberapa botol ubat masih lagi tersusun di situ bersama habuk yang kian menebal. Penglihatannya terhenti pada sebuah botol yang mengandungi cecair jernih. Dia bangun dan mencapai botol kaca itu. Labelnya dibaca.

...memperlahankan degupan jantung...

Nell merenung botol yang sememangnya dicari itu. Dia nekad untuk keluar dari sini, sekalipun dia perlu mati.

PARAGONWhere stories live. Discover now