Sembilan

52 10 6
                                    

~♥~Andai masih sangsi dan curiga, cuba sisipkan kepercayaan walau sekelumit dan perhatikan tindak-tanduk sewaktu bersamanya. Nanti setelah selesai, terpulang kepada diri sendiri - ingin berterima kasih atau memaki...~♥~

"SYAZ!" Tangan D menggenggam sesuatu sebelum kelopak matanya terbuka lebar.

Wajah Hifza yang sedang memerah menjadi santapan pertama pandangan si lelaki. Dia tersedar akan tindakan yang tidak elok - tangan Hifza digenggamnya. Entah sudah berapa lama.

"Maafkan aku." D melepaskan tangan itu dan berdiri agak jauh daripada si gadis. "Err... aku... tak.. sengaja..." Belakang tengkuk digosok beberapa kali. Dia khilaf dan menyesal akan ketidaksedarannya itu.

Rupa-rupanya sebentar tadi, Hifza ingin menggejutkan D agar segera bangun daripada lena kerana perempuan itu terdengar akan suara ramai yang tidak jauh dari tempat mereka berehat.

"Mereka ada di sekitar sini..." Untuk pertama kalinya butir-butir aksara meniti di bibir Hifza.

D sedikit terkesima. Dia cuba menceriakan suasana yang dilanda badai kejanggalan.

"Oh, ya? Ha, jomlah kita pergi." D kemaskan pakaiannya seraya menyandang beg hitam. Unggun api yang dibuat sejak semalam dibersihkan agar kewujudan mereka tidak diketahui.

Perjalanan diteruskan. D berjalan sedikit laju ke hadapan dan mendahului Hifza. Tidak berapa lama, dia tersedar akan begnya ditarik perlahan dari arah belakang. D menoleh.

"Kenapa, Hifza?"

"Tu..." Gadis tersebut menunding jari telunjuknya ke suatu arah. D turut memandang ke arah itu.

"Alamak! Kita kena menyorok daripada mereka," kata D seraya menarik perlahan lengan kanan Hifza yang berlapik sebelum mereka berdua turun ke bawah kawah di situ.

Mereka cuma bertiarap agar kehadiran mereka tidak kelihatan.

Ada beberapa orang pengganas sedang berjalan-jalan. Mungkin untuk pergi berburu binatang. D berfikir begitu.

Namun malang sekali, kelompok kecil tadi berhenti berjalan apabila terlihat kesan terbakar di lantai tanah.

"Ini kan... unggun api? Tapi siapa yang buat?"

"Hurm. Mungkin ada orang lain selain daripada kita di pulau ini."

"Ah, tak mungkinlah. Dekat pulau ni tak ada yang tahu jalan-jalan tikus melainkan kita semua."

"Kau orang!" Jeritan seorang lelaki kedengaran pula.

"Woi, Sen. Kau dah kenapa terjerit-jerit dekat sini?"

"Aku baru dapat tahu yang anak perempuan pak cik tu dah melarikan diri dari bangsal, sejak semalam. Jadi TM nak kita cari dia sampai dapat."

"Aku dah agak dah. Mungkin unggun api ni, dia yang buat."

"Tunggu apa lagi? Kita semua berpecah dan cari dia sampai jumpa!"

"Baik!"

Derapan beberapa tapak kasut semakin menghilang daripada deria pendengaran. Selepas keadaan telah sunyi, D menarik Hifza untuk keluar dari tempat persembunyian.

"Huh! Mujurlah mereka tak nampak kita," ujar D tanda lega.

Dengan keadaan tubuh yang lemah sebegitu, dia tidak yakin boleh melawan pengganas-pengganas tadi. Mereka, ramai. Sedangkan dia, berseorangan. Tambahan lagi dengan kelaparan yang lain macam di kala itu, memang patah-riuklah dia nantinya.

"Jadi..." D berpaling ke arah Hifza sambil kening kanannya terangkat.

"Apa?" soal D yang berasa ingin tahu.

Siling (2020)Where stories live. Discover now