Bab 2

6.6K 77 0
                                    

SIAP mengisar cili kering, telefon Nokia 1100 miliknya bergetar. Tak sempat dia bagi salam, mata Sirat bulat sebaik suara di hujung talian bersuara. Dia toleh pada mak yang sedikit jauh daripadanya. Khabar yang baru dia terima mengejutkan. Ujian apakah lagi ni? Tapi, dia tak akan melatah walau seinci. Dia kena cepat. Tak nak sesuatu berlaku pada Wan. Kakinya pantas mendekati mak yang sedang ralit mengupas bawang.

"Sirat nak keluar kejap, mak..." Perlahan, dia bersuara. Tenang. Tak nak kejutkan mak yang memang tak sihat.

Senyum dikoyak bila mak menoleh.

"Eh, nak pergi mana dah dekat maghrib ni?" Riak mak nampak risau. Tangan yang bekerja... terhenti.

"Beli barang sikit..."

"Eh... kan dah pesan dekat Wan. Kejap lagi sampailah tu. Hai... budak ini pun. Mana dia pergi. Beli barang ke...buat barang...patut dah habis kerja tadi lagi mak rasa." Mak dah mula bising.

Sirat ketap bibir. "Err... ada yang tertinggal. Telefon dia tak jawab pulak."

"Apa yang tertinggal tu..." Mak nampak tak berapa yakin.

"Adalah. Sirat keluar kejap..." Tak menanti mak memberi izin, dia buka langkah seribu.

Sebuah teksi ditahan setelah dia lelah berlari. Peluh mula membasahi jasad. Dahinya berkerut. Helaan nafas juga semput. Hingga akhirnya tiba di balai polis, air mata dia rasa tak bernilai. Laju aje menitis. Sirat beranikan diri melangkah. Melepasi pagar dan pondok pengawal, hingga akhirnya masuk ke balai, dia nampak wajah Wan begitu mendung. Nampak Wan menggigil.

Perlahan, Sirat dekati. Bahu Wan disapa. Terus Wan memeluk pinggangnya.

Air mata mahu menitis lagi. Tapi, dia tahan. Dia telah merancang. Rupanya, Tuhan sedang atur ketetapan lain pada dia dan keluarganya.

"Wan tak sengaja, kak." Mata Wan merah. Ketakutan.

"Ya. Kakak tahu. Wan sabar. Biar kakak usahakan..."

"Kaulah penjaga budak ni, ya?"

Tak sempat Sirat habiskan ayat, suara yang menyapa membawa dia menoleh. Demi melihat wajah itu, kian jelas kerutan yang timbul.

"Errr... awak ni..."

"Akulah yang adik tak guna kau ni langgar!" jawab lelaki itu bengis.

Menyirap darah Sirat dibuatnya. Siapa yang lelaki ini berani gelar tak guna? Adik dia, adalah seorang yang boleh diharap. Yang tak pernah ingkar permintaan dan arahan dia. Yang taat pada mak.

"Kot ya pun adik saya salah, apa hak awak nak panggil dia tak guna?" bidas Sirat pula. Mata memicing, menahan marah.

"Ikut suka akulah nak panggil dia tak guna ke... apa..."

"Eh... Qim... sabar sikit. Kita nak selesai cara baik, kan?"

Belum sempat lelaki itu berdentum, suara sahabat menenangkan. Matanya menentang wajah marah gadis depan mata. Belas menjentik hati.

Mustaqim hela nafas. Pejam mata seketika. Memujuk hati yang sedang terbakar. Api yang kecil, kini bagai marak bila melihat mata bulat itu menikam wajahnya. Tajam!

Sakit tahu tak!

"Hah... siapa nama kau? Aku nak buat tuntutan ni?"

"Sirat..."

"Hah?" Taqim buat muka. Berselirat pulak otak nak cerna kata-kata perempuan ni.

"Sirat," ulang Sirat.

"Siratul..." tambahnya.

Wajah lelaki itu yang tadinya tegang, nampak beransur tenang. Dia toleh pada teman baiknya di sisi. Tiba-tiba luka di bawah lutut dan siku terasa pedih. Matanya memandang pada gadis dan remaja lelaki itu silih berganti.

