Dua puluh sembilan

0 2 0
                                    

Terbenak akan kelegaan seusai diri selamat keluar dari gaung kesengsaraan. Padahal, ia bukanlah penamat. Melainkan sebuah lembaran kepahitan yang baru sahaja dimulai.

REMAJA lelaki tersebut berlunjur kaki di atas katil sambil fikirannya menerawang ke 'atmosfera' lain.

Luka yang masih terasa ngilu di kaki dan bahunya, dia sentuh seketika. Tetapi, ia tidak sesakit 'tamparan' akan sebuah hakikat yang telah dia ketahui satu-persatu.

"Saya ini ayah kamu..."

"Tak. Kau bukan ayah aku. Ayah aku dah tak ada!"

"Maafkan ayah, D-"

"Maafkan kau? Huh. Selepas semuanya terjadi, senang-senang saja kau nak minta maaf macam tak ada apa yang teruk berlaku dengan aku ni..."

"Ayah ada sebab tersendiri kenapa ayah buat macam tu, D. Ia demi kebaikan kamu juga."

"Demi kebaikan aku atau kau yang pentingkan diri sendiri? Hei. Tak ada seorang ayah pun yang sengaja tinggalkan anak dia di tempat bahaya macam tulah. Kau seorang saja, tahu tak!"

"Percayalah. Ayah terpaksa-"

"Cukup. Aku tak nak dengar penjelasan kau lagi. Lagi pula kalau pun aku ada ayah, Pak Cik Mior lebih layak jadi ayah aku. Bukannya kau!"

"Ehem!"

Deheman itu mengakibatkan tubuhnya disedut kembali ke alam realiti. Figura seorang lelaki yang berusia sedang terpacak di daun pintu berkenaan membuatkan dia memasang tampang serius.

"Dah makan ubat?" soalnya seraya menghampiri katil D.

D hanya membuang pandang ke luar bingkai kaca kamar.

"Hm... kamu mesti marah dengan ayah pasal perkara itu lagi, bukan?"

Soalan kedua masih tiada berbalas. Dia mengeluh. Namun, senyuman manis setia terlakar di bibir.

"Pasal semalam tu-"

"Lepas aku sembuh, aku akan pulang bersama Pak Cik Mior yang lebih layak aku panggil sebagai ayah." Tanpa aba-aba, D memuntahkan apa yang telah dibulat tekadkan.

Tidak mahu dia kembali pulang ke pangkuan seorang lelaki asing yang tiba-tiba sahaja mengaku sebagai darah dagingnya.

Justeru, ucapan si anak muda berkenaan membuatkan suasana menjadi agak berbahang.

"Tak. Kamu kena ikut balik dengan ayah-"

"Maaf, Encik Albert. Aku nak rehat!"

Seusai mengucapkan ayat itu, D menarik selimut lantas berselubung. Jelas sekali dia tidak mahu meneruskan perbicaraan mengenai pertalian darah antara mereka.

Jika ia benar, dia perlukan lebih banyak masa untuk menghadam.

"Hmm, baiklah kalau D cakap macam tu. Ayah keluar dulu. Kalau ada apa-apa yang D nak, boleh bagitahu dengan pengawal ayah di luar. Ya?"

Albert berlalu keluar tanpa menanti jawapan. Untuk sementara waktu ini, akan dia biarkan anaknya itu menelan kebenaran.

Di dalam gua selimut, air mata jantan D menitis jua. Terlalu banyak perkara yang dia lalui bersama dengan Mior. Entah mengapa, dia seakan-akan tahu waktu perpisahan mereka berdua muncul suatu masa nanti.

Dia dihurung kesedihan teramat.

*****

HILMAN bergegas pulang ke rumah tatkala ada sebuah berita gembira yang telah hinggap ke cuping telinganya.

Siling (2020)Where stories live. Discover now