[Analepsis 2]

265 31 36
                                    

PINTU 11 kaki itu diketuk sopan oleh si pembantu rumah. 

"Masuk." Suara dalam Gianni menyahut dari balik pintu kayu jati bilik bacaannya.

Seorang pembantu wanita menolak sedikit daun pintu ke dalam, lantas tunduk hormat kepada Sophia yang berada di sisinya. Sophia juga menunduk sedikit sebelum melangkah masuk. Pintu di belakangnya ditutup kemas.

Sophia berdiri di atas serambi melengkung yang mengelilingi separuh daripada bilik tersebut. terdapat tangga di hujung kedua-dua belah beranda untuk turun sedikit ke kawasan bawah yang menempatkan ruang seakan-akan sebuah perpustakaan. 

Almari-almari buku memenuhi hampir keseluruhan ruang yang bulat itu. Rak-rak yang menutupi semua dinding pula menjulang sehingga ke atap kaca berbentuk kubah. Bintang-bintang dan bulan di langit malam memancar kabur melalui kepingan lutsinar tersebut. Sebuah kandil kristal yang besar tergantung di tengah-tengah kubah, menyerakkan kilauannya ke serata arah. 

Mata Sophia mengimbas seluruh bilik itu. Tidak banyak yang berubah. Dari zaman datuknya dahulu, keadaan di situ seolah-olah tidak dimakan waktu. Wanita itu turun ke bawah. Langkah kakinya dihentikan di hadapan sebuah meja kayu besar berona coklat. Pandangannya mati pada seorang lelaki tua berkaca mata yang sedang duduk di seberang meja.

Lelaki itu terlihat agak kurus berbanding kali terakhir Sophia melihatnya dulu. Hampir semua rambutnya telah berubah putih. Begitu juga dengan misai dan janggutnya. Wanita itu juga perasan akan lingkaran hitam di bawah mata lelaki tersebut. Warna kemerahan pada kulitnya juga tiada, membuatkan lelaki itu tampak kusam. 

"Anakanda, jemput duduk." Arah Gianni seraya mengacukan tangan ke arah kerusi yang bertentangan dengannya di meja itu.

Sophia hanya menurut. Meskipun agak canggung kerana sudah tidak bertegur sapa selama hampir 2 dekad, dia cuba berlagak setenang mungkin.

Beribu soalan yang ingin ditanya. Berjuta keluhan yang ingin dilepaskan. Dia mahu bergerutu. Dia mahu marah. Dia mahu menghamburkan semua perasaan. Namun saat dia terlihat orang tua itu, lidahnya langsung layuh. 

"Anakanda apa khabar?" Soal Gianni lembut.

Sophia menghela nafas perlahan untuk menenggelamkan pelbagai rasa yang bersarang di dada. 

"Anakanda baik. Ayahanda?"

Giliran Gianni pula menghembus udara dari peparunya. "Ayahanda harap dapat cakap yang ayahanda sihat. Tapi... ayahanda tak mahu berbohong."

Wanita itu tidak menyoal balas. Dia merenung mata ayahnya, cuba menafsirkan sama ada pengakuan itu benar ataupun semata-mata helah lelaki itu untuk meraih simpatinya.

"Kanser. Sama seperti bonda dan Raphail." Terang Gianni lagi. Hujung jarinya menolak sebuah fail dan sekeping sampul besar ke tengah meja.

Sophia mencapai dokumen-dokumen perubatan itu. Dia meneliti segala maklumat tersebut sebutir demi sebutir. Imbasan sinar X dari sampul besar itu juga diamati secara terperinci. Dia tahu bahawa Gianni jarang berbohong tentang perkara sebegini. Walau bagaimanapun, sekelumit egonya masih menaruh rasa was-was. 

"Berapa lama lagi... ayahanda.."

"Lebih kurang satu tahun. Sebab itu ayahanda jemput kamu semua ke mari. Mungkin inilah satu-satunya peluang yang ayahanda ada untuk bertemu kamu buat kali terakhir..." Balas Gianni tanpa berbasa basi.

Suasana menjadi bisu. Sophia masih bertarung dengan persepsi negatifnya. Dia kenal ayahnya. Lelaki itu merupakan bekas mentornya. Sophia juga pernah mengidolakannya. Serba sedikit, perempuan itu arif akan cara pemikiran Gianni.

"Sebab tu ke Ayahanda jadi penyumbang terbesar UMBRA? Supaya UMBRA dapat cari penawar untuk penyakit ayahanda ni?" Tebak Sophia.

Gianni menggeleng. "Ayahanda tak rasa yang UMBRA akan dapat cari penawar kanser dalam masa 1 tahun saja. Ini bukan pasal ayahanda. Ini tentang keturunan kita, Sophia. Ayahanda tak mahu lagi ada di antara kita mengalami nasib yang sama."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 02, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

PARAGONWhere stories live. Discover now