17: KEMAAFAN DENDAM TERINDAH

120 32 40
                                    

Hari itu, Januari 2020, cikgu Pyan sampai agak lewat ke Klinik Pergigian Kerajaan SK, Alor Setar. Temujanji di klinik pukul 11.00 pagi tapi kerana ada hal penting dia terlewat hampir sejam.

Cikgu Pyan ialah pesara guru berusia awal 60an. Sebagai pesara kerajaan, dia layak mendapat rawatan pergigian percuma.

Tidak ramai pesakit di klinik ketika itu. Maklumlah sudah hampir tengahari. Seperti kata petugas kaunter, cikgu Pyan adalah pesakit terakhir mereka pagi tersebut.

Sesudah mendaftar diri dan menunggu kira-kira 10 minit, akhirnya nama cikgu Pyan dipanggil masuk ke bilik 4.

Di dalam bilik 4 sudah sedia menunggu seorang doktor lelaki berusia pertengahan 20an dan seorang DSA (Dental Surgery Assistant) perempuan berusia awal 30an.

"Assalamualaikum". Cikgu Pyan memberi salam sambil matanya memerhatikan susun atur bilik yang kelihatan kemas dan ceria.

"Waalaikum salam. Pak cik duduk kat kerusi ni yaa," kata doktor lelaki tersebut sambil tangannya menunjukkan kerusi rawatan di sebelah cikgu Pyan.

"Nama pak cik?" Terdengar suara doktor yang kelihatan merenung agak lama ke arah wajah cikgu Pyan. Sesekali dijelingnya kad rawatan berwarna merah di tangannya. Dia seperti sedang berfikir sesuatu.

"Suffian...Suffian bin Ahmad", jawab cikgu Pyan. Dadanya berdebar. Walaupun cikgu Pyan dulu cikgu disiplin yang garang di sekolah tetapi kalau soal cabut gigi apa lagi gigi geraham, orang garang pun boleh menikus macam tikus mondok!

"Encik ni cikgu ka dulu?" tanya doktor dalam dialek Kedah yang agak pekat. DSA di sebelahnya hanya memerhati, menunggu arahan untuk mulakan kerja.

"Ya dulu saya cikgu. La dah pencen...Mana doktor tau saya dulu cikgu?"

"Gaya macam cikgu..", jawab doktor tersebut tersenyum sambil memeriksa gigi cikgu Pyan. Sesekali direnungnya agak lama muka cikgu Pyan.

"Gigi geraham cikgu ni akar dia panjang sikit. Saya cuba cabut dulu. Kalau tak boleh cabut, kena operatelah nampaknya.."

Kena operate? Aduhai, kena operate gigi adalah benda cikgu Pyan paling takut. Tujuh tahun dulu pernah gigi geraham cikgu Pyan kena bedah. Dengan bedah, jahit lagi, sepuluh hari lebih juga baru boleh makan dengan selesa.

"Tahan ya cikgu, saya nak inject gusi sikit.." kata doktor sambil meminta cikgu Pyan membuka mulut lebih luas untuk memudahkan kerja injeksi.

Dan tusukan jarum bius menembusi gusi cikgu Pyan. Sakit juga. Tapi sekejap saja sakitnya.

"Cikgu pi rehat kat luaq sat na. Satgi kami panggil balik cikgu masuk untuk buat cabutan" kata doktor muda itu.

"Cikgu.." terdengar suara doktor ketika cikgu Pyan menghampiri pintu bilik rawatan untuk keluar, "Dulu cikgu ajaq sekolah mana?"

"Banyak sekolah juga saya pernah ajaq. Awat doktor?"

"Tahun 2005 dulu cikgu ajaq kat sekolah mana?"

"Ooo..masa tu...masa tu.." cikgu Pyan cuba mengingat sesuatu.."Oh..masa tu saya ajaq kat sekolah rendah Jalan Pegawai."

"Ooo..Jalan Pegawai. Cikgu kenai dak sorang budak nama Shafiq masa ajaq di sekolah Jalan Pegawai tu?".

"Shafiq..Shafiq.." cikgu Pyan cuba mengingati nama itu. Tapi entah bagaimana susah pula minda tuanya nak proses kenangan lama tahun 2005. Dah 15 tahun kot.

"Alaa..Shafiq budak nakai tu laa. Budak bermasalah yang selalu cikgu rotan tu. Ingat dak..tayar kereta cikgu besaq pun dia pernah pancit. Jahat sungguh budak Shafiq tu. Kan cikgu tak ingat?"

Nota Dari PenjaraWo Geschichten leben. Entdecke jetzt