Bab 7

4.3K 51 0
                                    

MATANYA sejak tadi rasa mengantuk tapi tak tahulah kenapa, payah sungguh nak lelap. Biasanya kalau dah penat, dia akan terus terlena aje bila kepala bertemu bantal. Biarpun tidur itu akan disentap dengan mimpi ngeri dan membuatkan dia berjaga hingga ke pagi. Ini tidak. Lain pula jadinya.

Taqim pandang skrin telefonnya yang dah gelap. Macam tak percaya bila dia benar-benar telefon Sirat tadi. Mulanya dia bimbang jika Sirat jawab panggilannya, entah ayat apa yang dia mahu guna. Takkan dia nak bagi alasan duit lagi?

Tapi, mujurlah juga Wan yang jawab.

Setidak-tidaknya, nafas yang dia hela sekarang terasa sedikit lapang. Dia rebahkan belakang di tengah tilam. Suasana bilik yang redup dan menenangkan tapi lenanya sentiasa terganggu. Taqim bawa lengan kirinya ke bawah kepala.

Sejak petang tadi...

Sejak di balai polis...

Sejak di kedai runcit...

Sejak dia mendengar dan melihat sendiri bicara Sirat dan Wan...

Masih wujudkan hati yang begitu zaman sekarang ini?

Masih adakah kepercayaan yang sedemikian antara dua jiwa?

Tidak dapat tipu diri sendiri, dia sebenarnya kagum dengan cara Sirat dan Wan hadapi kemarahannya. Sikap tenang Sirat biarpun tenang itu hanyalah untuk menipu diri sendiri... tapi setidak-tidaknya perempuan itu nampak tabah pada pandangan mata lain biarpun di belakang, air mata Sirat jatuh laju ke pipi.

Apatah lagi bila dia teringat betapa erat dan mesranya Sirat memeluk Wan dalam keadaan yang begitu sukar. Benarkah masih ada manusia seperti itu? Yang langsung tak menuding jari pada orang lain? Yang mencari peleraian di dalam setiap kekusutan?

Dan, manusia itu adalah Sirat?

Tak! Tak mungkin! Itu semua lakonan yang mahu kaburi matanya. Mana ada manusia yang begitu luhur hatinya? Sirat bukan bidadari. Sirat juga sama seperti manusia yang dia mahu lupakan itu. Yang telah merobek hatinya. Gadis bernama Siratul itu sama. Tiada yang berbeza.

Tak semena, Taqim angkat tubuh dan mencampak sebiji bantal ke dinding. Dia raup wajah. Dia sepatutnya dah berjaya lupakan semua tu, tapi kenapa ianya masih segar dalam kepala. Seperti baru semalam dia laluinya.

Telefon yang bergetar, memaksa Taqim tolak semua rasa ngeri itu ke tepi. Dia senyum. Nama Fiqri muncul.

"Mana, bro? Lama aku tunggu ni..." Suara Fiqri suara orang tak puas hati. Iyalah, janji nak keluar malam, tapi batang hidung pun tak nampak.

"Kau bukan tak tahu, Kuca dengan Rodi bukan boleh lama-lama sangat. Kau lupa ke, buat-buat lupa?"

"Aku ingat. Tapi tadi aku terlelap..." Dia picit pelipis. Rasa tak larat nak keluar tapi kereta Fiqri ada dengan dia. Motor dia pulak, ada dengan Fiqri.

"Kuca dengan Rodi dah sampai dah?"

"Woi... kitorang nak balik dah ni..." Suara Kuca mencelah.

Taqim tergelak halus. Bila dengar suara tiga orang teman baiknya sedang berkumpul, semangat yang tadi luntur, kembali mempunyai warna.

"Iyalah... aku siap. Bagi aku setengah jam..."

"Setengah jam tu... lama Qim..." Giliran Rodi mengusik.

"Okeylah tu. Aku bawak kereta Fiqri. Kalau motor aku, lainlah aku cilok-cilok. Kau faham-fahamlah kereta Fiqri ni. Bukan pick-up sangat..." Sengaja dia kutuk Fiqri.

"Woi, gila...kutuk kereta aku, aku calar motor kau karang..."

Kuca dan Rodi ketawa mendengar Fiqri memaki Taqim.

"Ala... aku gurau. Itu pun nak sentap..." Taqim mencebek.

"Eleh... dia yang sentap lepas kes tutttt..." Giliran Fiqri pula ketawa tapi tawa itu tak bersahut.

