Satu

111 20 29
                                    

KAMPUNG KELAPA PANDAN, PULAU BATU.

Tahun 2001

"ALHAMDULILLAH. Akhirnya, dapat juga kita beli rumah baru." Izzat tidak dapat membendung rasa teruja serta beruntungnya sebaik menatap lama akan sebuah rumah batu di hadapan.

Selepas tempat tinggal mereka hangus terbakar tempoh hari, kini dapat juga keluarga kecil itu memiliki sebuah kediaman yang bebatuan lagi. Di dalamnya terdapat lima buah bilik tidur, sebuah dapur dan juga tiga buah bilik air. Cukuplah untuk mereka yang empat beranak itu berlindung daripada hujan serta panasnya mentari.

Sofea memeluk erat pinggang sang suami sambil tersenyum, "Betul tu, abang. Mujurlah rumah ni tak mahal sangat. Tambahan pula, penduduk kampung dekat sini pun mesra-mesra belaka."

"Ha'ah. Semoga Allah permudahkan urusan kita selepas ini."

"Aamiin. InsyaAllah, bang. Allah bantu."

Tiba-tiba, dua orang individu yang berlainan jantina keluar dari rumah seraya menuju ke arah kedua mereka.

"Ayah, ibu, jom masuk! Im tak sabar nak hias bilik tidur Im dengan warna pink."

Izzat tersenyum, "Okey, sayang. Em... Syaz pula, bilik tu selesa tak?"

Seorang lelaki yang berumur 17 tahun mengangguk apabila soalan tersebut diajukan kepadanya.

"Syaz okey saja, ayah. Asalkan Im tak kacau barang-barang Syaz. Budak kecil ni bukannya boleh percaya sangat. Nakal dia bukan main lagi!"

"Eh, Abang Syaz ni. Im budak baiklah. Mana ada nakal."

Maka, sesi kejar-kejaran pun berlaku. Ibarat anjing dengan kucing - seorang suka menyakat, seorangnya lagi pantang disakat. Boleh dikatakan setiap hari keluarga itu dilanda 'gempa bumi' jika kedua beradik tersebut bergaduh.

Izzat dan juga Sofea menggelengkan kepala kerana terhibur dengan telatah para permata hati. Tidak lama kemudian, mereka menapak masuk ke dalam rumah.

*****

"SEMALAM, rumah Pak Akob dipecah orang."

Amin, Rustam dan Zulkifli terperanjat tatkala mendengar akan berita yang disampaikan oleh Majid. Kesemua pasang mata memfokuskan penglihatan kepadanya.

"Lah. Betul ke macam tu, Majid? Kau tahu dari mana?"

"Yalah. Pak Akob yang cerita dekat aku, tadi pagi."

"Kasihanlah dengan keluarga Pak Akob tu. Dia dahlah tak larat bekerja. Mak Senah tu pun bukannya sihat sangat. Aish. Entah apalah pencuri tu fikir agaknya? Tak berperikemanusiaan langsung." Rustam turut bersimpati akan nasib suami isteri berkenaan.

"Dulu kampung ni, tak ada kes-kes yang macam tu. Tapi sejak Izzat dan keluarga dia pindah dekat sini, ada saja perkara buruk yang berlaku."

Dahi Amin berlapis, "Eh, eh? Kenapa pulak kau nak babitkan Si Izzat anak-beranak tu, Majid?"

"Hmm... jadi kau syak Izzatlah yang buat benda-benda macam tu ke? Kau biar betul, Majid? Jangan asal main tuduh saja. Itu fitnah namanya." Zulkifli bersuara sama.

"Aku tak tuduh membabi buta. Dah memang kenyataannya macam tu. Takkan kau orang tak percaya?"

"Tak elok cakap macam tu, Majid. Kalau Izzat dengar, kecil hati dia. Lagi pun, dia orang baru pindah di pulau ni. Kalau tak silap, baru nak genap dua bulan."

Majid berdecit menandakan dirinya tidak berpuas hati, "Haih... kalaulah kau orang tahu sebab-munasabab keluarga Izzat tu pindah dekat kampung ni..." Ayatnya sengaja dijedakan demi memancing perhatian rakan-rakan.

Siling (2020)Where stories live. Discover now