Bab 11

3.8K 42 0
                                    

PANGGILAN telefon Taqim kejap tadi, sedikit sebanyak buat dia berdebar juga. Wan tenang. Mendengarkan permintaan Taqim, boleh ke? Patut ke dia rahsiakan semua daripada kakak? Kalau kata kakak tahu, mengamuk ke tak? Haih... tapi, dia pun memang terdesak jugak ni.

"Kakak kau dah bayar sikit, Wan..."

"Ya, kakak ada bagi tahu..." Lemah Wan menjawab. Duit modal. Dia pulak tak dapat lagi gaji. Haihh... ada dua hari lagi ni.

"Banyak lagi ke, bang?"

"Banyak jugak. Kenapa? Dia ada cakap nak bayar bila?"

"Tak. Kakak tak cakap. Dia kata, tunggu abang call dia cakap berapa lagi baki. Kalau abang boleh tunggu dua hari, saya akan bayar lepas saya dapat gaji..."

"Kau kerja ke?"

"Ya. Dekat Giant. Bahagian loading barang aje. Tapi, kakak mintak saya berhenti pulak," luah Wan. Sebenarnya, malas nak berhenti. Tapi, dah itu permintaan kakak, dia ikutkan saja. Adalah tu kebaikan di depan hari.

"Banyak gaji?"

"Alhamdulillah, bang. Bolehlah. Baru nak dapat gaji pertama dua tiga hari lagi... itu yang saya mintak tempoh sikit. Nanti saya bayar sendiri. Kesian dekat kakak saya. Tapi, kan..." Kata-kata Wan terhenti.

Taqim tenang menanti ayat itu bersambung. Malas nak menyampuk.

"...kakak kata dia nak pergi bayar saman. Tapi, polis trafik tu kata dah bayar. Err... abang ke yang bayar?" soal Wan telus.

Taqim berdeham kasar. Matanya tak tahu nak paku dekat mana. Seperti direnung oleh sepasang mata redup milik Sirat. Ceh!

"Aku pergi bayar saman aku. Kebetulan surat saman kau ada dalam poket seluar aku. Aku kira bayar sekali ajelah. Senang. Haa... kau jangan buat spekulasi pulak. Aku ada duit lebih, aku bayar ajelah. Alang-alang kau kata, kau dapat gaji nanti... ganti balik duit aku!" ujar Taqim tegas.

Adalah tu nak gosip murahan aku dengan kakak dia! Heh. Macamlah orang hadap sangat kakak kau tu!

Mendengarkan amaran Taqim, tak jadi Wan nak tanya soalan selanjutnya. Sudahnya, dia hanya simpan sendiri. Lelaki bernama Mustaqim ni, dalam pada keras dan kasar... hati itu masih tersembunyi kelembutan dan perikemanusiaan.

"Dah banyak abang tolong saya dengan keluarga saya..."

"Kau ingat aku tolong saja?" soal Taqim jengkel.

Wan tergelak halus. "Iyalah. Saya tahu abang nak ganti rugi. Bagi saya masa, ya?"

"Eh, Wan... aku tak nak duit kau. Kau simpan ajelah. Yang janji nak bayar bukan kau, tapi kakak kesayangan kau tu. Aku pegang pada janji aje..."

"Tapi, bang..."

"Argh... kau jangan tapikan aku. Sementara aku cakap elok-elok ni, kau dengar. Jangan sampai aku maki. Yang berjanji, dialah yang kena kotakan janji. Urusan kakak kau dengan aku, kau tak ada kena-mengena. Yang berjanji dia. Tengoklah nanti, dia tak lunas janji dia... tahulah aku..." Ayat Taqim kedengaran separuh mengugut.

Wan telan liur. Biar benar Taqim ni. Tadi, dah nak jadi mesra... sekarang ni dah berubah asal balik?

"Abang jangan apa-apakan kakak saya pulak. Dia dah usaha carik duit untuk keluarga kitorang, bang. Apa-apa jadi, saya akan salahkan, abang!" tegur Wan. Dalam berani itu, masih ada getar dek rasa takut dengan Taqim.

