Part 44

1.5K 36 1
                                    

Sebelum kasih menjadi benci, aku memilih berpisah di sini...

"Kita nak pindah? Kenapa daddy tak ikut?" tanya Dina saat diminta masuk ke dalam kereta.

Sungguh si ibu tidak terjawab soalan anak itu. Hati Lyn rentak seribu. Tangisannya ingin pecah lagi.

"Dina ikut mummy. Insya-Allah nanti daddy akan selalu jumpa Dina."

"Tak nak! Dina nak duduk sini, rumah kita," ujar anak itu bersungguh-sungguh. Lekas dia memegang tangan si daddy erat-erat tanda tidak mahu berpisah.

"Daddy minta maaf, nak." Johan tidak terdaya hendak meneruskan bicara. Dadanya sendat oleh rasa sebak saat memandang raut anak yang tidak berdosa. Tubuhnya direndahkan lalu kedua-dua anak perempuannya dipeluk serentak.

"Daddy sayang Dani dan Dina," ujar Johan. Namun wajahnya berkerut tanda dia mahu menangis.

"Dani pun sayangkan daddy," jawab Dani perlahan. Pandangan matanya begitu menyedihkan.

Johan menangis di hadapan anak-anaknya.

"Daddy jangan nangis. Dani tak marah daddy pun," ucap Dani lagi. Sekali lagi anak itu memeluk leher si daddy.

"Dengar cakap mummy. Jangan buat mummy susah hati, sayang. Dengar pesan daddy ni ya?" pesan Johan setelah tangisannya reda. Dahi kedua-dua anaknya itu dikucup penuh kasih sayang.

Dani dan Dina memandang sayu wajah Johan. Tidak mengerti mengapa mereka harus berpisah.

"Beri dia pada abang," pinta Johan kepada isterinya.

Lyn menyerahkan anak bongsunya tanpa mahu menatap wajah suaminya itu. Tanpa dapat ditahan, di hadapan wanita itu. Johan menangis sekali lagi saat mengucup pipi Zairyl. Sebelah tangannya sempat mencapai pergelangan tangan isterinya. Wanita itu ditarik lalu dipeluknya.

Tidak terdaya menahan perasaan, Lyn menangis juga dalam pelukan suaminya.

"Abang minta maaf, sayang. Demi anak-anak, tolonglah pertimbangkan semula keputusan Lyn. Jangan buat macam ni pada anak-anak kita. Ini anak kita, sayang. Demi Tuhan, abang tak akan ulangi lagi."

Lyn tidak terdaya untuk menjawab. Hanya kepalanya digelengkan tanda dia sudah tidak berdaya lagi untuk berkata apa-apa.

"Abang masih terlalu sayangkan Lyn. Abang tahu kata-kata tak mampu menjanjikan apa-apa lagi. Tak memadai. Tetapi kesalahan yang abang buat, mengapa anak-anak abang ikut sama terima akibatnya? Buatlah apa saja. Abang akan terima hukumannya. Tapi jangan pisahkan anak-anak daripada abang."

"I dah tak boleh lagi," balas Lyn perlahan. Tubuh lelaki itu ditolaknya sebelum dia menjauhkan diri daripada Johan.

Dani dan Dina terpaku memandang ibu mereka menangis sehingga begitu sekali.

Johan memberikan anak bongsunya kepada Bibik Sutinah. Masih tidak putus asa memujuk isterinya itu. Ketika wanita itu mahu mengangkat salah sebuah beg, Johan lebih cepat mencapai pergelangan tangan isterinya lalu ditarik ke arahnya.

"Janganlah pergi jauh daripada abang, sayang. Abang sanggup melutut asalkan Lyn ubah keputusan ni. Tengoklah anak-anak kita. Anak-anak tak bersalah sama sekali. Abang yang salah selama ni."

"Suatu hari nanti anak-anak akan faham juga. Jangan guna anak-anak untuk ubah pendirian I sekarang. Sebelum ni you tak kisah pun apa kesannya pada anak-anak you."

"Abang mengaku semua salah abang. Tiada apa yang lebih pedih untuk seorang bapa bila tengok muka anak-anak bersedih kerana abang. Suatu hari nanti abang akan terkenang anak-anak abang jadi macam ni kerana abang. Abang tak tahu macam mana nak teruskan hidup dengan kenyataan tu, sayang."

