Bab 8

4.2K 55 2
                                    

BINGUNG. Itu yang Sirat rasakan sekarang. Siapa yang tolong dia bayar saman Wan. Tadi, jenuh dia cari surat saman tapi entah ke mana perginya. Gamaknya jatuh masa dia seluk poket dekat mini market dua hari sudah. Bila dia mintak pegawai trafik itu semak dalam sistem dengan nombor kad pengenalan Wan, nampaknya semua dah selesai. Aneh. Rasa pelik tentang barang dapur itu pun belum reda lagi, ditambah pulak dengan saman.

Dan, lelaki itu tak telefon pun lagi. Bila check call-log, tak ada pulak nombor baru. Macam mana dia nak bayar ni. Dia mana tahu nombor telefon Taqim. Hari tu tak sabar sangat, ini dia dah sedia nak bagi mana ada dulu. Kerana itu jugak, terpaksalah dia sambung kerja dengan Kak Siti untuk dua tiga hari ni demi mencari modal berniaga.

Biarpun kena maki dek Kak Siti, dia tak kisah. Janji Kak Siti izinkan. Kak Siti tu, mulut aje bising, tapi peluang untuk dia sentiasa ada. Kata Wan, Kak Siti ambik kesempatan. Biarlah. Janji dia dapat sedikit duit.

Lemah. Sirat berlalu keluar daripada balai. Menanti bas Rapid dan terus saja menuju ke Taman Beringin. Kedai Kak Siti dekat situ. Turun saja daripada bas, Sirat laju masuk ke dalam kedai. Dan, wajah Kak Siti muram.

"Kau kata kejap aje, Sirat?" Memanglah Sirat ada cakap nak keluar pergi balai selesaikan urusan saman Wan, tapi lama betul.

"Kau pergi bayar saman ke, kau pergi sengaja nak kena saman?" sindir Kak Siti bengis.

"Maaf, Kak Siti. Bas lambat tadi..." jawab Sirat jujur.

"Iyalah tu. Dah, alang-alang ni, pergi buat air sana. Itu, customer baru masuk. Pergi layan..."

"Iyalah..." Apron dicapai. Dia terus berlalu ke meja. Berniaga daripada pagi, tengah hari malah sampai ke malam, siapalah dapat tahan. Tapi dia, perlu bertahan lagi sehari dua.

"Nak minum air apa, bang?"

"Nak Nescafe ais..." jawab Fiqri.

Taqim mendongak dan sebaik saja dia memandang wajah kuning langsat itu, bibirnya lebar dengan senyum.

"Oh... dua hari lepas bukan main bengis kau, ya? Hari ni kau panggil aku abang?"

Dahi Sirat berlapis kerutan. Dah kenapa dekat sini pulak dia bertemu dengan lelaki bengis ni?! Kalau dia tahu ini Taqim, dia tak hadap nak panggil abang.

"Eloklah kau panggil aku abang. Aku rasa dihormati sikit..." Taqim menggiat.

"Saya tak akan hormat pada orang yang tak reti nak hormat pada orang lain," balas Sirat perlahan.

Taqim tongkat dagu. Melangut pada Sirat yang masih menanti pesanan daripada dia.

"Kau tanya aku lagi sekali. Boleh?"

"Kan saya dah tanya..." Suara Sirat berubah dalam.

"Tanyalah lagi sekali."

"Nak minum air apa?" soalnya dengan muka jengkel.

"Tak cukup perkataan tu..."

"Nak minum air apa..." Sirat jeda. Tarik nafas dalam. Kak Siti mengerling tak sudah-sudah.

"Nak minum air apa... bang?" Lambat-lambat dia sebut perkataan di hujung itu. Haih... ramai-ramai makhluk dalam dunia ini, kenapalah dia jumpa dengan orang tak betul ni!

"Hurmm... merdu sungguh aku dengar kau tanya aku macam tu. Rasa macam... err..." Sengaja Taqim hentikan bicara di situ apatah lagi melihat dahi licin itu terentang kerutan.

"Cepat sikit, ya sayang. Abang dahagaaaaa sangat..." tambah Taqim dengan senyuman senget yang kian menghiris pandangan Sirat.

"Okey. Kejap, ya?" Sirat malas nak layan.

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now