BAB 17

6.3K 211 20
                                    

                  

Sejujurnya, perkara yang berlaku sekarang bukanlah apa yang seperti aku bayangkan. Sebelum aku buat keputusan untuk masuk belajar semula, aku tekad nak mulakan hidup baru. Perkara hitam yang dah jadi sebolehnya aku tak nak berulang, atau sekurang-kurangnya jadi pada orang sekeliling aku. Aku pernah kecewa. Dan aku tak mahu kecewa lagi. Sakit kecewa sememangnya boleh buat aku jadi murung. Lebih-lebih lagi bila penyebab kecewa itu memang berpunca dari diri sendiri. 

Macam sekarang, aku kecewa. Permulaan yang baik dengan Fattah sebenarnya tak menjanji apa-apa kesudahan. Aku dan Fattah dah macam orang asing. Mungkin ego yang membataskan.

Buat kali ke 5, aku keluar dari bilik dan menjengah ke bilik sebelah. Lampu bilik masih tak menyala menandakan Sufi masih belum pulang. Amir pun masih belum pulang. Aku meletakkan setinggi-tinggi harapan pada diri sendiri supaya hati Fattah akan terbuka dan sejuk untuk menerima aku kembali sebagai kawan. Aku perlu cerita pada Fattah berkaitan Sufi.

Aku berpura-pura menyidai tuala mandi bila aku nampak Fattah baru pulang dari makan malam dengan kawan-kawan sekelasnya yang lain. Banyak kali aku tertanya-tanya, macam mana Fattah boleh layan kawan-kawan dia yang lain dengan baik, sedangkan aku dia layan nak tak nak? 

Perlahan aku melangkah. Aku cuba jadi sepositif yang boleh. Pintu bilik 307 aku ketuk perlahan, tanpa salam diberi. Pintu dibuka. Aku tersenyum memandang wajah ceria yang tak lama selepas tu berubah jadi muram.

"Hai Fattah! Tengah buat apa?" jelas kedengaran gugup.

"Kau Ben, ingatkan siapa. Erm, tadi baru nak mula buat report lab. Sekarang ni tengah tunggu kau nak cakap apa. Kau nak apa ni jumpa aku?" Fattah cuma membenarkan aku berbual dengannya dengan pintu bilik yang hanya terbuka suku.

"Kau tak nak bagi aku masuk ke?" Aku bertanya penuh mengharap.

"Tak payahlah. Aku pun nak buat kerja kejap lagi. Cepatlah cakap kau nak apa jumpa aku ni?" Harapan mula layu bila Fattah memang tak benarkan aku masuk. Lama juga aku berkira-kira sama ada nak teruskan niat untuk bercerita soal Sufi atau tidak. Memang masanya tak sesuai, tapi ini saja masa yang ada, alang-alang Fattah 'sudi' untuk buka pintu biliknya untuk aku walaupun suku.

"Cepatlah cakap kau nak apa. Kau ingat aku takde kerja lain ke?" 

"Okey...Okey..." Aku mengalah. "Kau still ingat everything yang aku cerita pasal Sufi tu kan? Well, aku datang ni nak bercerita kat kau sebab aku dah tak --"

"Kau nak bercerita pasal dia kenapa? Dahlah Ben, aku tak ada kena mengena dan tak nak ada kena mengena dengan hidup kau. Kalau kau nak bercerita, cari orang lain. Jangan buang masa aku, jangan buang masa kau. Faham? Lagipun aku dah cakap haritu, kalau kau dekat dengan aku, kau sakit, aku pun sakit. Tolonglah faham. Aku tahu kau tak nak tengok aku sakit. Kau sendiri cari masalah, kau settlekan sendiri. Baliklah, Ben. Please, aku merayu jangan cari aku lagi." Fattah tanpa belas simpati menghalau aku. Sempat aku tahan pintu bilik Fattah sebelum sempat ditutup.

