Bapak menghembus nafas berat. Dia memusingkan badan menghadap aku.

"Mawar harus lupakan dia. Tempat dia bukan di sini. Dia bukan yang sesuai denganmu, Mawar..."

Aku berkerut.

"Bapak sendiri yang kata, Haq terbaik buat Mawar, kan? Kenapa dulu bapak tak larang kami nikah? Kenapa sampai Mawar jatuh sayang pada lelaki tu baru bapak kata macam ni?" Aku tertinggi suara.

Ya! Itu kali pertama. Maafkan aku bapak. Emosiku tidak terkawal. Aku menangis sendiri. Teresak-esak bagai anak kecil.

"Mawar harus reda. Itu takdir Mawar. Pertemuan dan perpisahan itu ada. Apa Mawar lupa kisah Nabi Adam dan Siti Hawa? Mereka terpisah dari syurga tapi dipertemukan di dunia. Mereka juga reda bukan?"

"Mawar tak kuat, bapak..."

"Sabar Mawar, anggap kehadiran Haq cuma mimpi. Mawar perlu melupakannya. Bapak tahu payah untuk Mawar tetapi berusahalah Mawar. Lupakan Haq. Haq tidak akan kembali ke sini."

Aku mengangkat kepala dari pangkuan bapak. Air mata yang mengalir di pipi aku usap dengan hujung baju.

"Tak bapak. Haq dah janji. Dia akan kembali dan Mawar akan setia menunggu."

Aku tekad. Biar apa pun, aku tetap akan setia. Menunggu kehadiran insan yang aku cinta.

*****

"AYAH! Ayah!"

"Pasai pa hang ni? Terjerit-jerit."

"Paan jumpa manusia. Tepi hutan tu ha. Cepat ayah!"

"Manusia?"

"Haah. Cepatlah ayah!"

Kedua-dua mereka berlari anak menuju ke arah yang ditunjukkan Paan.

"Eh, siapa ni Paan? Hang kenai ka?"

"Dak. Orang luar ni."

Mereka memeriksa nadi lelaki terbaring meniarap itu.

"Lekas Paan. Bawak dia balik. Hidup lagi ni. Hang pegang badan. Ayah pegang kaki."

*****

"SIAPA yang awak bawak balik ni?" Mak Suri bercekak pinggang di pintu depan. Terbeliak matanya melihat suami dan anaknya mengusung seorang lelaki naik ke rumah.

"Entahlah. Kami jumpa pengsan tepi hutan nuh!" Pak Mail menjawab.

"Elok sangatlah! Pi bawak orang luar mai rumah. Satgi penyamun penyangak ka apa. Awak tak pikiaq dulu ka?" Mak Suri berleter. Sakit hati dengan sikap terlalu mempercayai anak dan suaminya.

"Hari ni kita tolong orang. Mana tahu esok lusa orang pulak tolong kita."

Mak Suri mencebik. Kaki dihentak dan dia terus masuk ke dapur. Orang tua buang tabiat! Nak mampus agaknya.

"Eh, macam Paan pernah nampak muka dia ni."

Lelaki yang masih pengsan itu dibaringkan di tengah rumah. Pak Mail dan Paan duduk sebelah menyebelah.

"Mana hang nampak?"

Paan berfikir. Digaru-garu kepala yang tidak gatal. Ditekan-tekan pelipisnya cuba mengingati di mana wajah itu pernah dilihatnya.

"Ha!" Paan mengangkat jari telunjuknya ke atas.

"Pa dia?" Pak Mail bertanya tak sabar.

"Paan nampak muka dia dalam FB!" Paan bersorak suka.

"FB? Menatang apa tu Paan?" Pak Mail pula menggaru kepala. Keliru dengan Paan.

Paan ketawa. "Facebook lah. Paan nampak ada orang share muka dia dalam FB tu. Ada orang tengah cari dia ni. Dah dekat sebulan hilang. Tak silap Paan memang muka nilah!"

Kedua-dua mereka meneliti muka lelaki yang sedang berbaring itu.

"Pasai pa orang cari dia? Dia ni penjenayah wanted tu ka?" Pak Mail menjauhkan diri. Seram sejuk teringatkan telahan isterinya tadi.

"Ish! Bukanlah ayah. Fasal anak hilang."

Pak Mail terangguk-angguk. Dia berjalan ke dapur lalu dibawakan segayung air dan tuala kering. Dilucutkan baju yang tersarung di tubuh lelaki itu lalu dilap badan itu dengan air suam.

"Anak besar panjang macam ni pun boleh hilang ka?" Pak Mail membebel seorang diri.

"Entah. Sat, Paan cari kat FB. Kut ada info fasal dia." Paan mengeluarkan telefon bimbit lalu ikon Facebook ditekan. Dia scroll news feed sampai ke bawah tapi tak jumpa.

"Ish, mana ni!" Telefon itu ditekan-tekan lagi.

"Hang tekan kasaq lagu tu, satgi pecah telefon hang. Ayah tak dak duit beli baru." Pak Mail menyindir.

"Hang pi beli ikan cencaru rumah Tiara tu sat Paan!" Mak Suri melaung dari arah dapur.

"Makan apa ada jelah mak. Paan letih lagi ni." Paan juga melaung, menyahut emaknya.

"Hang nak makan pinggan dengan sudu ka!" Suara Mak Suri naik satu oktaf.

"Yalah!" Dengan malasnya, motor cabuk ayahnya ditunggang menuju ke rumah Mak Cik Tiara, janda yang tinggal di hujung kampung.

*****

"ASTAGHFIRULLAHALAZIM!" Terkejut Paan.

Apa tidaknya, lelaki yang tadinya terbaring pengsan kini duduk elok di sudut pintu.

"Abang dah bangun?" Paan bertanya sebaik sahaja melangkah masuk namun lelaki itu tidak menjawab. Dia hanya merenung Paan.

"Abang..." Paan melambai-lambai tangan di depan muka lelaki itu.

"Aku kat mana?" Serak basah suara itu. Seolah-olah baru bangun dari tidur. Seolah-olah baru bertatih bercakap.

Paan menggaru kepala yang tidak gatal. Dicari kelibat ayah dan emaknya tapi tidak kelihatan.

"Abang kat Perlis Indera Kayangan." Paan menjawab. Sengaja disebut Indera Kayangan untuk berlelucon.

"Indera Kayangan?" Lelaki itu bertanya agak keliru.

Paan ketawa. "Abang tak tahu ka Perlis tu gelarannya Indera Kayangan? Abang orang mana? Kedah ka? Ataupun Perak? Tak pun Selangor? Johor?" Paan ketawa lagi.

"Kau siapa?"

"Aku Paan. Aku dengan ayah jumpa abang kat tepi hutan. Abang sesat ka?" Paan cuba beramah.

"Dah lama aku kat sini?" Soalan Paan masih tidak dijawab.

"Dalam tiga jam kut lepas kami jumpa abang. Kenapa? Abang hilang ingatan ka?"

Lelaki itu tetap dengan muka serius. Tidak langsung tersenyum apalagi ketawa.

"Terima kasih."

Paan menggaru kepala. "Abang siapa nama?"

"Haq."

"Ooo...aku Farhan. Panggil Paan ja. Mak nama Mak Suri. Ayah nama Pak Mail."

Lelaki itu tidak menjawab sebaliknya melemparkan pandangan ke luar rumah. Matanya tertancap ke arah hutan tebal di belakang rumah Paan. Seakan ada sesuatu tertinggal. Seakan berat hatinya menatap kehijauan hutan itu tapi apa?

HAQ MAWAR ✔Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang