"Berhenti menangis atau Jane yang akan menangis.", usik Jane lagi apabila air mata itu tidak kunjung berhenti mengalir.

Mama memeluk Jane dengan erat, melepaskan rindu yang selama ini terpendam. "Sayang anak Mama." GuMaman dari Mama kedengaran pilu di telinganya. Mata Jane menatap anak mata Mama lembut bersama segaris senyuman. Tangan mengusap pipi tua yang sudah nampak kedutnya itu.

"Anak Mama nampak gembira di sini." Jane senyum manis semanis gula.

Setelah itu, Jane mula bercerita tentang hari-hari indahnya bersama nenek. Dari hari sejak dia mengetahui bahawa nenek berhutang, hari pertama dia menjejakkan kaki ke tanah berlumpur sehinggalah hari di mana dia dan Juna pergi ke pasar malam terbesar di Kota Maluku.

Mama pula khusyuk mendengar. Apabila Jane menceritakan perkara yang lucu, Mama turut ketawa. Apabila Jane meluahkan rasa rindunya kepada Mama, mata Mama kembali bergenang. Seolah-olah setiap detik yang Jane rasakan di sini, Mama turut merasakannya.

Menyebut tentang pasar malam Kota Maluku, Jane tersedar sesuatu.

"Mama bersama siapa malam itu? Di Restoran Kalila, ada seorang lelaki bersama Mama, bukan?" Dia masih ingat nama restoran itu. Wajah Mama bertukar riak. Sedikit pucat.

"Rakan perniagaan Mama." Hanya itu jawapan Mama. Jane jadi risau sendiri tatkala melihat Mama mula menggigit kukunya. Itu maknanya, Mama sedang gugup. Tetapi, gugup kerana apa?

Jane cuba untuk tidak ambil kisah. Dia tidak mahu pertemuan ini berakhir dengan rasa yang tidak diingini. Dia mahu pertemuan ini, pertemuan yang bahagia.

Jane menyandarkan kepalanya ke bahu Mama. Lengan Mama dipeluk manja.

Lama mereka dalam keadaan begitu. Dengan angin sepoi-sepoi yang memberi kedinginan semula jadi. Tenang!

"Jane, boleh Mama tahu siapa itu Juna?" Dalam sepi, Mama bertanya.

Jane senyum sendiri.

"Kawan baharu Jane. Baik orangnya." Ada satu rasa menjalar di jiwa.

"Mama harap..." Mama kucup ubun-ubun anak. "Dia hanya sekadar kawan. Tidak lebih dari itu." Ada ketegasan dalam suara buatkan Jane tegak duduk.

"Kenapa, ma?" Jane berkerut hairan. Bingung dengan arahan berselimut pesanan itu. Ada apa dengan Juna?

"Tidak ada apa-apa." Mata Mama teralih ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain layang-layang. "Jane, mari main layang-layang. Cemburu pula Mama tengok budak-budak itu." Ajak Mama. Sebenarnya, lebih kepada mahu mengalih perhatian anak.

Cepat Jane angguk. Dia juga tidak mahu terlampau memikirkan pesanan Mama. Barangkali, Mama tidak mahu Jane terburu-buru dalam hubungan. Mungkin, Mama mahu Jane ada sentiasa untuknya.

Mereka berjalan ke arah gerai kecil yang menjual layang-layang. Jane membeli layang-layang hijau manakala Mama membeli layang-layang merah.

Tidak lama selepas itu, masing-masing berjaya melayarkan layang-layang mereka. Jane bermain tarik-tarik dengan tali keras itu. Sekejap-sekejap, tali dihulurkan sedikit demi sedikit. Sehingga suatu saat, tiada lagi tali yang tinggal untuk dihulurkan.

Jane berdiri berdekatan dengan Mama. Kepala didongakkan memandang layang-layang hijau yang dengan megahnya berada lebih tinggi berbanding layang-layang merah. Betapa indahnya hidup seperti layang-layang. Terbang bebas di langit tanpa kebimbangan.

"Jangan mahu jadi layang-layang, nak."

Automatik Jane berpaling. Mama seperti tahu apa yang difikirkannya.

"Terbang terlalu tinggi, tapi sayang, terbangnya terikat pada sesuatu. Itukah yang dinamakan bebas?"

"Maksud Mama?"

Mama tergelak kecil. Entah apa yang lucu.

"Jadi seperti burung merpati lebih indah. Terbangnya tidak terlalu tinggi, jatuhnya juga tidak terlalu sakit."

"Ada apa, ma? Cerita sama Jane." Jane memujuk lembut. Hati jadi risau sendiri mendengarkan bait bicara Mama. Pasti ada sesuatu yang bermain dalam fikiran wanita tua itu.

Mama senyum lucu. "Mama sengaja mahu tunjuk kemahiran berfalsafah Mama depan Jane."

"Maksud Mama?" Kening berkerut seribu. Keliru.

Mama tiba-tiba mengucup pipi anak. "Mama haus. Kita beli sirap bandung itu ya?" Mama menunjukkan jari telunjuknya ke arah gerai kecil di bawah pohon rendang itu. "Sudah tiba masanya untuk tali ini menarik kembali layang-layangnya." Sambung Mama lagi.

Jane hanya menuruti. Tali layang-layang ditarik perlahan-lahan lalu dililitkan ke botol kosong.

"Mama tidak mahu menjenguk nenek dahulu?", soal Jane. Hari ini hari yang indah. Dua hari yang indah berlaku berturut-turut. Walaupun pada hakikatnya, Jane belum puas untuk meluangkan waktu bersama Mama, setidaknya rindu yang terpendam terubat juga.

Gelengan kepala menjadi jawapan. "Jane pulang cepat, ya? Pasti nenek bimbang.", jelas Mama lagi. Seperti selalu, wajah anak dikucup berkali-kali, seolah menjadi bekal untuk rindu pada hari yang seterusnya kelak.

Jane senyum nipis. Air mata yang sedaya ditahan jatuh juga. Tangan Mama dikucup lembut. Tubuh sudah berpaling dari wanita tua itu. Tidak mahu air matanya menjadi tatapan akhir Mama untuk pertemuan ini.

Jane berjalan dari pertengahan jambatan ke Pulau Kampas. Pulau tempat Mama dahulu dibesarkan. Sayang, Mama menolak untuk melawatnya lagi.

Sampai sahaja di hujung jambatan, Jane memandang Mamanya yang sudah melambai-lambaikan tangan. Setelah itu, susuk tubuh itu mula melangkah pergi. Meninggalkan Jane yang masih terpaku di tempatnya.

Matahari yang hampir tenggelam ditenung lama. Besok, matahari yang sama akan terbit, menjadi tanda permulaan hari yang baharu. 

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now