4: TRAGEDI GADIS CILIK 😢😭😢

284 60 15
                                    


Seorang gadis berbaju kusam menadah tangan
di atas kepalanya
mentari terik menyala
sebuah cawan usang di sisi belum terisi
orang lalu lalang tidak peduli
siapa pernah kisah pada gadis pengemis?
siapa pernah tanya malam tadi kau makan apa?
siapa pernah tanya baju kau ada dua atau tiga?
di mana ibu, di mana bapa?

Gadis cilik pengemis jalanan
dia tidak peduli biar berkali-kali dikasari
tidak kisah pada baju lusuh tidak berbasuh
atau berapa inci daki
berapa hari tidak mandi
dia cuma berdoa
ada tangan mulia memberi simpati
dan malam ini ada rezeki perut akan berisi.

Suatu hari gadis itu pernah bermimpi
di tangannya ada sebatang pena, buku dan nota
dia ke sekolah penuh bergaya
tapi semua itu cuma mimpi
hidup tidak seindah fantasi
dia bukan anak menteri yang omong indah di tivi
dia seorang gadis pengemis itulah realiti.

Suatu hari sibuk
hujan lebat dan bumi menangis
gadis cilik tidak berdiri di sini lagi
kerana Tuhan lebih mengasihani
telah menjemputnya pergi.

~ JeffHamz
2.6.17

🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀

Petang kelmarin ketika ke bank, saya melalui jalan itu lagi. Sebatang jalan sibuk dengan kenderaan bersimpang siur.  Entah mengapa ketika melalui jalan tersebut ia kerap  mengimbau ingatan saya kepada satu kisah lama.

Sajak di atas tercipta lebih tiga tahun lepas. Walaupun sudah tiga tahun berlalu tapi ketika melalui jalan itu, saya kerapkali mengingati seseorang. Tiga tahun lepas, di satu penjuru bangunan berdekatan bank, saya kerap terlihat wajah seorang gadis berusia kira-kira 10 tahun. Gadis cilik itu berkulit agak cerah. Wajahnya menampakkan dia asalnya seorang yang agak cantik. Tapi pakaiannya yang comot dan sinar matanya yang kosong menenggelamkan keayuan wajahnya.

Gadis kecil tersebut selalunya duduk dengan tangannya memegang cawan berwarna oren, mengharap rezeki dari insan yang mengasihani. Matanya sentiasa sayu, tidak pernah memancarkan cahaya keceriaan.

Tapi suatu hari ketika saya melalui jalan yang sama, gadis itu tidak kelihatan lagi di tempat biasa dia duduk. Mungkin dia bercuti agaknya, kata hati saya.

Beberapa hari lepas itu bila melalui jalan yang sama, gadis tersebut tiada juga di situ seperti sebelumnya. Entah mengapa, mengingati matanya yang sayu, tiba-tiba menimbulkan rasa rindu. Sudah lama saya tidak berhenti di sisinya, menghulurkan sesuatu bagi melapik perut kecil yang dibaluti pakaian lusuh.

Lama lepas itu baru saya tahu gadis itu telah tiada lagi rupanya... 😭😢😭

Gadis itu meninggal selepas dilanggar oleh sebuah kereta ketika melintas jalan. Mengikut cerita pekedai di seberang jalan, beberapa minit selepas tubuh kecilnya jatuh terperosok di bawah kereta bersama darah merah yang menyimbah jalan, hujan turun dengan sangat lebat. "Agaknya bumi menangis dengan kematiannya," kata pekedai itu.

Walaupun kerap berhenti di sebelahnya dan menghulur apa yang patut, tapi saya sungguh kesal kerana tidak pernah menyantuninya, tidak pernah bertanya apa namanya, di mana tempat tinggalnya....

Al-fatihah untuk gadis cilik tanpa nama. Semoga Allah tempatkan rohnya di kalangan mereka yang beriman, aminnnn..

NOTA KAKI:
Jangan vote jika tulisan ini tak menarik dan tak bermanfaat. Saya faham dan tak kecil hati jika tiada yang sudi vote. Maafkan saya membuang masa berharga anda 🙏🤦🙏

Nota Dari PenjaraWhere stories live. Discover now