Bab 4

5.1K 66 1
                                    

TAK. Bukan dia. Memang bukan dia. Katalah apa saja dia tak akan mengaku kerana memang bukan dia. Tapi, kenapa? Orang yang paling dia sayang dan dia percaya memperlakukan dia begini. Malah, langsung tak kisah dengan senyuman sinis perempuan jahat itu yang sedang membelah hatinya menjadi beberapa bahagian.

Berkali dia mohon maaf dan katakan dia tak sengaja ada di bilik itu. Dia tak sengaja menolak daun pintu bilik air bilik itu. Dia tetap mohon maaf biarpun dia tak mengaku itu salahnya. Tapi, apa yang dia dapat?

Dia hanya dilukai.

Yang tinggal hanya parut dan sakit yang tak akan pernah hilang. Buat selamanya. Sekarang, bila orang buat dia... semudah itu meminta maaf dan berharap agar dia lupakan segalanya.

Tak... Siratul tak boleh diberi muka. Berlindung di balik wajah naif itu sedangkan hatinya adalah hati serigala yang kelaparan.

"Kalau aku tak minta maaf?" giat Taqim setelah lama dia mendiamkan diri. Cuba membendung antara masa lalu yang menyakitkan dengan masa kini yang merasakan dia begitu berkuasa.

"Kalau tak nak, tak apalah..." Sirat pandang Safwan.

"Wan maafkan dia, ya?"

Tak berkata apa, Safwan angguk. Dia kerling Mustaqim seketika tapi pantas menunduk bila nampak mata kuyu itu makin tajam merenung dia dan kakak.

"Hari ni, saya tak bawak duit lebih sebab saya keluar gesa-gesa. Saya bagi nombor telefon dengan alamat rumah saya. Nanti saya bayar berapa saja amaun. Kalau sikit, saya bayar terus. Kalau banyak, saya harap timbang rasa awak. Bagi saya masa atau biar saya bayar ansur-ansur." Sirat ajak Taqim berkompromi biarpun dia sepertinya dah tahu yang lelaki bengis ini, tak mungkin mahu terima cadangan dia.

Cuma padanya, tak salah dia meminta. Andai perlu, dia akan pertaruhkan segalanya yang dia ada. Biarlah sekadar minum air paip saja untuk isi perut. Janji, dia lepas daripada belenggu manusia-manusia berhati singa.

"Boleh pertimbangkan permintaan saya?" Lembut Sirat menyoal bila tiada jawapan yang dia terima daripada Mustaqim.

Kata-kata Sirat yang lebih pada merayu itu, sebenarnya dah menusuk ke pendengaran. Jatuh ke hati. Tapi, entahlah. Kesan itu tak lama. Dia... mana pernah suka mana-mana perempuan. Bukan sekali orang cap dia dengan Fiqri bercinta sesama sendiri. Tapi, ikut sukalah nak bercinta dengan lelaki pun. Huh!

Hati yang tadinya tenang, kembali bergelora.

Senyuman manis milik bibir merah itu, bagaikan dah bertukar menjadi belati yang begitu tajam. Senyuman Sirat pada Wan itu adalah untuk dia. Dia tahu. Senyuman itu, senyuman menyindir.

Sama seperti senyuman yang dia nampak sedekad yang dulu. Senyuman yang begitu menyakitkan. Yang dah buat dia menderita. Yang meninggalkan luka di hati dan darah daripada kesan luka itu masih lagi menitis hingga ke hari ini.

"Kau ingat, kau mulia sangatlah mintak adik kau maafkan aku?" Taqim menyelar.

Fuh... detak dalam dada Sirat dah lain macam. Orang dah bagi kau peluang, kau buat main. Dia memang malas nak panjangkan hal. Kalau kata sampai ke rumah, dan mak tahu... lagi haru. Memang mak tak akan marah. Tapi, mak akan tunduk pada manusia macam ni demi sebaris maaf. Tak akan dia izinkan. Tambah pulak mak tak sihat.

"Memberi maaf tak semestinya menjadikan kita mulia dan meminta maaf, tak akan menjadikan kita hina. Cuma, tangan yang memberi itu lebih baik daripada menerima. Mulia atau tidak, bukan urusan kita sebagai manusia, saudara."

Dang! Taqim sentuh dahi sendiri. Seperti terkena peluru daripada penembak hendap.

"Kau sindir aku?" Kaki Taqim melangkah ke depan. Merapati Sirat.

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now