Bab 14

4.2K 48 1
                                    

MATA kuyu Kuca terus memandang kawannya di depan. Kenal secara tak sengaja bila Taqim datang baiki kereta dekat bengkel Rodi dulu dan sejak itu mereka kekal menjadi kawan baik sampai sekarang.

"Sungguhlah, Qim..."

"Hah? Apa yang sungguh?"

Kuca senyum tawar. "Aku pandang kau, aku nampak aku yang dulu..."

"Maksud kau?" Wajah manis Taqim tadi, berubah kelat. Dia seperti tahu apa yang mahu Kuca katakan.

"Dah lama sangat, Qim..."

Bibir Taqim terjongket dengan senyuman senget yang cukup tajam. Bukan pada sesiapa tapi pada diri sendiri bila telahan dia tentang apa yang Kuca nak cakap itu, tepat!

"Sampai bila..."

"Ca..." Tangan Taqim naik menahan Kuca daripada terus bersuara. Jangan disambung biarpun sepatah kata. Dia akan betul-betul marah.

Hati dia baru nak rasa lapang ni.

"Aku tahu kau nak cakap apa. Tapi, aku harap kalau kau sayangkan persahabatan kita, jangan ungkit perkara tu depan aku!" Taqim memberi amaran. Tahap jingga. Tak kiralah Kuca atau sesiapa aje; andai dirobek kembali luka lama dia akan mengamuk.

"Kenapa, Qim?"

"Sebab aku dah lupa..."

Kali ini, giliran Kuca pula melebarkan senyum senget pada kawan baiknya. Senyuman yang menyimpan maksud sindiran. Kata-kata Taqim langsung tak boleh pakai. Nak tipu orang pun susah, apatah lagi nak tipu diri sendiri. Itu berkali ganda sukarnya. Jadi, penafian Taqim itu adalah satu penipuan yang nyata.

Sekarang, Taqim boleh cakap lupa? Kuca menggeleng sendiri. Kesal sungguh dia.

"Kalau lupa, kau tak macam ni, Qim. Hakikatnya kau tak pernah lupa!"

"Habis tu, kau nak aku betul-betul lupa apa yang dah berlaku dekat aku? Kau tahu tak susahnya aku nak survive selama ni..."

"Tapi, kau berjaya apa. Mana kau tahu kejayaan kau sekarang ni adalah berkat doa orang yang kau marah tu? Dengan doa tulus dia, kau boleh berjaya? Anak muda seusia kau tak bergantung harap pada harta keluarga. Kau bina hidup sendiri. Kerjaya sendiri. Dalam Malaysia ni berapa orang sangat anak muda yang betul-betul berjaya macam kau? Bermula daripada zero sampai kau ada segala-galanya," tegur Kuca sedikit keras.

Ya, dia faham. Hati yang merajuk, sukar nak dipujuk. Tapi, melihat Taqim yang nampak begitu kesunyian setiap kali, hati seorang sahabat rasa terpanggil untuk memujuk. Memang Taqim ada segalanya. Paling penting atas usaha sendiri. Dia dulu pun hanya mampu menumpang di bengkel Rodi. Tapi, Taqim... memang hebat.

Namun, sayang... segala-galanya yang Taqim ada itu sebenarnya tiada apa.

Taqim kesunyian.

"Esok lusa dah Ramadan, Qim. Tak boleh ke kau pujuk hati kau? Bulan baik, kita mulakan dengan sesuatu yang baik..." nasihat Kuca, lembut. Bila dia cuba pegang tangan Taqim, lelaki itu membentak.

Lama Taqim diam merenung Kuca bagai nak ditelan.

"Kalau kau suruh aku datang sebagai kawan, aku tak kisah. Kau nak jadikan aku hamba pun sebab atas dasar kawan, aku tetap tak peduli, Ca. Nak bincang tentang bisnes atau apa saja, aku boleh terima. Tapi, kalau hal ni, Ca... aku..." Taqim geleng. Dia dah sedia nak bangkit bila daun pintu ditolak daripada luar.

Kuca senyum. Pasrah. Andai Taqim mahu mengamuk pun, dia akan tadah wajahnya untuk jadi sasaran buku lima Taqim.

"Maaf, Qim... aku tak ada niat nak rosakkan hubungan kita. Anggap ajelah ni rezeki kau..." Langsung dia bangkit dan menuju ke pintu, menyambut tetamu.

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now