Taqim menyepi. Memang dia terasa. Dengan siapa? Dengan Wan? Terasa sebab motor dia calar? Terasa dengan mulut lepas Fiqri yang dia dah kenal sejak dulu?

Tak...

Dia tak kisah dengan semua tu.

Yang menjadi masalahnya, kenapa dia seperti terasa dengan Sirat? Dia terasa dengan cara perempuan itu memandangnya. Dia terasa dengan cara perempuan itu berbicara dengannya.

"Qim... kau sentap dengan aku ke?" Rendah perlahan Fiqri menyoal. Dia dah biasa macam ni. Bukan Taqim tak kenal. Eh, rasa bersalah pulak.

"Qim... aku..."

"On my way. Jangan balik dulu," pangkas Taqim dan dia terus putuskan talian.

ENJIN Ducati Diavel itu dimatikan. Dia hanya memandang daripada jauh pagar rumah itu. Yang tidak sedar, penghuninya keluar. Mula-mula nampak Safwan yang sedang membersihkan motosikal. Tak lama, Sirat keluar dengan kepala yang ditutup dengan tuala bersama sebakul kain.

Hatinya tertanya, dah lewat begini... entah bila Sirat berhenti bekerja dan berehat. Dan, dia juga tak tahu kenapa dia perlu hadir ke sini menjadi penghendap. Gila! Taqim mahu berlalu bila dia lihat tawa Sirat. Entah apa yang begitu mencuit hati gadis itu hingga mulut Sirat bukak sebegitu lebar.

Kenapa kau perlu ketawa. Siratul? Tidakkah kau perlu meratap di atas segala musibah yang dah menimpa kau? Kenapa Sirat boleh ketawa? Sedangkan dia berpuluh tahun menggalas derita? Sendirian? Bahu yang selama ini terasa kuat, sepertinya makin rebeh menggalas kesannya.

Wajah Sirat di matanya mula kabur. Taqim buka helmet full-face tersebut dan mengesat juring mata. Dipicingkan pandangan memerhati gadis yang sedang menjemur kain. Sesaat pun, dia tak nampak wajah Sirat berkerut. Malah, melihat akrabnya Wan dan Sirat, dia harus akui... dia cemburu. Kenapa hanya dia perlu begini padahal Sirat adalah pesalahnya?

Huh! Taqim mendengus. Dia hidupkan enjin motosikalnya dan terus saja berlalu dan saat melintas di depan gadis itu, dia sempat menoleh. Saat ini, dia yakin yang pandangan mata mereka berlaga dan dia juga tahu, Sirat tak akan cam siapa dia.

"Ooo kak!!!" Wan tepuk bahu Sirat.

"Eh kau ni, Safwan... terkejut kakak. Apanya?" Berkerut-kerut dahi Sirat memarahi Wan.

"Orang dah panggil dua tiga kali dah..."

"Iyalah, pasal apa?"

"Wan tanya... termenung apa sampai tak jemur kain tu? Nak Wan tolong ke?" Safwan dah capai sehelai kain dan disangkut ke ampaian. Sempat dia mencebek pada Sirat.

"Kakak pandang apa?"

"Entah... Wan nampak tak ada motosikal lalu sini tadi..."

"Iya ke?" Wan memandang kiri dan kanan. Kosong.

"Macam tak dengar bunyi motor pun. Kakak ni biar betul..." Ngeri pulak dengan kakak sehari dua ni.

"Eh, kau ni. Betullah. Memang dia lalu depan rumah ni..."

"Dah tu, ini kan jalan. Apa masalahnya dia lalu..." Sehelai lagi kain dijemur. Kakak memang sejak tadi tak buat dah. Dok intai apa entah.

"Tidaklah masalah. Tapi, kakak rasa macam..." Bicara Sirat mati. Perlu ke dia cakap dekat Wan macam lelaki siang tadi tu?

Kalau ya, kenapa? Takut dia tipu dia tinggal dekat sini? Itu datang check? Heh... memang jenis manusia yang tak boleh diajak berkompromi langsung!

"Macam apa?"

"Erm... tak ada apalah. Biarlah dia lalu. Ini kan jalan..." Sirat pandang bakul. Eh dah kosong. Kemudian dia sengih pada Wan.

"Thank you..." Dia terus sengih dan masuk ke dalam rumah dan sebelum sempat dia rapatkan pintu, dia intai sekali lagi keluar.

Ya... dia yakin pandangan mata mereka bertaut sama sendiri biarpun wajah penunggang itu tersorok di balik helmet full-face.

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now