"Juna tadi datang. Dia mahu meminta izin nenek membawa Jane bersiar-siar ke kota. Jika hanya mahu membeli jajan buat nenek, Juna seorang juga sudah cukup. Lagipula, Juna pasti lebih tahu jajan yang mana satu kegemaran nenek."

Juna sepertinya benar-benar ikhlas mahu berkawan dengan Jane.

"Juna, siapa gadis yang kamu tegur tadi?", soal Jane dengan nada mendatar. Sebelah tangan memegang erat tali jambatan. Sedikit gayat tatkala mata menangkap ketinggian dari atas jambatan.

"Cempaka.", balas Juna ringkas buatkan Jane berpaling memandang Juna. Juna tidak beriak apa-apa. Juga seperti tidak berminat mahu memperkenalkan gadis bernama Cempaka kepadanya.

Jane telan liur kelat. Hati rasa sakit sedikit. Tidak tahu kenapa.

Sepi sepanjang perjalanan. Masing-masing hanya fokus dengan langkah.

Jane memegang hujung jaket Juna dengan erat. Tetapi, tubuh dijarakkan sejauh mungkin. Seinci lagi, mungkin dia boleh jatuh dari motosikal ini. Pertama kali membonceng motosikal, jantung terasa mahu luruh setiap kali motosikal ini melintasi kenderaan-kenderaan lain. Mujur Juna memandu motosikal ini dengan perlahan sahaja.

Mata Jane melilau ke pasar kota Ambon ini. Banyak gerai-gerai kecil bersusun di tepi jalan. Tidak lupa gerobak-gerobak bergerak yang membawa pelbagai jenis makanan.

Jane membetulkan topi keledar yang sudah melurut itu. Agak besar berbanding kepalanya. Kata Juna, topi keledar ini sebenarnya milik Saifuddin.

Juna sengaja memerlahankan motosikalnya bagi memberi peluang kepada Jane untuk menikmati pemandangan pasar malam kota Ambon ini.

Jane sungguh kagum. Beraneka makanan kelihatan terhidang di atas meja gerai jualan. Hidung juga sudah mula menangkap bermacam jenis aroma makanan yang terjual. Megahnya hidung kerana dapat menghidu buatkan perut pula cemburu.

Juna memberhentikan motosikal di tempar parkir.

"Besar juga ya kota Ambon ini." Jane turun dari motosikal lalu topi keledar berwarna hitam yang tersarung di kepala dibuka.

"Ini pasar malam terbesar di kota Ambon, Jane.", beritahu Juna. Dia mengambil topi keledar dari tangan Jane lalu dikunci di dalam bakul. Khuatir ada tangan-tangan jahat mencurinya.

Setelah itu, masing-masing melangkahkan kaki menuju ke pasar malam. Jane lebih selesa berjalan di samping Juna. Sambil-sambil itu, mata tidak lekang menerokai jualan di sini.

Ada sate panggang, rojak buah, bakso, ayam geprek dan bermacam jenis makanan yang Jane juga tidak tahu namanya serta minuman pelbagai warna turut terjual. Bersinar-sinar mata tatkala melihat papan iklan bakso beranak pada sebuah gerobak kecil itu.

Spontan Jane telan liur. Sudah lama dia teringin hendak makan bakso beranak. Kata orang, pedasnya pedas yang ketagih. Dia buka dompet miliknya.

20 ribu rupiah.

Kurang 10 ribu rupiah. Jane cepat-cepat alihkan pandangan ke arah gerai lain.

"Mahu beli bakso beranak?" Juna di sebelah bertanya. Matanya turut terarah ke papan iklan tersebut. Gerai itu memang agak laku di sini. Dia juga pernah merasai bakso beranak mereka.

Pedas yang ketagih. Itu yang menjadi penarik utama. Rasanya unik, pedas tetapi pedasnya bikin kita mahu lagi dan lagi.

Jane senyum lantas kepala digelengkan tanda jawapan.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now