"Pleaselah, Fattah! At least explain! Kau buat aku tertanya-tanya selama ni tahu tak? Kau tak habis-habis cakap pasal sakit. Sakit apa sebenarnya ni?!" aku mula hilang sabar bila Fattah terus-terusan buat aku tertanya-tanya.

"Bahagian mana yang kau tak faham bila aku cakap, kalau kau dekat dengan aku, kita dua akan sakit! Hah? Bahagian mana tak faham? Kalau kau --"

Kata-kata Fattah terhenti, dan matanya tertatap pada seseorang yang berdiri di belakang aku.

"Hai kawan! Borak apa je? Nak join boleh?" Sufi menyampuk tiba-tiba dengan mengah yang masih bersisa. Aku kembali memandang Fattah. Matanya masa tertancap pada Sufi. Serta merta bayangan video yang jadi bahan ugutan Sufi menerpa ke dalam kepala.

"Eh, kenapa tiba-tiba diam? Kau bukan tengah cakap something ke tadi, Fattah?"

Aku perasan yang muka Fattah berubah serta merta bila Sufi muncul entah dari mana. 

"Err, Ben nak mintak movie dari aku tadi. Aku bagitahu dia laptop aku rosak. Tu je, takde benda pun yang kitorang sembang." Lancar kata-kata Fattah walaupun aku tahu dia menipu. Dalam masa yang sama, tangan Sufi sudah pun berada di atas bahu aku.

"Laptop kau rosak? Aku boleh tolong tengok, nak?"

Aku tak pasti sama ada Sufi betul-betul ikhlas atau pura-pura ikhlas. Sekejap baik, sekejap tak baik. Sekejap elok, sekejap tak elok. Ada bipolar disease ke apa? Tapi, senyuman Sufi betul-betul nampak ikhlas nak hulurkan bantuan. Atau aku ni seorang yang mudah terpedaya? 

"Takpe. Aku dah hantar kedai pun. Aku nak tidur dulu, aku tak berapa sihat ni." 

Pintu bilik 307 tertutup rapat, meninggalkan aku terpinga-pinga. Sufi memandangku, tersenyum. "Awak dah makan belum?" Serta merta bulu roma aku tegak berdiri.

"Aku dah makan awal tadi." Tangannya yang sedari tadi berada atas bahu aku turunkan. "Adik kau sihat?" soalku cuba mengalih perhatian.

"Baguslah awak dah makan, sebab saya pun tak bungkus apa-apa untuk awak. Erm, adik saya sihat. Seronok dia dapat jumpa abang dia," Sufi kelihatannya melayan perasaan sendiri dan juga tersenyum bila berbicara perihal adik dia. Aku pula yang gerun tengok. Dan tak lama lepas tu, senyumannya mula hilang. Semakin gerun!

"Malam ni saya tidur bilik awak, boleh? First day tidur seorang, tak best pulak rasanya. Boleh kita borak sampai pagi, macam yang awak selalu buat dengan Fattah."

Kalau nak diikutkan, Sufi bertanya sama ada boleh atau tidak dia bermalam di bilik aku. Dan aku semestinya tanpa berfikir panjang akan menolak permintaannya. Tapi, ligat kepala aku berputar memikirkan alasan apa yang patut diberi untuk sebolehnya tidak membenarkan Sufi tidur bersama aku malam ni.

Melihat aku lama terdiam, Sufi kembali bertanya. "Boleh tak, wak? Kalau tak boleh takpe. Saya tidur seorang je. Awak pun macam tak selesa je kalau saya tidur bilik awak."

"Err.."

"Okeylah macam tu. Saya masuk dulu. Selamat malam, Ben. Jumpa esok!"

Aku sekadar memandang kosong pintu bilik Sufi tertutup. Belum sempat aku menolak permintaannya, dia yang terlebih dulu meluahkan yang ada dalam kepala aku. Tak ada rajuk, tak ada ugut, tak ada paksa. Aku tiba-tiba jadi keliru. 

"What in the hell is going on?"



Goda [Completed]Where stories live. Discover now