"Si Tanggang itu hanya menanti balasan."

Pada mulanya, dia marah juga cuma lama-lama, sudah terbiasa. Biarlah perlahan-lahan dia memujuk Mama agar menjenguk nenek. Entah kenapa sebabnya Mama menjauh pun Jane tidak tahu. Dan nenek juga seperti tidak mahu bercerita dengannya tentang hal itu.

Seolah-olah, mereka berdua sudah bersumpah untuk mengunci rapi rahsia itu. Bukan tugas Jane untuk menjadi hakim akan isu yang dia sendiri tidak tahu awal ceritanya.

Nenek membawa telur rebus yang sudah siap dikupas itu ke dapur dan memulakan jurusnya. Bau tumis angkat serta merta buatkan Jane bersin berkali-kali. Dia tidak berganjak dari tempat, sebaliknya hidung ditutup dengan hujung selendang.

Alah bisa tegal biasa. Memasak ini satu kemahiran yang harus dimiliki oleh semua orang. Bukan hanya lelaki, juga bukan hanya perempuan. Oleh itu, Jane berazam untuk belajar memasak secara beransur-ansur.

Tidak lama selepas itu, bunyi sudip berlaga dengan kuali berhenti. Nenek datang dengan membawa bekas makanan. Yang pasti, ia sudah berisi.

"Ini kasi sama Mamak Juna, ya? Jane pergi saja ke rumahnya, Jane akan jumpa seorang wanita sebaya Mama sedang duduk di halaman rumah. Itulah Mamak Juna."

"Baik, komander!", Jane buat gaya tabik buatkan nenek tersenyum lucu.

Kemudian, dia memasukkan jaket Juna ke dalam beg tote putih miliknya. Di atas jaket itu, diletakkan pula bekas makanan berisi telur masak sos.


***


Dari jauh, Jane nampak sebuah rumah batu dengan dinding putih bersih beratapkan zink. Di halaman rumah, ada pelbagai bunga bermacam warna tersusun rapi.

Pasti itu rumah Juna, hatinya berkata-kata.

Semakin Jane mendekat, dia dapat lihat ada seorang wanita sedang duduk di atas kerusi sarang burung itu. Entah mengapa, hatinya rasa berdebar-debar sendiri.

Apabila tiba tepat di hadapan rumah, kakinya terpaku tatkala mata menangkap wajah wanita itu. Tubuhnya membeku. Seolah-olah setiap kapilari tidak membenarkan darah mengalir. Otak seperti sedang dikawal oleh masa yang bagaikan terhenti.

Mata dibiarkan terbuka tanpa berkelip, cuba untuk memaksa apa yang terpampang di hadapan masuk ke retina mata. Dan malangnya, otak hanya menganggap imej itu sebagai ilusi semata-mata.

"Juna?", suara tua itu memanggil-manggil.

Lidah Jane terkelu sendiri. Beg tote hampir melurut jatuh namun berjaya ditahan. Dia terlampau terkejut dengan apa yang menjamu matanya.

Wanita itu mencapai tongkat lalu dihalakan ke sekeliling, cuba mencari pemilik derap kaki yang baru saja didengari.

"Juna?"

"Juna? Nak sudah pulang, kah?"

"Juna?"

Jane menelan liur kelat.

Di hadapannya, ada seorang wanita berwajah abnormal. Abnormal? Ya, itu perkataan yang muncul dalam benak fikirannya sekarang ini. Dengan kulit yang tidak rata seolah-olah kulit itu pernah cair dahulu, wajah itu nampak menakutkan!

Tetapi, yang paling mengerikan, bebola mata kiri sudah tiada pada tempatnya. Sebelah mata lagi, pupilnya sudah bertukar kelabu. Wanita ini tidak dapat melihat dengan jelas. Otak mula bekerja. Imej itu bukan ilusi.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now