🌷Bab 16🌷

1K 81 16
                                    

[Februari 2020]

***

"SAH?"

"Sah..."

"Alhamdulillah..." Seruan bersyukur itu kedengaran kuat dari gabungan puluhan saksi yang menyaksikan pernikahan antara Seman dan Intan. Dengan hanya sekali lafaz, Intan Juliana kini sudah bergelar isteri yang mutlak kepada Uthman Affan.

Ejat gosok lembut belakang abahnya, sambil berbisik perlahan. "Tahniah, Encik Hasan dah dapat menantu..." Ucap dia sambil hulur tangan kanan.

"Terima kasih." Tangan anak lelakinya itu disambut dan digenggam erat sebelum tubuh Ejat ditarik ke dalam pelukan. "Tahniah, Encik Izzat pun dah dapat abang ipar..."

"Thank you, thank you..." Dahi dibenam pada bahu abah barang tiga saat, ditepuk perlahan belakangnya untuk meredakan perasaan seribu satu macam yang melanda hati lelaki berumur pertengahan lima puluh tahun itu. 

Sejak tadi dia perasan yang abah sangat berdebar. Senyum pun antara lebar dengan tidak. Bercakap pun sepatah ditanya, sepatah dijawab. Paling ketara dia nampak abah berdebar pada saat lelaki itu menggenggam tangan Seman tadi. Banyak kali jugak abah berdeham dan tarik nafas panjang sebelum melafazkan ijab dengan lancar. Walaupun tak diberitahu secara terang, Ejat tahu yang abah bukan saja berdebar malah dia turut sama dihuni dengan rasa sebak. Bukan abah saja, mak pun sama. Dari awal tok kadi datang pun dah mula mengalirkan air mata. Iyalah, Intan kan satu-satunya anak perempuan tunggal. Mana-mana ibu bapa pun mesti ada rasa yang sama bila nak serahkan anak mereka kat tangan orang lain. 

Tapi dalam diam, yang sebenarnya Ejat pun sama je. Diruntun dengan rasa sebak jugak. Dari kecil, itulah partner in crime, itulah rakan bergaduh-bertepuk-tampar, itulah bahu yang selalu dia sandar kalau ada apa-apa masalah... sekarang insan itu  dah pun jadi isteri orang. Isteri kawan baik dia pula tu, juga merupakan bahu yang lain yang dia selalu bersandar. Jadi, kuasa dualah rasa sebak tu.

Sebelum meleraikan pelukan,  sekali lagi Ejat dekatkan bibir pada telinga Encik Hasan. "Jadi... Kita nak kena ucap tahniah atau takziah pada Seman, bah?"

Abah tergelak suka. "Yang penting dah ada orang yang boleh kongsi tanggungjawab dengan kita. Bahu abah rasa ringan je ni..."

"Samalah kita. Ringan macam kapas je ni." Menepuk bahu sendiri, Ejat ikut tergelak. 

Namun rasa bahagia dia tak lama apabila matanya bertembung pandang dengan mata pengantin perempuan yang kini merah gara-gara menangis. Dada mampat dengan rasa sebak, sempat lagi Intan melemparkan jelingan kepada dua lelaki kesayangannya itu. Walaupun dia tak dengar apa yang dibincangkan oleh abah dan adiknya itu, Intan tetap boleh agak. Kalau dah berbisik macam tu, ditambah pula dengan ketawa sambil mata sesekali mengerling ke arah dia, tahulah Intan yang dua orang itu sedang mengkritik dia. Benda dah biasa jadi kot. Abah dengan Ejat memang selalu geng dalam bab mengusik dia dan mak. 

Intan yang sedang bersimpuh sopan di atas bantal akad nikah, hanya mampu menjegil saja saat adiknya itu menjelir lidah ke arah dia sambil bagi isyarat 'loser'. Kalau hari biasa memang dia dah jerit dan kejar Ejat keliling rumah. Tapi mengenangkan hari ini hari bahagia dia dan dia taknak cipta memori memalukan jadi dia ambil keputusan untuk lepaskan Ejat.  

"Assalamualaikum, Intan Permata.." Sedang dia bermain mata dengan Ejat, Intan dengar nama dia dipanggil lembut. Dalam dunia ni tak ada orang lain lagi dah yang letak perkataan 'permata' di belakang nama dia. Cuma seorang saja iaitu Seman yang kini sudah bergelar suaminya yang sah.

"Waalaikumussalam Seman Set- auch!" Suara Intan mati bukan hanya disebabkan dia baru tersedar akan tindakan tak semengah dia yang cuba menyebut gelaran terhormat khas diberikan pada Seman sejak dulu; Seman Setan, tapi juga disebabkan oleh jari ketam Puan Zaliha mengepit paha dia. "Wa-waalaikumussalam, Uthman Affan."

[COMPLETED] Bila Aku Ada KauWhere stories live. Discover now