"Kau mesti kutuk aku, kan?" duga Taqim. Mulut comel itu selalu sangat herot sana-sini. Memang sedang baca mantera ni.

"Saya tak kutuk." Tenang, Sirat membantah tekaan Taqim.

"Saya cuma pelik. Kenapalah manusia ni, susah sangat nak puas hati. Bila orang buat salah dengan tak sengaja, dah minta maaf... masih tak boleh terima. Lepas tu, bila beri bantuan, orang ucap terima kasih... masih rasa sangsi. Apa ya, manusia jenis ni nak sebenarnya dalam hidup dia?" tanya Sirat tenang.

Mendengarkan kata-kata dan soalan Sirat, Taqim diam. Lama. Hanya mata kuyunya masih tak lepas merenung wajah penat Sirat. Pada mulanya, rasa nak dibahas kembali soalan Sirat, tapi wajah itu ternyata sangat letih. Mata yang hampir terkatup itu, sengaja dijegilkan. Malah, ada kesan comot pada pipi putih Sirat.

"Kau tahu tak, aku tak dapat makan sampai sekarang sebab termakan masakan kau siang tadi. Apa kau bubuh, hah? Kau saja, kan?" ujar Taqim. Sengaja dia menuduh.

"Eh, orang lain elok aje makan. Yang awak tiba-tiba sakit perut, dah kenapa? Awak sengaja nak fitnah saya, kan?"

"Eh, ada aku cakap sakit perut? Ada?" Mata kuyu Taqim membulat. Menjawab budak ni!

"Aku cakap, aku sampai sekarang tak boleh makan. Kebulur aku dibuatnya."

"Bukan tadi awak dah bungkus ke? Takkan dah basi? Tak logik..."

Taqim rasa nak tepuk dahi sendiri. Bendul rupanya Sirat ni!

"Yang tu aku makan lepas asar tadi. Lapar sangat. Ini malam haa..."

Sirat pandang jam pada telefon bimbitnya.

"Ini dah lewat nak makan malam. Tak elok. Makan esok pagi ajelah..." Malas nak layan orang tak betul ni. Dia penat ni. Mengantuk sangat.

Tiba-tiba saja, Taqim ledakkan tawa tiba-tiba. Apa punya zamanlah perempuan ni duduk. Masih pakai Nokia 1100 ni. Aduhai... ini zaman Androidlah. Orang semua sibuk dengan peralatan canggih, perempuan ni masih pakai telefon ni?

"Awak gelak kenapa?"

"Telefon kau. Kuno. Macam kau jugak!" Tawa Taqim masih tersisa.

Hati Sirat membekam geram. Dasar gila. Yang budak Wan ni, lama pulak nak sampai. Haihh... dah dekat jam dua belas tengah malam ni.

"Tak apalah. Saya guna untuk telefon mak dengan adik saya aje. Lepas tu, tambah lagi sorang..." Sengaja Sirat sindir Taqim.

"Seorang lagi tu... akulah, kan?"

"Saja tanya soalan yang memang dah ada jawapan, kan?" balas Sirat menyelar.

Senyuman senget Taqim tersungging pada hujung bibir. "Selain mak kau, adik kau dan aku... ada siapa lagi?"

"Ada..." Saat ini, Sirat sengetkan senyuman tajam.

"Hospital gila. Kotlah lepas ni saya perlu telefon ke sebab ada orang tiba-tiba jadi gila depan saya kan. Siapa tahu..."

Barulah Taqim sedar, Sirat mengata dia.

"Kau tu dahlah berhutang, berani pulak mengata orang. Jangan sampai aku buat kau jadi gila, sudahlah..." marahnya.

"Saya nak gila disebabkan orang macam awak? Memang tidaklah..."

Waktu ini, Taqim nampak wajah Sirat puas hati dapat kenakan dia. Eleh... ingat dia senang nak mengalah ke? Ini Mustaqimlah!

"Aku tak mainlah buat kau gila sakit otak tu..."

"Habis tu?" Wajah Sirat masam.

"Aku buat kau gila dekat aku. Baru kau tahu..."

"Memang dasar orang gila!" marah Sirat tapi Taqim hanya ketawa.

