Part 85

1.8K 34 0
                                    

Meriah! Kehadiran anak kecil dalam keluarga itu benar-benar membawa rahmat yang sangat besar. Anak-anak kian gembira setelah Lyn dapat pulang ke rumah semula bersama adik baharu. Kali ini musim berpantang di rumah sendiri.

7 hari setelah kelahiran, Johan menguruskan dokumen untuk anak bongsunya. Setengah hari menghilang ke pejabat pendaftaran, lelaki itu pulang dengan riak wajah yang ceria. Selesai sudah pendaftaran kelahiran anak perempuannya itu.

"Dah siap ke, abang?" tanya Lyn saat Johan menyimpan segala dokumen.

"Dah."

"Nak tengok."

"Hah?" Johan menoleh ke arah isterinya.

"Nak tengok," ucap Lyn sekali lagi.

Lambat-lambat Johan memberikan dokumen yang baru didapati dari pejabat pendaftaran itu.

Kening Lyn berkerut sebaik sahaja terbaca nama anaknya.

"Adriana Mikayla Isabel???" Terkejut melihat nama itu.

"Takpe, kan? Sedap juga nama tu."

"Dah cakap jangan letak nama panjang-panjang, tak nak dengar! Hari tu abang cakap lain."

"Panjang sikit aja," ujar Johan lantas tersengih-sengih.

"Dia nak jugak nama Mikayla tu! Esok anak abang ni masuk sekolah, kalau cikgu kompelin nama anak panjang sangat, Lyn nak suruh abang pergi tuliskan nama anak abang untuk cikgu," ujar Lyn sebelum diserahkan semula dokumen itu kepada suaminya.

"Patutlah cepat aja dia nak simpan sijil beranak ni. Rupanya ada yang dia nak sorokkan," bebel Lyn dengan pandangan ekor mata kepada Johan. Tak boleh diharap! Lain yang dirancang, lain yang dibuat Johan.

Johan segera mendekatkan dirinya kepada si anak yang sedang menyusu di tubuh isterinya.

"Mikayla suka tak nama yang daddy bagi? Sedap, kan? Cuba anggukkan kepala." Johan menggerakkan kepala anaknya, konon macam bersetuju dengannya.

"Tengok? Sayang daddy setuju dengan daddy...."

"Yalah sangat abang tu," gerutu Lyn. Mikayla pun Mikaylalah! Janji jangan nama yang maksudnya jelik.

"Mari Abang nak pegang dia," pinta Johan.

"Sekejap. Dia baru bangun," ujar Lyn sambil memandang anak kecilnya. Mata Mikayla terpejam namun pipinya bergerak-gerak tanda sedang asyik menikmati zat dari tubuh ibunya.

"Bestnya dia. Dapat berkepit dengan mummy 24 jam. Daddy punya turn lepas ni ya?" usik Johan sambil kepala anaknya itu diusap. Semalam mereka sudah selesai mengadakan cukur rambut dan akikah buat anak ini.

Sedang sepasang suami isteri itu ralit melayan Mikayla, Zairyl muncul di ambang pintu. Terkedek-kedek berjalan sambil menggonyoh mata.

"Kenapa ni, sayang?" tanya Lyn lantas menghulurkan sebelah tangan kepada anaknya itu.

Zairyl terus naik ke atas katil. Duduk di sebelah Lyn dengan riak wajah monyok.

"Mengantuk ya? Penat ni," ucap Lyn sambil kepala Zairyl diusap penuh kasih sayang.

"Tengok adik. Suka adik tak?" usik si ibu mesra.

Lekas-lekas Zairyl menggelengkan kepalanya.

"La.... kenapa pulak? Abang tak sayang adik ke ni? Kesian adik."

Zairyl menyembamkan wajahnya ke lengan si ibu. Minta dimanja.

"Mummy peluk ya? Tidur," ucap Lyn, memujuk lembut mood anak lelakinya itu.

Setelah itu, Zairyl mengalihkan wajahnya. Sebelah matanya mengintai gelagat makhluk kecil itu. Cemburu! Tidak tahu mengapa budak kecil itu sibuk mengambil tempatnya.

"Adik dah tidur," bisik lyn sambil mengintai gelagat Mikayla. Mulutnya terbuka sedikit tapi matanya terpejam.

"Mari abang pindahkan dalam baby cot."

Penuh hati-hati anak kecil itu diserahkan kepada suaminya. Baru sahaja Lyn hendak bangun, Zairyl lekas-lekas berpindah ke hadapan ibunya. Kepalanya direbahkan di atas ribaan wanita itu. Dan baju Lyn diselak sebelum kepalanya disembunyikan di sebalik baju.

"Ni apa ni? Adoi... abang, tengok anak abang ni," tegur Lyn sambil cuba menahan kepala Zairyl, tetapi tidak berjaya.

Johan menoleh setelah meletakkan anaknya di dalam baby cot.

"Aduh, Aril... sakitlah mummy ni!" teriak Lyn.

"Aril, apa tu?" tegur Johan.

Zairyl menyelak baju si ibu. Terkedu Johan melihat anak lelakinya sedang bergayut di situ. Bukan main panjang lagi ditariknya puting susu si ibu membuatkan Lyn gelisah menahan sakit.

"Sakitlah mummy tu!" tegas Johan lantas mendekati anaknya itu.

Zairyl lekas-lekas melepaskan mulutnya. Kemudian ibunya itu dipeluk erat. Takut dimarahi daddynya. Namun Johan segera mengambil Zairyl daripada isterinya.

"Tidur. Dah penat ni," suruh Johan. Menggelepar anak itu, tidak mahu dijauhkan daripada Lyn.

"Hesy, janganlah macam ni! Daddy marah ni nanti," ucap Johan berusaha keras mengawal anaknya itu.

Lyn sekadar membiarkan anak lelakinya itu diuruskan oleh suaminya. Sudahnya bilik itu bingit oleh tangisan Zairyl.

"Baru seorang anak lelaki abang. Kalau setengah dozen Tuhan bagi, alamatnya runtuhlah rumah ni," gerutu Lyn.

Puas dipujuk si daddy, akhirnya Zairyl mula tenang. Johan berdiri di tepi katil Mikayla sambil memujuk Zairyl. Entah apa yang diucapkan si daddy sehingga Zairyl jadi tenang. Lyn memerhatikan gelagat suami dan anaknya tanpa jemu. Semenjak kebelakangan ini aura seorang bapa sudah semakin ketara pada Johan. Anak-anaknya mahu mendengar pujukan.

Lyn teringat bicara suaminya beberapa minggu dulu. Johan ada berbisik-bisik meminta dia mengenakan hijab. Usia makin bertambah, maka mati akan semakin dekat. Masakan manusia harus sama saja?

Perlahan sebuah keluhan dilepaskan. Jika suaminya mampu berubah, mengapa dia tidak?

Curangla Lagi Where stories live. Discover now