[14]

314 66 0
                                    

KEADAAN di dalam dewan dua tingkat di bawah tanah yang suram dan panas itu sesak. Bau hapak dan tengik udara yang terperap serta bau peluh manusia bercampur aduk, menghasilkan aroma yang kurang menyenangkan. Botol-botol, daun-daun terup dan kertas-kertas judi bertaburan.

Kebanyakan lelaki-lelaki berbadan sasa, berpakaian compang-camping dan kusut masai memenuhi ruang. Ada yang mabuk dan ada yang bergaduh di hujung sudut. Pelayan-pelayan perempuan berpakaian mencolok mata, lincah berjalan di celah-celahan orang ramai. Ada yang membawa minuman dan tak kurang juga yang menawarkan perkhidmatan istimewa.

Suasana gamat dengan pekikan dan sorakan. Semua yang berada di situ memberikan tumpuan di bahagian tengah dewan, satu-satunya bahagian yang agak terang dan dikelilingi oleh pagar berdawai. Kawasan itu dipangil 'arena'. Orang ramai memenuhi kedua-dua tingkat dewan, berkerumun di sekeliling pagar.

Di tengah-tengah arena, satu perlawanan sengit sedang berlangsung. Seorang lelaki botak berbadan sasa dengan ketinggian hampir 7 kaki sedang tercungap-cungap. Dia hanya memakai seluar pendek. Badannya dipenuhi dengan tatu yang berwarna-warni. Ada rantai besi dalam genggamannya. Dia mengemaskan lilitan rantai itu di telapak tangan. Satu sengihan diberikan, menayangkan gigi-gigi besinya.

Berhadapan dengannya, seorang gadis dalam lingkungan 20-an yang tinggi lampai, 172cm, sedang berdiri. Peluh memenuhi wajah seluruh badannya yang berkulit keperangan. Baju berbelang hitam putih tanpa lengan menonjolkan otot-otot di lengannya. Matanya runcing dengan iris biru, penuh keyakinan. Rambut hitamnya dicukur di sebelah kanan dan sedikit panjang di sebelah kiri. Dia senyum dengan begitu sinis, seolah-olah mengejek lawannya.

Lelaki itu mara dengan pantas seperti kerbau yang ingin merempuh musuh. Mudah sahaja gadis itu mengelakkannya dengan gulingan tepi.

Tidak sampai 10 minit, lelaki itu telah tertiarap. Gadis itu sudahpun duduk di belakang badan lelaki sasa itu. Lututnya menekan kedua-dua lengan lelaki itu. Rantai besi lawannya dicapai dan dililit kuat pada leher tuannya.

Lelaki sasa itu mula meronta-ronta, namun badannya telah dikunci kemas. Perempuan itu mengetatkan lagi belitan besi-besi itu.

Wajah lelaki itu semakin pucat. Anak matanya meliar dengan mulutnya yang ternganga, bergelut untuk mendapatkan udara. Dia terus menggelupur dalam cubaan untuk melepaskan dirinya. Beransur-ansur tenaganya hilang.

Akhirnya, lelaki itu berhenti bergerak.

Suara manusia bergempita. Sorakan menggila. Seorang lelaki pertengahan umur dengan berpakaian sut lengkap masuk ke dalam arena menandakan perlawanan telah tamat. Dia menghampiri gadis itu yang sedang bangun dan berdiri. Wajah lelaki bermisai itu sungguh ceria. Mikrofon di tangannya didekatkan ke bibir dan dia menjulang tangan gadis itu.

"Tuan-tuan dan puan-puan, pemenang kita pada kali ini ialah... Azaka!!"

Teriakan penonton gemuruh. Gadis itu tersenyum lebar sambil berjalan menuju ke arah pintu keluar. Seorang lagi lelaki yang berpakaian sut hitam telah sedia menunggu di luar pintu besi itu. Lelaki gempal itu menyerahkan sebungkus ganjaran sebaik sahaja perempuan itu melangkah keluar.

"Terima kasih!" ucap Azaka ringkas.

Dia mencapai jaket parka hijau zaitun miliknya dan terus melangkah laju ke bahagian belakang arena melalui satu lorong yang kecil. Peserta-peserta lain memenuhi kawasan tersebut, masing-masing sedang menunggu giliran.

Gadis itu dengan mudah menyusup ruang yang sesak itu sambil menyarungkan jaketnya. Dia menaiki tangga besi yang berpusing-pusing dan akhirnya sampai di pintu keluar yang menempatkan dia di sebuah lorong belakang yang sunyi. Lega rasanya apabila dapat bebas dari tempat itu dan dapat menghirup udara yang segar.

"Dia dah mati?" Satu suara muncul dari belakang.

Azaka menoleh. Seorang lelaki berjaket hitam dengan hoodie yang menutupi kepala sedang bersandar di sebelah pintu.

"Pengsan je." Gadis itu membalas. "Untung besar kau hari ni, Sonny."

"Kau patut patahkan tangan atau kaki dia. Lain kali kau tak payah lawan dengan dia lagi..." Sambungnya sambil terus membilang-bilang duit kertas yang tebal di tangannya. "Apapun, terima kasih." Dia menyumbatkan wang kemenangan taruhannya itu ke dalam poket seluar.

"Hah, nak apa?" Dia tahu, Sonny tak akan mencarinya jika tiada yang mustahak. Lelaki itu hanya datang ke sini untuk bertaruh, berjudi, atau mencuri.

"Kaio nak jumpa kau."

Gadis itu mengangkat keningnya. Dia berasa pelik kerana Kaio tidak datang berjumpa dengannya sendiri. 

PARAGONTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon