Nell terdiam mendengar kisah baru itu. Ya, Irena tidak pernah menceritakan hal itu kepadanya. Malah, baru hari ini dia tahu bahawa Irena pernah bekerja di makmal ubat. Irena telah merahsiakan banyak perkara darinya.

Azaka terus memerhatikan budak yang sedang merenung angin itu. "Irena banyak cerita pasal kau dalam surat-surat dia. Jujurnya, aku sendiri tak sangka kau boleh sampai ke sini. Aku rasa, dia dah ajar kau dengan baik."

Nell mengangguk kecil. Rasa sakit di dada muncul apabila mengenangkan ibu saudaranya itu, membuatkan dia tidak mahu lagi bercerita tentang topik tersebut.

"Semalam, lelaki yang pakai cermin mata tu Parabrid jugak, kan?"Nell mengubah perbincangan. "Kenapa dia buru orang yang sama jenis dengan dia?"

Azaka mengangkat keningnya. "Parabrid macam dia tu dah tandatangan kontrak dengan kerajaan. Dalam bahasa mudahnya, dia dah jadi anjing kerajaan. Diorang boleh hidup mewah dan selesa asalkan diorang buat apa saja tugasan yang disuruh."

"Bodohnya." Balas Nell.

Azaka ketawa kecil. "Ironinya, diorang cakap benda yang sama kat kita."

Nell terpandang lengan Azaka yang calar-balar. Dia teringat pergaduhan di bandar semalam. Perempuan itu kelihatan agak tangkas.

"Sebelum kau datang ke Bandar Tembaga dan berlawan kat Arena tu, apa kerja kau?" Nell cuba mengorek lebih banyak maklumat.

Azaka menggaru dagunya. "Aku tak pernah ada kerja tetap pun. Aku buat je kerja apa-apa yang ada."

"Habis tu, mana kau belajar lawan macam semalam?"

"Merata-rata. " Perempuan itu ketawa kecil. "Kau nak belajar dengan aku ke? Aku caj 5000 Zuno untuk satu pelajaran."

"Cekik darah..." omel Nell. Azaka ketawa lagi.

Keadaan beransur senyap. Nell kembali hanyut ke dalam benaknya.

"Apa yang kau fikir?" Azaka bertanya perlahan. Dia tahu banyak perkara yang merungsingkan Nell.

Budak itu menghela nafas perlahan.
"Semalaman aku fikirkan balik apa yang terjadi kat bandar tu. Aku tak pernah tau aku boleh buat semua tu." Dia berfikir sejenak. "Semua Parabrid macam aku ke...?"

Azaka memandang wajah budak itu beberapa saat sebelum memberikan jawapan. "Terus terang aku cakap, susah nak jumpa Parabrid yang ada kuasa macam kau ni. Dan... inilah sebab kenapa Irena jadi terlalu melindungi kau."

Nell tertunduk. Hatinya tidak tenteram. Dia tahu, Parabrid mempunyai kuasa yang berbeza-beza. Selama ini, dia menyangka dirinya hanya mempunyai kebolehan regenerasi sel yang pantas. Ternyata tekaannya jauh tersasar.

"Aku ni... bahaya ke?" Terus Nell teringat akan tajuk akhbar tentang dirinya itu.

"Semua Parabrid boleh jadi berbahaya." Azaka menjawab tenang. "Bergantung kepada cara masing-masing macam mana nak gunakan kuasa diorang..."

"Jadi, aku pun berpotensi untuk jadi bahaya." Nell berkata perlahan.

Gadis itu menggeleng. "Tak lah seteruk tu. Aku 'kenal' kau." Dia mengusap sedikit kepala Nell, mengusutkan lagi rambut hitam itu.

Budak itu tersenyum sedikit. Dia tak pasti sejauh mana Irena telah bercerita kepada Azaka mengenai dirinya.

"Jom." Azaka mencuit lengan budak itu. "Sarapan."

Mereka menuruni tangga ke ruang bawah yang merupakan sebuah bangunan rumah kedai. Di bahagian itu, beberapa buah kereta memenuhi ruang tersebut. Tayar-tayar dan alat-alat ganti diatur rapi di atas rak yang terpasang pada sisi kiri dan kanan dinding. Pintu rol besi ditutup menandakan perniagaan masih belum bermula.

PARAGONWhere stories live. Discover now