Dia berhenti tepi jalan nak bercakap telefon dengan Fiqri sekejap. Tak sedar, telefon ke mana, dia tergolek. Nasib motor tak gerak. Tapi, jatuh kena tembok, habis badan calar. Badan calar, tak apalah. Ini, motor kesayangan tergores, tak ubah seperti jiwa sendiri digiris. Ngilu!

"Kalau nak buat tuntutan, silakan. Saya akan bayar ganti rugi. Tapi, saya nak minta satu perkara..." Kaki Sirat mendekati lelaki itu setelah dia leraikan pelukan Wan.

Dahi Taqim berkerut. Berundur ke belakang setapak. Risau pulak dia buatnya perempuan ni tambah calar luka pada tubuh dia.

"Boleh tak jangan report adik saya?" pinta Sirat berbisik. Sesekali dia toleh pada pegawai yang sedang proses laporan. Dia risau. Wan bukan ada lesen. Nanti, lain hal pulak.

"Kenapa?" Mata kuyu Taqim menentang mata merayu Sirat.

"Kita selesai dekat luar. Saya janji, saya tak lari. Adik saya pun tak lari. Saya bayar. Saya mintak maaf bagi pihak adik saya sebab dah langgar awak. Tapi, tolong..." Sekali lagi, Sirat pandang ke kaunter. Senyuman pegawai polis itu, sedikit menakutkan.

Dia juga tahu, Wan takut.

Lagipun, kalau mak dapat tahu tentu mak tak betah duduk.

"Oh, gitu?" Dia report ni sebab nak bagi ajar. Siapa ajar naik motor bawa banyak barang gantung sana-sini. Lepas tu, hilang kawalan.

Ini, sah-sah tak ada lesen.

"Ini mesti sebab kes adik kau tak ada lesen, kan? Roadtax pun tak ada. Fuh, memang keringlah kena charge. Motor kena sita. Adik kau ke dalam," ujar Taqim berbisik dekat di telinga Sirat.

Senyuman kejinya koyak lebar. Bila dia jarakkan wajah, Sirat sedang pejamkan mata. Melihat sepertinya ada air yang sedikit tergantung pada alis, entah daripada mana belas datang menyapa.

Taqim lepaskan nafas berat. Berat hati nak berbelas kasihan. Dia dah lama didik dirinya agar menjadi teguh dan tak mudah rapuh. Tapi sekarang... haih... Tak guna betul! Boleh pula hatinya tersapa dek hembusan perasaan kasihan.

"Okeylah..." Dia mengalah.

"Kalau dah kau janji macam tu, aku nak tahu berapa kau mampu bayar? Bila? Sebelum aku tarik balik report menunggang dengan cuai, tanpa lesen, tanpa cukai jalan, lebih muatan dan menyebabkan kecederaan pada pengguna jalan raya yang lain!" Sengaja dia jegil mata kuyunya pada perempuan yang baru dia tahu namanya itu dan adiknya.

"Kita bincang dekat luar. Lagipun, ini dah petang hari..." ajak Sirat sopan.

Mustaqim pandang Fiqri. Sebelah kening terjongket. Lama mereka begitu. Bila Fiqri menceber, Mustaqim senyum senget. Nasiblah aku ni baik, tahu!

"Okeylah. Tunggu dekat luar. Jangan lari pulak! Sampai lubang cacing aku cari kau nanti!" Jari telunjuk Taqim lurus tepat atas batang hidung mancung Sirat.

Hati Sirat yang tadinya reda daripada kemarahan, kembali bernanah. Sedap sungguh mulut lelaki ini berkata-kata. Langsung tak kisah akan hati yang mungkin akan terluka.

"Macamlah kau tu boleh masuk lubang cacing," gumamnya seraya berlalu pada Wan.

"Hah, kau cakap apa?" soal Mustaqim tak puas hati. Bagai semilir aje suara perempuan ni tadi! Sah-sah kutuk aku!

"Kakak tunggu dekat luar, ya? Wan jangan risau. Doa banyak-banyak..." pujuk Sirat bersama senyuman paling manis tanpa dia tahu, senyuman yang koyak pada ulas bibir merahnya direnung tajam oleh sepasang mata kuyu milik seorang lelaki yang begitu bengis.

Saat ini, Mustaqim hanya mampu telan liur. Wajah yang tadinya begitu tegang, rupanya tersembunyi garis senyum yang melenakan. Tanpa sedar, dia juga koyak senyuman tipis dan mula punyai rasa.

Indah!

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now