Bab 5

4.6K 60 0
                                    

LANGKAH kaki semakin pantas. Ada masanya, dia berlari sekuat hati dan bila kaki terasa lemah, langkah kian perlahan. Yang laju hanya air matanya saja. Mak tak akan percaya cakap dia dan Wan. Kata hati mak sentiasa tepat. Tapi, apa yang dia nak cakap dekat mak? Kebenaran? Itu yang sebaiknya. Tapi, mak tentu susah hati.

Air mata yang masih mengalir dia sapu kasar. Tangan masih gagah menjijit sisa bahan kering yang masih boleh digunakan nanti. Sirat masuk ke dalam sebuah mini market. Tersenyum pada tauke dan pekerja. Menimbang apa yang mahu dibeli dengan ringgit yang berbaki.

Arghh... malas nak semakkan kepala. Ambik apa saja yang diperlukan untuk malam ini. Esok, dia akan ikhtiarkan perkara lain. Apa susah. Bukan tak pernah berlapar.

Sirat paksa bibirnya senyum.

Senyum, Sirat. Senyum seperti mana kau memang ikhlas terima segala ujian yang mendatang.

Di balik peti air yang tinggi itu, Taqim dapat lihat wajah sayu dan mata merah milik gadis itu. Sesekali, Sirat menyeka birai mata. Nak menangis gamaknya. Tapi, bibir merah basah itu masih gagah tersenyum. Hinggakan dia pun turut sama senyum. Rasanya, orang gila aje senyum dalam keadaan yang begitu melelahkan.

Eh, kau yang gila, Qim! Senyum sorang dah kenapa kau? Seketika, dia tampar mulut sendiri. Siapa suruh kau derhaka dekat tuan. Ada aku suruh kau senyum? Huh...

Matanya kembali memerhati.

"Bagi saya beras yang timbang kilo ajelah, kak..."

"Tak jadi ambik plastik lima kilo ni?"

Sirat angguk. "Bagi saya sekilo ajelah..."

Bila pekerja kedai itu berlalu ke dalam, dia seluk poket seluarnya. Hanya ada duit seringgit dan lima ringgit. Ini pun yang banyak duit seringgit. Renyuk pulak tu. Fuh... mata dijuling ke atas.

Sebu sangat!

"Minyak pun yang sekilo ke?"

"Ya, kak. Sekilo aje dulu."

"Lauk tak nak? Segar-segar ni," pelawa tuan kedai.

Sirat geleng pula. "Bagi telur ajelah empat biji, ya."

"Eh, kenapa tak ambik sepapan aje. Lagi murah..."

Kali ini, Sirat garu kepala yang dibalut selendang. Tersengih segan.

"Susah nak bawak nanti. Saya datang jalan kaki..." Memanglah kena jalan kaki dalam dua kilometer ni. Mana ada duit nak tambang teksi dah.

Sekali lagi mata memandang ke siling kedai. Air mata mengalir jatuh di juring. Laju dia seka. Dia tersenyum pincang.

"Semua tiga belas ringgit aje..."

"Okey." Barang dan duit bertukar tangan. "Kakak kiralah dulu. Takut tak cukup..."

"Erm... cukup dah ni. Terima kasih..."

"Ya, kak." Sirat angkat plastik yang berisi barang dapur.

Tak banyak yang dia dapat dengan duit lima belas ringgit yang dia ada. Baki lagi dua helai not warna biru itu dipandang. Rasa nak meraung tapi dia sabar.

Resipi bahagia ayah. Senyum tatkala ujian paling berat menimpa. Satu hari, akan ada tangan gagah yang membantu angkat beban di bahu itu. Dan, tangan itu... dia harap ianya tanya sendiri. Tanpa bergantung pada sesiapa.

Hanya sekilas, Sirat pantas berlalu dalam senyuman yang begitu lebar. Melangkah bangga dan berani. Bernyanyi perlahan bagai tiada apa yang terjadi.

ANEHNYA perempuan ni. Nak kata gila, nampak waras. Nak kata kuat, nampak lemah. Saja buat-buat tabah. Ceh. Taqim mencebek sendiri. Lebar. Tangan terus membayar barang yang dia ambik. Pantas dia berlalu ke kereta. Perlahan-lahan kereta meninggalkan mini market dan berhenti di sebuah perhentian bas.

Daripada cermin sisi, dia nampak Sirat menghampiri. Senyuman pada bibir itu, buat dia rasa nak turun dan koyak mulut Sirat. Kalau perlu menangis, menangis ajelah. Dah kau nak senyum, siap bernyanyi segala... dah kenapa? Kau gila?! Huh.

Hati Taqim membekam. Geram.

