Tiga Puluh Satu

0 0 0
                                    

Semua yang bermula pasti akan berakhir. Walau bagaimana pun, plot kisah selanjutnya pasti akan mengheret sisa-sisa cerita sebelum ini.

Benar saja, ia memang berkaitan. Perpisahan boleh terjadi antara sebentar mahu pun selamanya.

Apabila ia terjadi, ikhlaskan saja duhai hati.

"SELEPAS ini, aku akan ikut ke mana ayah aku pergi. Aku akan tinggal dengan dia... semula." D mula bercerita.

Hifza hanya mampu mengatup mulut. Perkenalan singkat sebelum ini telah membuahkan kenangan yang beraneka warna untuknya. Tipulah jika dia tidak terkesan dek kesedihan yang bakal menjengah jiwa gadisnya.

D mengeluarkan sebuah kotak baldu merah berbentuk segi empat tepat dari kocek jaketnya.

"Ini sebagai tanda perkenalan sekaligus perpisahan kita. Boleh jadi, kita dah takkan boleh berjumpa lagi, Hifza..." Benda alah itu dia suakan kepada gadis berkenaan.

Hifza meminta izin untuk membuka lalu melihat isinya. Alangkah terkejutnya dirinya tatkala melihat seutas liontin emas. Huruf D dan H menjadi penghias pada buah kalungnya pula.

Matanya kian berkaca saat melihat barang kemas tersebut. Seumur hidupnya, baru pertama kali inilah aksesori termewah yang dia pernah miliki. Sebelum ini pun, hanya barang kemas peninggalan arwah ibunda tercinta saja yang dia punya. Sayang sekali, dia tidak gemar memakainya. Rimas.

"Cantiknya. Terima... kasih, Darul Dhizwar. Mesti mahal, kan?"

Beberapa hari yang lalu, Hifza baru tahu akan nama penuh D. Berbelit jugalah lidahnya nak menyebut tapi ya sudahlah.

Lelaki itu juga sempat bercerita sedikit mengenai ayah kandungnya. Mendengar cerita saja pun, Hifza sudah tahu bahawa ayah D bukanlah orang yang berstatus rendahan.

Ingin sekali dia bertanyakan lebih lanjut perihal figura ayah lelaki di depannya kini. Tapi, dia benamkan hasratnya itu kerana tidak mahu terkesan lebih dalam jika dirinya mengetahui sesuatu yang tidak sepatutnya dia ambil tahu.

Hifza sedar, dia bukanlah siapa-siapa bagi D. Mereka berkenalan dalam situasi yang kelam-kabut. Jadi, dia memujuk diri dengan memalit sekuntum senyuman di bibirnya demi membunuh andaian yang kian tersasar jauh.

"Syukurlah kalau kau suka hadiah tu. Anggap saja huruf D itu adalah dua dan H itu pula mewakili hati..."

D dan Hifza bertatapan seketika. Mereka sengaja membiarkan suasana sedemikian berlanjutan beberapa minit sebelum tangan si lelaki menyentuh kepala si gadis yang berlapik tudung hitam itu.

"Dah, cukup. Aku dah boleh hafal bentuk muka kau sebagai kenang-kenangan bila kita berpisah nanti."

Hifza berasa lain macam. Senyuman lelaki di hadapannya itu sememangnya manis. Akan tetapi, ia terselit sebuah keterpaksaan.

Dia sendiri tidak pasti akan apakah gerangan yang telah membuat individu berkenaan seperti orang yang sedang dalam ancaman. Begitulah fikirnya.

"Aku minta maaf kalau sepanjang kebersamaan kita berdua di Pulau Batu itu telah memberi impak negatif pada diri kau. Aku gagal untuk melindungi kau macam yang ayah kau dah amanahkan pada aku..."

Tangannya jatuh ke sisi kembali, "Tapi alhamdulillah, ayah kau selamat. Kiranya, tugas aku dah selesai di sini. Aku senang dapat kenal dengan kau, Hifza. Hehe."

Seusai ayat itu dia luahkan, D berpaling untuk melangkah pergi. Namun, Hifza sempat berkata sesuatu.

"Err... D. Awak tak nak bertemu dengan ayah saya untuk kali yang terakhir?"

Pertanyaan tersebut menyebabkan D statik di situ. Tiba-tiba, kemunculan beberapa orang lelaki yang segak berkot hitam di hadapan pintu memeranjatkan kedua insan berkenaan.

Siling (2020)Where stories live. Discover now