Epilog

3.1K 61 9
                                    

Rumahku syurgaku!

Lain benar aura rumah baharu ini. Dahulu istilah itu tiada maknanya. Tiada rasanya. Setelah bertahun meninggalkan kesilapan curang itu, makna bahagia itu sudah mula kelihatan di hadapan mata. Anak-anak gembira, mereka juga gembira. Setiap hari setelah selesai menunaikan tanggungjawab mencari rezeki, mereka tidak sabar-sabar hendak pulang ke rumah.

Sebelum maghrib, seperti mana setiap hari, Johan akan berdiri di hadapan tembok pagar rumahnya bersama dua botol susu yang masih penuh. Ada pintu kayu yang dibuatnya, khas untuk rusa itu masuk ke dalam kawasan rumah.

"Abu!!!" jerit Johan kepada anak angkat kesayangannya.

Sebaik sahaja terlihat haiwan itu menjengulkan wajah di lubang pada pintu itu, Johan segera membuka pintu itu bagi membiarkan rusa itu masuk. Terkinja-kinja haiwan itu setelah dapat berada dekat dengan Johan.

"Lapar ya?" ucap Johan sambil botol susu itu disumbat ke dalam mulut haiwan itu. Beberapa kali sedut, sebotol itu licin diminumnya. Segera menyondolkan kepalanya ke arah Johan tanda meminta lagi. Tidak sampai 5 minit, habis sudah susu itu.

Seterusnya lelaki itu menyemburkan sejenis ubat ke badan Abu untuk mencegah kutu.

Melihat rusa itu ada di situ, Lyn mengajak anak-anaknya keluar ke halaman rumah. Paling suka sudah tentulah Zairyl. Berkejaran hendak menunggang binatang itu. Kononnya macam menunggang kuda.

"Dah mandi. Tak payahlah," ucap Johan.

Mulalah anak itu berkeras menghentak kaki apabila tidak dapat melepaskan gian. Sudahnya Johan mendukung anaknya lalu diletakkan di atas belakang haiwan itu.

"Pegang kuat-kuat," pesan Johan.

Menyeringai seronok Zairyl sambil memeluk leher Abu. Seronok benar padahal rusa itu tidak bergerak pun. Hanya pegun di situ.

"Busuklah bau tu nanti," rungut Lyn sambil memandang anak lelakinya itu.

"Usap kepala dia. Nanti dia tak marah Aril," suruh Johan.

"Alan! Alan!" suruh Zairyl sambil punggungnya digoyangkan ke depan ke belakang, mahu rusa itu membawanya berjalan-jalan. Tetapi kehendaknya tidak dilayan!

"Jangan! Nanti dia lari, Aril jatuh. Duduk diam-diam."

Ketika rembang senja sudah kelihatan, Johan membiarkan saja haiwan itu berada di halaman rumahnya. Dia tahu Abu akan pergi dengan sendirinya dan datang lagi esok.

"Bye-bye, Abu..." ucap Lyn sambil tangan Mikayla diangkat untuk melambai Abu dari dalam rumah. Anak kecil itu ketawa riang dengan mata membulat ke arah Abu.

Ketika berpaling, dia ternampak seekor lagi anak angkatnya sedang tidur terkangkang di sofa. Si Kitty nama yang diberikan anak-anaknya kepada kucing itu. Saiznya sahaja sudah penuh satu sofa.

"Euww... macamlah penat sangat," gerutu Lyn. Sia-sia saja suaminya membuatkan sangkar kucing di luar rumah. Dalam rumah juga kucing-kucing itu diamnya. Mujurlah pandai keluar sendiri ke tempat membuang najisnya.

Seronok? Ya! Semenjak ada Abu, suaminya suka berada di rumah. Ada saja kerja hendak dibuatnya ketika lapang. Suaminya juga yang mengajar anak-anaknya tentang sifat belas dan kasih sayang terhadap haiwan kesayangan mereka. Banyak yang mereka pelajari bersama.

