Epilog

13K 85 2
                                    


Rela kusemadikan segala kenangan silam....

"Daddy...look!" Aril berdiri di bahagian atas gelongsor. Di belakangnya Dani dan Dina sedang menunggu untuk melakukan aksi yang sama. Si adik, Mikayla berada di belakang sekali.

"Dani.... tengok adik tu," tegur si daddy sambil melambai keempat-empat anaknya. Sakan bermain gelongsor bersama. Mikayla menjerit seronok setelah ikut menggelongsor sehingga ke bawah.

"Adik ikut tu, Dina!" kata Lyn pula.

Johan tersenyum gembira memerhati; Zairyl, Dani dan Dina berlari-lari anak ingin mengulangi aksi itu. Menggeleng dia melihat Dani dan Dina. Anak kembarnya yang paling besar antara kanak-kanak yang lain. Johan menggeleng sendiri.

"Dah besar...dia berdua mengalahkan budak-budak," komen Johan tentang anak kembarnya itu. Tetapi kata-katanya tidak disambut oleh sang isteri. Seketika kemudian Johan menoleh ke tepi. Isterinya mula resah dengan perangai anak bongsunya itu.

"Adam tak nak tidur?" Tanya Johan prihatin dengan keadaan isterinya.

"Nak kena selak baju. Asal bawak keluar aja mulalah mummy nak kena menyelak. Tak ada kerja lain," jawab sang isteri lantas bangkit daripada bangku. Mencari tempat privasi untuk dia mengenyangkan perut anaknya.

Johan hanya memerhati wanita itu berlalu sambil menggendong anak bongsunya, Adam Rafael. Lama Johan memerhati gelagat wanita itu. Sehingga bayang Lyn menghilang, dia terus merenung tanpa jemu.

Tiba-tiba dia terkenangkan pahit maung hidup bersama. Sudah lebih sedekad mereka diikat sebagai suami isteri. Sudah tentu ada ragamnya. Ada madu, ada racunnya.

Racun!

Johan kembali memandang anak-anaknya. Zairyl sedang berenang dalam lautan bola bersama dua tiga orang kanak-kanak lain. Fikirannya melayang jauh pada kenangan beberapa tahun sebelum itu. Kenangan yang menyakitkan untuk dirinya. Untuk Lyn apatah lagi. Namun ada pengajaran yang besar telah didapatinya.

Pengajaran itulah yang membuatkan dia serik mahu mengulangi kesilapan yang sama. Dia sayangkan keluarganya. Anak-anak merupakan hartanya. Melihat mereka kian membesar, dia bahagia. Suatu masa dahulu, dia pernah hampir kehilangan semua ini.

Sungguh, dia tidak ingin curang lagi!

Curangla Lagi Where stories live. Discover now