Lyn diam. Tidak ingin berkata apa-apa lagi. Tangannya ditarik daripada Johan. Air matanya diseka.

Melurut jatuh bahu Johan. Tahu apabila sudah bulat hati isterinya, bukan mudah untuk dia melenturkannya.

"Lyn..." Johan sempat menarik lagi tangan isterinya. Namun Lyn berkeras enggan membiarkan dirinya dekat dengan Johan. Memandang pun tidak mahu.

"Takkan tiada tertinggal sedikit pun rasa sayang tu untuk abang? Sikit pun jadilah. Abang akan berusaha kembalikan semula kasih sayang tu ke tempat di mana sayang itu berada dulu."

"Suatu masa dulu I letakkan kasih sayang tanpa syarat, tanpa sebarang syak wasangka yang hari ni I akan diduakan dengan entah sesiapa. Tapi you tak rasa bahagia. Buktinya sudah cukup jelas. Waktu tu kasih sayang tu tiada harganya lagi. Biar sebanyak mana I lakukan untuk you, itu tetap tak cukup. Dia lebih istimewa, lebih baik berbanding I. Sekarang you sebut anak-anak. Semalam you lupa untuk pandang muka setiap anak-anak waktu pilih untuk bahagia dengan perempuan lain. Dia masih muda. Dia mampu beri anak-anak lebih ramai lagi. Esok lusa you akan lupa juga tentang hari ni," balas Lyn. Sedaya upaya tidak mahu menangis lagi.

"I cuma nak teruskan hidup demi anak-anak, Johan. I penat bergelut dengan perasaan. Ini lebih baik daripada dia orang nampak kita asyik bertengkar. I dah tak tahan lagi! Kenapa susah sangat you nak faham,"

Johan terdiam memandang isterinya. Liurnya ditelan payah. Terasa kelat saat melepasi kerongkongnya. Kembali memandang dua anak kembarnya. Kedua-duanya memandangnya dengan pandangan sayu.

Demi alasan yang satu itu, Johan akhirnya membiarkan isterinya mengangkat beg untuk pergi. Sementara itu dia mendapatkan Zairyl. Anak itu didakap sepuas-puasnya. Biarpun cuba untuk reda, betapa hanya ada kesedihan yang amat dalam, yang tidak mampu ditelannya begitu saja.

Tidak terdaya Johan menahan perasaan tatkala terdengar Dani dan Dina asyik memanggilnya sebelum berlalu. Dia tidak mampu melakukan apa-apa lagi.

"Maafkan daddy, sayang...' hatinya berbisik hiba. Sungguh, inilah hukuman yang paling berat untuk diterimanya. Saat yang sungguh pahit! Biar dihimpun kemaafan sedunia ini, dia tahu itu masih tidak memadai untuk menebus semula kekhilafannya.

Seperti mimpi, rumah tu tiba-tiba menjadi begitu sepi tidak lama selepas itu. Johan bungkam tidak tahu apa yang perlu dibuat di celahan kesepian itu. Bayang anak-anaknya terlihat di mana-mana, membuatkan dia dihukum oleh kepiluan.

Duduk termenung di birai katil, Johan menangis sendirian mengenang segala-galanya. Hanya itu yang termampu dilakukan. Inilah masanya untuk dia mencapai impiannya bersama Syiha. Bukankah begitu? Tetapi entah kenapa semua itu sudah tidak mendatangkan sebarang makna. Dia tidak berminat lagi!

Entah bagaimana, hati disapa oleh rasa rindu. Rindu pada keindahan dulu. Suatu masa dulu, dialah lelaki yang paling bahagia tatkala dikurniakan sepasang anak perempuan. Manis hanya seketika. Isteri ditatang bagai minyak yang penuh, namun tahun demi tahun berlalu, semuanya kian hambar.

'Tuhan sedang mengujiku,' bisik hati Johan sendiri. Cuba memujuk diri agar tidak kalah dengan keadaan ini.

'Ya Tuhan.... ampuni aku kerana aku telah ingkar pada amanah yang telah engkau letakkan di bahuku,' bisik hati Johan kesedihan.

Curangla Lagi Where stories live. Discover now