Dahulu dia paling tidak suka ada haiwan di rumah. Bukan kerana benci. Dia juga sukakan kucing. Tetapi dia penat untuk memikul tanggungjawab terlalu banyak. Tetapi sebenarnya, melalui haiwan yang Tuhan jadikan itulah manusia dapat belajar macam-macam. Anak-anaknya juga belajar bertanggungjawab terhadap haiwan belaan mereka. Tentang kebersihan dan kekemasan.

Dulu dan sekarang rasanya tidak lagi sama. Sungguh! Sikap suaminya juga tidak lagi sama. Dunia luar sudah tidak penting lagi kepada mereka. Jauh dari Kuala Lumpur? Hikmah banyak apabila mereka dibawa berpindah ke sini oleh suaminya. Persekitaran sangat baik untuk anak-anaknya membesar. Dalam diam dia berasa amat bahagia dengan anugerah yang amat bermakna ini.

Inilah kehidupan yang tidak pernah dia bayangkan ketika berkahwin dengan suaminya atau ketika suaminya telah tertangkap menduakannya, tetapi telah dianugerahkan oleh Allah. Perjalanan kehidupan yang berbaloi untuk dilalui mereka.

"Jom kita naik atas," bisik Lyn lantas berpaling untuk mencari suaminya.

Di tingkat atas, Johan sudah siap mandi untuk ke surau. Segera dia mendapatkan anak kecil daripada isterinya.

"Bagi mummy mandi sekejap ya?" ucap Johan kepada Mikayla.

Setelah Lyn selesai mandi barulah Johan dapat peluang untuk berjemaah di surau. Walaupun antara jiran agak berjauhan, namun dengan solat jemaah mereka dapat menjalinkan ukhuwah. Salah satu kebaikan menetap di sini, walaupun sikit penduduk, mereka saling mengambil tahu dan akrab antara satu sama lain.

Lyn hanya solat bersendirian di rumah. Selesai solat, dia mendengar anak-anak perempuannya mengaji sementara menunggu Isyak. Tenang sekali keluarga itu. Dunia tidak diketepikan, akhirat tidak dilupakan. Pulang Johan dari surau, mereka makan malam bersama dengan dua lagi pembantu rumah mereka.

Ketika malam semakin jauh melabuhkan layarnya, rumah itu kian sepi. Hanya tinggal mereka berdua yang masih menikmati masa berdua tanpa kehadiran anak-anak di sekeliling mereka. Menonton TV berdua di ruang tamu.

Lyn menoleh ke arah Johan ketika dia merasakan jemarinya diramas sang suami.

"Kenapa?"

"Tak ada apa-apa," jawab Johan perlahan.

"Tipu. Ada apa, bang?"

Johan menoleh ke arah sang isteri. Lama ditatapnya wajah buah hatinya itu.

"Sehari dua ni abang lupa nak beritahu yang abang masih terlalu sayangkan Lyn."

Lyn ketawa kecil.

"Tak perlu beritahu dengan kata-kata. Perbuatan saja dah memadai," balas Lyn lunak.

"Tapi kata-kata yang manis itu makanan jiwa."

"Betul."

Johan berkalih duduk untuk memandang sang isteri lebih jelas. Kemudian jemari yang masih ada dalam genggamannya itu dikucup lembut.

"Katakanlah jika ada mana-mana bahagian yang abang masih kekurangan sebagai suami Lyn. Abang akan perbetulkan."

"Lyn tak pernah minta abang jadi seorang lelaki yang sempurna untuk Lyn. Abang tetap suami yang Lyn sayang dan banggakan selama ini," balas wanita itu lantas tersenyum lembut.

"I love you so much," bisik Johan.

"I love you too." Perlahan jemarinya dilekapkan di pipi lelaki itu. Di sebalik kebahagiaan yang dinikmatinya, dia juga ingin membahagiakan lelaki ini. Agar seimbang hidup mereka.

Demi Tuhan yang menguasai alam semesta, demi Tuhan yang memegang takdir-takdir manusia, perjalanan hidup pasti akan ada gelora dan gelombangnya. Namun mereka tidak ingin saling melepaskan genggaman pada ikatan perkahwinan ini selagi hayat dikandung badan!

Curangla Lagi Where stories live. Discover now