Bab 6

4.5K 61 0
                                    

TURUN daripada kereta, Sirat hanya mampu mengucapkan terima kasih. Syukurlah. Kerana seperti janji Tuhan... dalam setiap kesulitan, akan ada kemudahan. Dan, pak cik ini hadir menjadi kemudahan saat dia hadapi kesulitan biarpun pada mulanya risau jugak. Iyalah, tiba-tiba aje berhenti cakap nak tumpangkan dia.

Nak terus naik, dia berasa sangat ngeri. Tapi, bila pak cik itu terus memujuk dan wajahnya juga ikhlas... dia akur. Hanya berserah pada Allah tapi itulah... orang yang punyai kereta kecil ini, begitu besar jiwanya sedangkan lelaki yang ada motor dan kereta besar, jiwa dan hatinya begitu sempit.

Sirat menutup pagar. Berhenti seketika dan merenung jauh ke jalan. Entah apa yang menarik untuk dia lihat, dia tak tahu. Cuma rasanya seperti ada sesuatu yang mahu mendekati dia. Entah suka atau duka. Kedua-duanya berbeza tapi dia akan terima dengan cara yang serupa iaitu penuh dengan rasa syukur.

Pagar ditolak. Rumah teres kos rendah itu hening. Entah apalah alasan yang Wan bagi dekat mak. Dia pandang motor Wan. Side mirror pecah. Malah, mud-guard depan juga pecah. Tak mungkin Wan mampu beralasan bila begini sekali keadaan motor.

Sebaik saja salam diberi, Sirat masuk ke rumah. Wan tenang menonton TV. Pantas bangkit mendapatkan dia.

"Kakak okey?" Wan lantas bangkit mendekati kakaknya.

Sirat angguk dan senyum.

"Bawak ni ke dapur." Barang tadi bertukar tangan.

"Mak mana?"

"Tadi solat..."

"Iyalah. Kakak mandi dulu. Lepas tu, baru kakak masak. Wan tolong jerang beras dulu."

"Yalah, kak..." Wan akur. Dia terus ke dapur.

Melihat keadaan kakak, rasanya tiada apa yang terjadi. Mungkin segalanya dah selesai tapi entahlah. Dekat mak pun, dia tak mampu berterus-terang. Dia cuma cakap dia jatuh motor. Macam mana nak menipu, jika mata mak sendiri yang tengok keadaan motornya. Tak sempat nak tutup seperti yang kakak pesan. Cuma, dia tak cakap dengan lebih terperinci.

Mak tak berkata apa, tapi dia yakin... mak rasakan sesuatu.

Tak lama, Sirat muncul di dapur dengan rambut panjang yang diikat tinggi. Dia dekati Wan.

"Mak syak bukan-bukan?"

Wan angguk.

"Tak apalah. Nanti, lepas makan biar kakak cerita terus-terang dekat mak. Kita tak pernah sorok apa-apa daripada mak. Wan jangan risau. Esok kerja lagi, kan?"

Wan angguk. Habis minggu ni, cukuplah sebulan.

"Wan dapat gaji, kita bayar duit abang tu, ya?"

Abang? Sirat senyum sendiri. Baik adik dia. Orang dah hina macam tu sekali, tapi Wan masih lagi memanggilnya abang. Pada dia, lelaki seperti itu tak layak dihormati. Buat apa nak hormat pada orang yang tak reti nak hormat orang lain.

Agama mana yang ajar untuk bersikap demikian biarpun pada pesalah?

"Kakak mesti marah abang tu lagi, kan?" soal Wan perlahan sambil menggoreng telur.

Saat ini, percikan minyak langsung tak menghalang Sirat daripada terus mengacau cili kisar yang baru dia tuang dalam kuali.

Marah? Entahlah. Rasanya tak marah. Tapi...

"Kakak kecewa sebenarnya..." Ya, itulah jawapan yang tepat. Dia memang sangat kecewa dengan kata-kata Taqim.

"Sebab?" Wan jelas tak faham.

"Sebab semudah itu dia panggil Wan tak guna tanpa dia kenal Wan. Ya, Wan salah. Kakak pun tak kata Wan tak salah. Kita sanggup bayar semua kerosakan dia. Tapi, dia tak berhak panggil Wan tak guna. Sebagai kakak, kakak memang kecewa. Ikut hati, kakak nak maki dia, Wan. Tapi, lidah kakak ni... tak pernah pulak kakak ajar untuk cakap yang bukan-bukan..." Air wajah Sirat jelas menggambarkan apa yang dia rasa.

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now