Tujuh

43 10 6
                                    

~♥~Benarlah orang kata yang bernafas dalam lumpur itu... payah.~♥~

JALA ikan yang sedikit terkoyak dipandang sedih oleh Pak Hanif. Orang tua itu menampal keluhan dengan sebuah senyuman tipis.

"Hmm... tak apalah. Sikit saja ni. Kalau dah dijahit balik, masih boleh pakai lagi," bicaranya sendiri demi memujuk diri yang serba kelelahan.

Selepas solat subuh lagi, Pak Hanif sudah turun ke laut untuk menjala sesuap rezeki. Padahal, tubuhnya tidaklah berapa sihat. Namun, dipaksakan juga demi mengisi perut mereka dua beranak.

Tiba-tiba, ada sebuah suara yang menyapa deria pendengarannya.

"Hei, pak cik tua. Hantarkan aku ke Pulau Batu. Nanti, aku akan bayar kau sebanyak RM500. Nak tak?" tanya orang yang tidak dia kenali itu dengan 'sopan' sekali.

Pada mulanya, Pak Hanif ingin membantu tetapi ada perkara yang mengganggu fikirannya.

"Em, maafkan pak cik. Tapi kalau nak pergi ke sana, pak cik tak dapatlah nak tolong..."

"Kenapa? Sebab aku bayar kau sikit ke? Kalau bagi kau itu tak cukup, aku boleh gandakan jadi RM1000."

"Bukan macam tu maksud pak cik. Tapi-"

"Aish, orang tua ni! Banyak songehlah pulak!" Sepucuk pistol diacukan ke dada Pak Hanif sehingga mengakibatkan orang tua itu menelan air liur. Air masin yang keluar dari liang pori-pori telah membasahi dahi. Dia diserang dek ketakutan. Tubuhnya automatik menggigil.

Ternyata 'orang asing' yang memiliki tatoo helang pada kedua-dua lengannya itu bukanlah orang daripada kebanyakan.

"Ayah!"

Seorang gadis yang berumur 17 tahun dan bertudung ungu berlari laju menuju ke arah Pak Hanif. Terkejutnya bukan kepalang selepas melihat seorang pemuda sedang membidik ayahnya.

"Hifza, jangan datang dekat! Lari cepat!" tegah Pak Hanif pula. Dia tidak ingin sesuatu yang buruk menimpa kepada sang puteri tunggal.

Namun, Hifza tetap statik di situ. Berkeras, dia tidak mahu meninggalkan ayahnya bersendirian.

"Lepaskan ayah sayalah!"

"Wei, budak. Bingit telinga aku dengar jeritan kau ni!" Giliran Hifza pula yang menerima nasib yang sama seperti si ayah tadi. Muncung Glock-19 melekat di kepalanya. "Cepatlah gerak! Kalau tak, anak kesayangan kau ni yang akan telan peluru aku," sambungnya lagi diiringi sebuah ugutan.

Dalam keadaan mereka bagai telur di hujung tanduk sedemikian, Pak Hanif terpaksa menghantarkan orang tadi ke seberang. Perjalanan itu memakan masa selama sejam 45 minit.

10 minit terakhir sebelum perahu kecilnya berlabuh ke sebuah jeti, lelaki tadi menggibarkan sehelai kain yang berwarna merah serta mempunyai simbol akan sesuatu.

Kelihatan di situ, beberapa orang lelaki yang bertubuh tegap sedang memegang selaras Stag 15 M4. Maka, semakin tidak sedap hatilah Pak Hanif apabila menyaksikan 'pemandangan ekstrem' sedemikian.

Dia sangat curiga.

Tidak pula dia pernah tahu akan kewujudan 'penempatan' di Pulau Batu pada sebelum-sebelumnya. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki di tempat yang dikatakan sangat misteri berkenaan bersama Hifza.

"Lah. Kau rupa-rupanya, Bob. Kami hampir-hampir nak tembak kau dari jauh tadi kalau kau tak bagi signal. Oi. Apa cerita ni dan kenapa orang tua kerepot ni juga kau bawa ke sini? Dia tak sesuailah untuk jadi anggota kita."

Siling (2020)Where stories live. Discover now