Bab 15

4.1K 93 58
                                    

Aku merenung kosong kipas yang berputar di depanku. Kosong! Ya, aku rasa kosong sekarang. Setelah berbulan-bulan aku rasa berat dan sarat, pagi ini aku rasa aku sangat kosong dan ringan. Malah, aku masih lagi bernyawa. Sedangkan semalam aku rasa aku hampir mati bertarung dengan maut. Bagaimana aku masih mampu bernafas pagi ini sedangkan semalam aku rasa aku sudah mati sepatutnya. Aku cuba untuk ulang tayang semua kejadian yang terjadi semalam. Lama aku termenung tanpa berkelip sehinggalah semua kejadian semalam diulang tayang perlahan-lahan. Aku menyentuh perut yang kini rata. Aku hela nafas lega sambil mata terpejam rapat dan menikmati rasa lega itu. Tersentak seketika, aku buka mata luas-luas. Aku sentuh semula perutku. Rata! Rasa rata itu sepatutnya buat aku rasa kacau, bukan rasa lega. Perlahan-lahan, aku cuba untuk bangun walaupun kudratku tidak kuat. Sakit di bawah perut buat aku menyeringa sedikit.

Apabila aku berjaya duduk, aku pandang manusia di sekeliling. Aku pandang diri aku. Kami sama. Semua berbaju merah jambu, yang berbeza cuma aku sendiri di situ. Sedangkan yang lain semua berteman. Aku tertanya juga, kenapa aku sendiri. Sepatutnya, kini aku berteman. Seperti mana aku pernah berjanji dengan dia yang aku akan bersama dia dalam susah dan senang kami. Tapi kini, kenapa aku sendiri. Ke mana dia?

Selepas beberapa minit aku memerhati setiap pelusok ruangan itu. Aku didatangi seorang perempuan berbaju putih. Dia tersenyum nipis kepadaku. Kemudian dia memeriksa tekanan darahku dan dia mula bertanya kepada aku.

"Dik, dah tukar pad ke?" aku menggeleng. Jururawat itu pula mula mencatat sesuatu di atas kertas. Selepas  mencatat semuanya, dia kembali membuat rutinya.

"Cik, saya nak tanya. Anak saya mana?" aku segera bertanya sebelum sempat jururawat itu berlalu pergi. Kemudian, dia berpaling semula menghadap aku. Dia hela nafas berat.

"Dekat Neonatal Intensive Care Unit, tingkat bawah. Kalau ada masa, kamu turun bawah susukan dia," terang jururawat berwajah manis itu.

"Tapi, kenapa dia kat sana?" soalku lagi kerana ada rasa tidak puas hati dengan jawapan jururawat tadi.

"Sebab bayi puan bukan saja tak cukup bulan, malah tak cukup berat sekali. Jadi kami kena letakkan dia di nursery untuk pantauan. Dia akan terus berada di Neonatal Intensive Care Unit sampai berat badan dia bertambah." Kali ini, penerangannya sangat teliti. Aku angguk faham sambil memerhati jururawat itu semakin menjauh. Aku pandang lagi sekeliling, memerhati gelagat para ibu dan bapa yang kelihatan sangat gembira dengan kehadiran bayi comel mereka. Pada wajah mereka, seperti cahaya matahari pagi yang terang bersinar di pagi yang ceria. Bunyi bayi merengek pula bagai kicauan burung yang riang berterbangan. Mereka langsung tidak terganggu dengan rengekkan bayi comel itu.

Tiba-tiba, rasa cemburu kuat menguasai aku. Aku cemburu melihat kebahagaian mereka. Aku cemburu lihat bayi mereka. Aku toleh ke sisi, tidak ingin terus pandang mereka. Rasa risau dengan keadaan bayiku buat aku semakin tidak keruan. Perlahan-lahan, aku bangun dan turun dari katil. Aku melangkah ke kaunter pertanyaan, meminta mereka untuk tunjuk arah. Kemudian, aku teruskan berjalan dengan kadar yang sangat perlahan seperti siput babi yang sedang mengengsot. Perjalanan ke room nursery yang sepatutnya tidak mengambil masa yang lama bertukar menjadi satu perjalanan yang sangat mencabar bagiku. Aku seret kakiku pada lantai konkrit dengan penuh rasa hiba. Entah kenapa, hati aku benar-benar rasa remuk saat itu. Terasa kelopak mataku panas dan mula bertakung air mata. Aku kedipkan mata berkali-kali supaya air mata yang bertakung itu kering. Aku berhenti sekejap pada koridor yang yang menghubungkan lobi hospital dan juga bilik Neonatal intensive care unit itu. Aku bersandar pada dinding konkrit sambil mata meliar memandang sekeliling. Peluh halus mula merinik sekitar dahi. Aku tarik dan hembus satu nafas panjang, membuang rasa hiba yang aku rasa. Setelah rasa lega sedikit, aku meneruskan perjalanan ke tempat yang aku ingin tuju.

RubyWhere stories live. Discover now