"Tapi, memandangkan ni dah tengah malam. Saya pun penat sangat, kita jangan buang masa. Berapa ya kos awak repair motor?" Dia malas nak layan Taqim dah. Mata pun dah tak boleh nak buka ni. Mengantuk sangat.

"Oh, kalau tentang tu... aku tak pergi ambik lagi motor aku. Jadi, tak tahulah berapa pomen itu caj..."

"Hah? Awak ni main-mainkan saya ke apa? Siang tadi, awak cakap suruh saya tunggu awak..."

"Jadinya, kau sengaja balik lambat ni, sebab tunggu akulah, ya?" Kening lebat Taqim terjongket sebelah.

"Eh, dia ni..." Sirat kehilangan kata.

"Haa... kan aku dah cakap. Jangan sampai aku buat kau gila dekat aku. Merana kau, Siratul..." balas Taqim dengan riak bangga.

Memanglah Mustaqim ni dasar putar belit fakta. Geram sungguh. Pakar menyakitkan hati!

"Malas nak layan orang gila ni. Nah..." Sirat tarik lengan sasa Taqim dan letakkan dua ratus lima puluh ringgit atas telapak tangan lelaki itu.

"Kalau dah tahu jumlah semua, SMS ajelah saya. Ingat sikit, telefon saya ni tak boleh WhatsApp segala benda tu. SMS aje..."

"Call, tak boleh?" Saja Taqim menambah bara pada wajah merah Sirat.

"Kalau rasa nak kena maki, call la!" ugut Sirat. Dia terus berlalu. Langkahnya laju.

"Oh... berani kau nak maki hamun aku, ya?"

"Dah awak tu suka sangat mintak nak kena maki, kenapa? Bosan sangat hidup ni? Bahagia sangat dah sampaikan sengaja carik penyakit? Nak rasa sedih? Susah hati? Gelisah? Tak tenang?" Hah, ambik. Semua benda kalau boleh Sirat nak sebut.

Wajah Taqim yang jelas nakal tadi, berubah riak. Nampak serius dan sedih. Buat Sirat rasa bersalah pulak kerana lantang lidah berbicara. Tapi, dia memang geram. Tak boleh tahan sangat dah. Buang masa dia sungguh. Orang penat ni, tahu tak?

Tapi sekarang ni, kenapa wajah itu berubah begitu sekali? Sama seperti Taqim meminta dia mengisi lauk dalam pinggan siang tadi. Atau boleh jadi Taqim pernah ada bahagia yang direnggut dengan kejam tanpa rela?

Akhirnya, dia kembali dekati Taqim.

"Ya... aku dah sangat bahagia," jawab Taqim perlahan.

Orang tak pernah tahu apa yang dah dia lalui. Segalanya, tak pernah dia lupa sampai sekarang biarpun perkara itu dah berlalu sepuluh tahun.

"Aku ambik duit ni." Helaian Ringgit Malaysia itu, Taqim tunjuk semula pada Sirat sebelum dia selit dalam poket jeans lusuhnya.

Dia kemudiannya, menoleh hendak menuju ke kereta.

Melihatkan langkah lemah Taqim, Sirat dipatuk rasa bersalah. Hinggakan bisa itu merebak dengan cepat. Lidah dia tak pernah selantang ini kerana tak pernah ada yang berani mengusik letak duduknya. Tapi, kenapa Taqim ni berbeza? Hanya kerana silap yang tak sengaja, dia bagai terhukum seumur hidup. Sepertinya telah menjadi banduan penjara yang Taqim bina.

Lemas! Rimas!

Jam telefon dipandang lagi. Manalah Wan? Dia takut nak naik teksi. Lagipun, baru dapat upah. Takkan nak perabih bayar duit teksi? Tak tahulah kot Wan kecut kerana kes saman itu. Sebut pasal saman itu, entah hamba Allah manalah yang begitu baik hati? Andai sekali aje Tuhan izinkan, dia mahu bersemuka dengan seseorang itu.

Entah kenapa, kata-kata Taqim tadi melayang dalam kepala. Tak makan lagi sejak siang tadi? Ini dah tengah malam? Sirat pandang kereta Nissan Skyline GTR kelabu berjalur royal blue yang sedikit jauh daripada dia. Pemandunya masih setia di situ. Tak berganjak walau seinci. Seperti jauh dibawa berlari ke dalam angan yang tak berkesudahan. 

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now