38|ISTINGGAR MAQBUL

121 6 0
                                    

Apa yang saya ketengahkan ini hanya sekadar hiburan sahaja sama ada benar atau tidak, itu hanya Allah Swt yang mengetahuinya.

Enjoy your reading!

play music diatas untuk menambah feel korang ketika membaca

________________

Tahun 2017

Cahaya terang benderang muncul tiba-tiba. Menerangi hutan Sintok itu pada waktu malam. Tiada satu manusia pun sedar berlakunya fenomena mistik itu. Lama cahaya ungu itu bersinar dari tiang batu jambatan, bekas jambatan kayu pada zaman penjajah. Kemudian seorang lelaki berusia tiga puluh tahun melangkah keluar. Bagaikan wujudnya pintu di dinding batu. Sebaik menapak keluar, cahaya ungu yang masih samar akhirnya menghilang sikit demi sedikit. Gerbang antara Negara manusia dan Negara Putih akhirnya tertutup rapat. Hutan itu gelita semula.

Lelaki itu berdiri sambil memandang sekelilingnya, kaki seluarnya kebasahan kerana tempat dia berdiri itu merupakan jalan air mengalir. Wajahnya berubah sayu terkenang kampung halamannya yang hilang digulir waktu. Tiada lagi kampung kecil, tiada lagi rumah-rumah kayu beratap nipah yang sedikit tercorok dari pekan yang kian berkembang. Semuanya sudah berpindah mencari penempatan lebih selesa dan selamat dari keganasan komunis pada masa lalu.

Dia kemudiannya melangkah pergi, tubuhnya kian lama kian menghilang. Lesap bersama angin.Misinya cuma satu.

………………………………….

Tahun 2017
Changlon.
Jam 11.00 malam

“Tok Yui tak mau tidoq lagi ka? Cek tidoq dulu la nah, esok pagi nak kena bangun awai.” Cucunya Najwa menjengul kepala di balik pintu. Memandang lagak neneknya yang lain daripada kebiasaan. Selalunya memang begitu, apabila tarikh kehilangan tokwan mereka pada berpuluh tahun lalu itu tiba. Tok Yui akan mula bersedih hati, terkenang suami tercinta.

Tok Yui yang berumur genap seratus tahun itu cuma diam. Hari ini, sebaik sahaja berganjak malam, wajahnya berubah mendung. Sejak maghrib lagi Tok Yui mula termenung panjang. Menyendiri dan berdiam, jauh sekali dengan hari biasa yang selalunya ceria dengan mulutnya yang suka bercerita.

Menerusi jendela yang terbuka separuh, Tok Yui membuang pandangnya keluar. Bulan sabit itu ditatap lama. Rindu itu selalu bertamu, tetapi pada hari ini rindu itu terlalu kuat mencengkam jiwa.

Tanpa diminta air mata mengalir membasahi pipinya yang berkedut seribu. Lantas Tok Yui mengangkat kedua belah tangan, Al-fatihah dijadikan hadiah untuk junjungan Nabi Muhammad s.a.w dan orang di sana. Bersama itu layar ingatan mulai memutar memori lalu. Walaupun Tok Yui sudah tua, namun dia masih ingat.

……………………………………………………

Berpuluh tahun lalu. Merentasi masa. Saat penjajah asing masih bermaharajalela dan tuan tanah pula dilayan seperti hamba.

Tirai malam menyingsing. Pagi mengambil alih bersama jalur emas yang bercahaya. Relung jingganya menerobos masuk ke dalam rumah melalui jendela yang terbuka luas. Pagi itu Maqbul tidak ke mana-mana. Menemani isterinya yang sarat mengandung anak pertama. Sawah tidak dituruni tetapi hanya keluar meranduk tali air, menangkap ikan darat untuk dibuat lauk seharian. Dia sendiri yang memasaknya walau terkial-kial, dipandu isteri yang menemani di dapur.

Demi isteri tercinta, dia tidak segan melakukan pekerjaan itu. Sudah bertahun dia memendam cinta, memohon kepada pemilik hati dan sekalian alam, agar hati Rohayu menjadi miliknya, dan sanggup sehidup semati. Akhirnya doanya termakbul Allah.

Historias De Terror {koleksi kisah-kisah seram}Where stories live. Discover now