Iyalah. Taqim orang berduit, dah tentu boleh buat apa saja pada dia dan keluarganya. Lebih-lebih lagi pada kakak. Seriau dia memikirkan. Tapi, bila difikirkan semula, semalam pun Taqim ikut dia dan kakak naik motor. Biarpun daripada jauh. Masa dia kunci pagar, dia nampak Taqim berlalu perlahan. Masa tu, kakak dah masuk ke rumah.

Dan malam kakak kata nampak motor lalu tu, dia juga nampak dan dia memang cam sangat. Itu motor Taqim yang dia langgar. Masakan dia lupa motor mewah itu.

Kalau bukan sebab risau, kenapa Taqim perlu ikut dia dan kakak?

"Tapi, kata hati saya kuat mengatakan yang abang tak akan apa-apakan kakak. Sebaliknya, abang jaga dia biarpun daripada jauh. Betul tak?" Senyuman Wan kembali terukir bila dia tolak jauh keresahan hati.

"Eh, gila kau! Ada masa pulak aku nak jaga kakak kau. Dia jaga diri sendirilah. Kerja daripada pagi sampai tengah malam. Balik sorang-sorang. Acah-acah kuat ke apa? Kalau perempuan tu, sedar diri sikit yang awak tu lemah. Haih... ikut hati aku..." Bebelan Taqim mati.

Rasa panas pulak malam-malam ni. Terus dia kuatkan aircond. Rasa basah belakang tengkuk dengan kata-kata Wan ni.

"Ikut hati abang... apa?" tanya Wan menggiat.

Taqim gigit bibir bawah. Entah apa yang dia nak cakap menjadi jawapan pada Wan. Ikut hati aku... ikut hati aku... arghh... lantaklah. Perempuan tu bukan tanggungjawab dia pun!

"Eh! yang kau ni dah berani tanya aku soalan, kenapa? Aku tanya kau tadi, kau tak jawab lagi..."

"Oh... boleh ke? Saya memang tak mampu nak bayar semua sekali harung nanti..."

"Yang ni tak termasuk hutang. Aku pelik pulak tengok kau bawak motor 'fork' senget tu. Kau datang alamat tempat aku SMS kejap lagi. Kau dengan kakak kau pun sama aje, pakai telefon kuno," kutuk Taqim.

Nak share location pun susah. Kalut. Tak pasal-pasal kena taip alamat panjang.

"Kau tak datang, siap kau!"

Wan sengih. Hailah Abang Taqim...

"Terima kasih, bang... sebab risaukan saya..."

"Hadoii... berapa kali nak cakap aku tak risau. Aku pelik! Kau tak boleh beza perkataan dah ke?" bebel Taqim. Matanya masih pada duit lusuh yang Sirat bagi. Dia yakin ini simpanan perempuan itu. Untuk apa, tak tahulah. Lupa nak tanya Wan. Lama Taqim perhati duit tersebut hinggakan Fiqri di sebelah pun dia tak sedar.

"Kau ralit sangat tengok duit tu, kenapa, Qim?" Bahu Taqim dicuit.

"Hah?" Barulah Taqim menoleh. Senyum kelat pada Fiqri. Laju dia lipat duit tersebut dan diselit celah wallet. Entah bilalah Fiqri muncul.

"Jom keluar makan," ajak Taqim tiba-tiba.

"Eh, kata tak lapar?"

"Mahu tak lapar. Ini dah pukul berapa? Dah nak pukul tiga petang..."

"Kena ponteng kerja lagi ke ni?" Wajah Fiqri nampak sayu.

"Ala... macamlah tak biasa. Bukan kau jenis makan gaji buta aje ke?"

"Yalah..." sahut Fiqri malas.

"Nak makan apa?"

"Nasi campur..."

"Kat mana?"

"Mana-mana ajelah. Lepas tu, hantar aku pergi bengkel kejap. Motor aku dah siap. Kau hantar aje. Nanti aku balik sendiri. Malam pulak aku call kau..."

Aik... Fiqri kerut kening. Lain macam bunyi jawapan tu. Jangan-jangan...

"Kau nak pergi kedai semalam ke?"

"Kan aku dah cakap, mana-mana aje. Kau bawak aku pergi kedai semalam aku okey, kedai lain pun okey..."

Ceh. Fiqri mencebek lebar. Alasan! Macamlah dia tak kenal siapa Mustaqim. Tapi, anehnya jika benar apa yang bermain dalam kepalanya tentang Taqim dan Sirat. 

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now