Tangan terus menggendang stereng bila melihat gadis itu menapak perlahan hingga akhirnya, sebuah kereta berhenti di belakang keretanya. Cepat-cepat Taqim keluar.

Grab Car tiba. Pantas. Sudah hampir lima puluh meter gadis itu menapak. Mujurlah dalam masa tak sampai dua minit aje dah dapat. Taqim tunduk bila cermin tingkap diturunkan oleh pemandu Axia yang nampak dah separuh usia itu.

"Kereta rosak ke, nak?"

"Eh, tak, pak cik... itu sana.. pak cik tak nampak perempuan tengah jalan bawak barang?"

Mata dipicing. "Ha... nampak, nak..."

"Nah..." Not lima puluh dihulur.

"Nak buat apa ni?" Wajah tua itu nampak terpinga-pinga. Tiba-tiba aje hulur duit ni. Biasa orang naik dulu. Dah turun daripada kereta karang, barulah bayar.

"Pak cik tolong hantar dia balik. Seperti alamat. Baki tambang, pak cik simpan aje. Pak cik pujuklah dia naik kata hari nak hujan ke apa. Cakap pak cik berniat baik. Lagi satu, tolong bukak boot belakang, pak cik. Saya nak mintak pak cik letak barang ni depan rumah dia lepas dia masuk rumah karang..."

Beberapa beg plastik besar selamat mendarat di dalam boot. Pemandu tua itu tersengih. Pasangan kekasih bergaduh gamaknya. Tapi, si lelaki penyayang sungguh.

"Tapi, nak... berapa sangat duit tambang. Ini banyak sangat..."

"Tak apa. Pak cik simpan aje baki, ya? Anggap ajelah saya perlukan pertolongan waktu-waktu terdesak macam ni..." Taqim koyak senyuman tipis.

"Iyalah. Terima kasih, nak... sebab tak ambik baki duit ni. Untung budak perempuan tu ada lelaki yang begitu ambik berat dekat dia, kan?" Tenang, pak cik itu menyoal seraya mengangkat barang-barang masuk ke dalam boot kereta.

Mendengarkan kata-kata pak cik itu, Taqim diam seketika. Hanya memerhati pak cik itu mengangkat barang. Bukan tak nak tolong, tapi pegun. Ambil berat? Dia? Ambil berat tentang orang lain? Dan itu pun perempuan yang baru dia kenal tak sampai berapa jam?

Tak sedar, dia ramas rambut. Oh, Qim... apa yang kau buat ni? Tapi nak dihalang, semuanya dah terlanjur.

"Gaduh ke, nak?"

"Err... biasalah orang perempuan ni, pak cik. Merajuknya tu, tak berdaya nak pujuk..." Terpaksalah dia juga berbahasa.

"Itulah dia. Sebab perempuan ni kejadian Tuhan yang misteri." Pak cik itu ketawa. Boot kereta ditutup rapat.

"Pak cik gerak dulu, nak. Sekali lagi, terima kasih duit tu, ya?"

"Sama-sama, pak cik..." Taqim angguk dan bila kereta itu berlalu, pantas dia masuk dalam kereta.

Lama juga dia lihat Sirat menolak dan bila Sirat masuk dalam kereta, dia juga turut berlalu. Bukan mengundur tapi maju ke depan. Mendekat dan terus mendekat dengan kereta yang membawa gadis yang baru saja dia kenal dan itupun dengan cara yang tegang.

Bibir yang terasa pahitnya herdikan, mula terasa manisnya senyuman.

"Makin banyak ganti rugi yang aku akan tuntut, Siratul..." Mustaqim berbisik sendiri. Matanya tajam memerhati dua kertas. Salah satunya, sekadar cebisan yang tertera nama Nur Siratul dan sekeping lagi jelas dengan nama Ahmad Safwan.

Lama dia perhati dan akhirnya, kertas itu direnyuk menahan geram. Tak faham dengan tindak-tanduk sendiri. Kenapa perlu dia susahkan dirinya demi seorang Siratul yang baru dia kenal tadi?

Kenapa mesti dia dan kenapa mesti gadis itu?

Mustaqim tumbuk stereng kereta sekuat hati. Entah kenapa, ada rasa kesal dalam diri bila membantu Sirat. Tidakkah dia patut ikhlas?

Tak... dia bukan Mustaqim yang dulu. Mustaqim yang dulu dah mati!

Dia adalah Mustaqim yang dah sepuluh tahun memasang perisai yang lebih keras daripada kerikil pada hatinya.

Gear ditukar. Stereng dipaut. Chevrolet Cadillac milik Fiqri itu bergerak garang membelah jalan raya. 

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now