BAB 1

13.8K 280 6
                                    


"Indera Kayangan Saksi Bisu Perkenalan Dua Jiwa"

 

AKU, seorang Mawar.

Tinggal dalam jagaan bapak semata tanpa emak di sisi. Di rumah usang, beratap rumbia, berlantai buluh, bermandikan air gunung semata.

"Mawar, ambilkan pucuk paku di hutan. Boleh Mawar masakkan sayur pucuk paku untuk bapak?"

Aku menyelusuri hutan. Mencari segenggam dua pucuk paku untuk dijadikan santapan kami berdua tengah hari nanti.

"Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan... Intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan."

Sudah segenggam pucuk paku yang aku dapat tapi belum cukup rasanya untuk santapan kami berdua. Semakin jauh aku berjalan, semakin riang rasanya hati. Mulut kecil aku tak henti bernyanyi Gurindam Jiwa.

"Errgh... errggh..."

Telinga aku menangkap satu suara. Suaranya kedengaran dekat sekali. Aku perlahan-lahan mendekati. Sedepa dari kedudukanku, aku lihat dedaun sedikit bergoyang. Aku fokuskan anak mata ke sasaran dan benar, daun itu masih bergoyang. Betapa terkejutnya aku apabila kaki aku terpijak sesuatu. Sesuatu itu adalah orang! Lelaki!

Tak diduga, lelaki itu mengangkat pandangan melihat aku. Aku tutup separuh muka dengan pucuk paku yang ada di tanganku. Terketar-ketar tangan aku.

"Tolong..."

Suara itu perlahan tapi jelas di pendengaranku. Aku kerut dahi. Aku alihkan pucuk paku dari wajah dan aku amati wajah yang ada di depanku. Wajahnya berbulu halus. Matanya kuyu. Rambutnya berserabai. Baju hitamnya koyak rabak sana sini tapi kenapa ya... aku rasa wajahnya kacak? Hmm kacak macam bapak.

"Kau siapa?"

"Tolong..."

"Kau orang baik ke?"

"Mati..." Dia menggumam lagi.

Mati? Dia dah mati? Jadi dia hantu? Dengan sepenuh tenaga, aku berlari sekuat hati. Aku biarkan pucuk paku bertaburan sana sini. Tolong aku bapak!

"Mawar! Mawar!"

Aku ketakutan. Dia tahu nama aku? Aku berlari lagi. Berpeluh rasanya seluruh badan.

"Mawar!"

Wajah aku terasa sejuk. Tubuh aku terasa digoyangkan dan mata aku terasa dibuka secara paksa.

"Bapak?"

Bapak berdiri di depanku sambil bertahan pada sebatang tongkat. Ada sebiji gayung di tangannya.

"Kamu mengigau di siang hari, Mawar?"

Aku ketap bibir. Mengigau? Jadi tadi tu cuma mimpi? Aku sebenarnya masih di rumah?

"Ambilkan pucuk paku di hutan. Boleh Mawar masakkan sayur pucuk paku untuk bapak?"

Aku membeliakkan mata. Kenapa macam dejavu ni?

"Hutan?" Aku bertanya meminta kepastian.

Bapak mengangguk.

"Mawar takut bapak." Sejurus aku nampak bapak ketawa kecil.

"Bukankah bapak ada mengatakan, janganlah engkau takut akan sesuatu melainkan Tuhan-mu. Apa Mawar lupa pesan bapak?"

"Tadi Mawar mimpi. Mawar jumpa lelaki tidur kat rimbunan daun. Kalau nanti jumpa lagi lelaki tu, Mawar kena buat apa, bapak?"

Bapak tersenyum. "Lihatlah matanya. Selami sanubarinya. Andai firasat Mawar mengatakan dia jahat, cepatlah Mawar lari meninggalkannya. Andai Mawar rasakan dia baik, Mawar bawa pulang. Biar bapak ketemunya."

Aku mengangguk. Aku yakin pada setiap bait kata bapak. Dengan berbaju kurung dan berselendang, aku menyelusuri hutan. Alas kakiku cuma terompah kayu buatan bapak. Tak lupa juga aku ambil parang bapak sebagai senjata diri. Lagu Gurindam Jiwa tak lagi aku dendangkan. Fokusku cuma pada pucuk paku yang kehijauan namun mindaku tak mahu bekerjasama. Aku masih memikirkan mimpi tadi. Wajah itu masih segar di ingatanku.

"Hish!" Aku mengomel sambil menampar kepala sendiri.

"Ergghhh..."

Aku memaku badan. Tadi tu erangan manusia kan? Sama seperti dalam mimpiku tadi.

"Ergghh..."

Sekali lagi dan aku pasti, suara itu datangnya tak jauh dari aku. Dengan lafaz kalimah suci bismillah, aku mendekati. Aku selak rimbunan itu dan ya, anak matanya menatap aku. Figuranya juga sama seperti mimpi tadi. Suratan atau kebetulan? Aku duduk mencangkung di kepala lelaki itu lalu aku perhatikan dia lama.

"Kau boleh jalan?"

Lelaki itu menggeleng. Aku nampak kerutan di dahinya. Tangannya memegang bahagian perut.

"Kau luka ke?"

Dia mengangguk sedikit.

"Tolong..." Sayu suaranya. Matanya makin kuyu dan akhirnya dia terkulai tak bermaya.

"Hamba Allah!" Bahunya aku goncang namun tak ada reaksi daripadanya. Aku ketap bibir.

Macam mana nak bawa jumpa bapak sedangkan dia lelaki? Mataku tertancap pada buluh yang tak jauh dari situ. Dengan bersenjatakan parang bapak, aku tebang tiga batang buluh panjang. Aku potong menjadi beberapa bahagian dan dicantum buluh-buluh itu menjadi seperti rakit. Diikat dengan akar-akar pokok yang menjalar dan akhirnya siap.

Dengan bersusah payah, tubuh itu kuangkat ke atas rakit buatanku tadi. Aku guling-gulingkan tubuh lelaki itu. Peluh dingin memercik di dahi. Aku gagahkan diri menarik rakit tadi dengan lelaki itu terlungkup di atasnya.

"Ya Allah, ringankan bebanku. Permudahkan urusanku." Aku menadah tangan.

Aku tarik perlahan rakit itu. Sedikit demi sedikit ia bergerak. Apabila keletihan, aku berhenti seketika kemudian kutarik lagi. Akhirnya aku nampak bumbung rumah kami. Aku senyum. Berjaya!

Rakit itu aku tarik lagi. Aku nampak bapak duduk di pangkin rumah sambil memegang senaskhah al-Quran.

"Bapak! Mawar jumpa dia lagi!" Aku menjerit pada bapak.

Bapak menggamit. "Bawa ke sini. Apa kau sudah lihat matanya? Apa dia baik hingga kau bawanya pulang?" Bapak bertanya.

Aku angguk yakin. "Dah. Dia baik je. Mawar pasti tapi... dia luka."

"Tarik dia ke sini. Nanti bapak bawa masuk ke rumah."

"Mawar masuk bilik. Bapak mahu memeriksa tubuhnya. Auratnya bukan untuk tontonan Mawar." Bapak memberi arahan tegas.

Aku bangkit lalu duduk di katil kayu. Bilik maksud bapak adalah tempat pembaringanku. Yang cuma ada katil kayu ini dan berdindingkan rumbia.

"Mawar, ambilkan penawar. Lukanya dalam sekali." Bapak bersuara dari luar.

"Luka pisau?"

"Ya. Pisau menembusi isi perutnya. Pantas Mawar. Ambilkan penawar."

Aku berlari anak ke pinggir rumah. Di situ ada pelbagai daun dan bunga yang ditanam oleh bapak. Daun dan bunga itu aku kenal setelah diceritakan oleh bapak tentang khasiat dan kegunaannya.

"Nah, bapak." Bunga calendula itu aku suakan pada bapak. Bapak menyambut.

Ketika itu tanpa sengaja aku terpandang tubuh lelaki itu. Bajunya sudah dilepaskan daripada tubuh. Badan itu dari atas hingga ke pinggang tidak beralas. Aku nampak luka di bahagian kiri perutnya. Darah kering menghiasi sekitar luka.

"Apa yang kau pandang, Mawar? Walau ini bukan auratnya, janganlah kau membiasakan diri melihat tubuh bukan mahrammu. Takut syaitan menguasai dirimu, Mawar."

Allah! Ampunkan aku. Aku berdosa pada-Mu. Ampunkan aku. Setitis air mataku menitis. Aku menderhaka pada Tuhanku. Aku tak sengaja. Sesungguhnya itu kali pertama aku melihat tubuh lelaki. Hatta tubuh bapak juga aku tak pernah lihat. Auratku juga tak pernah dipertonton oleh bapak. Hmm, ini semua kerana dia... lelaki dari mimpi.


HAQ MAWAR ✔Où les histoires vivent. Découvrez maintenant