10

673 31 0
                                    

Firuz dan Nina mengekoriku ke bahagian solat wanita. Shawl berwarna hitam yang sentiasa ku bawa ke mana-mana sebagai persediaan sekiranya perlu singgah solat di mana-mana masjid ku pakai bagi menutupi rambut.

“Cantik.”aku terkenangkan kata Izlan sepatah apabila melihat aku bertudung tadi. Aku pura-pura tidak mendengarnya.

Matanya redup sahaja memandangku. Nampak dia begitu suka melihat aku bertudung bila senyumnya tidak berhenti sepanjang perjalanan dari kawasan parkir hingga ke pintu masjid.

Aduh Hanna.

Nak solat sudah-sudahlah berfikir tentang Izlan.Macam mana nak khusyuk?

Terdengar-dengar suara hatiku menengking marah. Firuz yang sudah selalu ku bawa ke Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah nampak biasa dengan persekitaran masjid.

Dia nampak seronok menunjukkan Nina di mana tempat berwuduk, tempat mengambil telekung dan sebagainya.

Nina pula kelihatan teruja melihat kecantikan masjid dan hiasan dalaman masjid terutama corak kubah dari dalam masjid.

“Cantiknya masjid ni Mak Su...” Kata Nina padaku. Aku membiarkan sahaja dia memanggil diriku dengan gelaran Mak Su.

Di dalam kereta tadi aku mendengar Firuz memanggil Izlan dengan gelaran Pak Su.

Kanak-kanak. Mereka menerima situasi dengan mudah dan tanpa prasangka. Tidak seperti orang dewasa, hendak memulakan perkenalan  pun sentiasa diganggu oleh curiga yang entah apa-apa.

“Nina tak pernah datang ke masjid ni ke?” tanyaku pada Nina usai solat jemaah tadi.

Kami solat di saf yang belakang sekali memandangkan Firuz pun baru belajar solat. Kadang-kadang dia berhenti separuh jalan.

Tadi pun dia asyik tergelak-gelak bersama Nina sewaktu sedang solat. Tak apalah.Usia mereka baru lima tahun.
Bertatih-tatih dulu. Biar dia kenal solat melalui kenangan yang manis di zaman kanak-kanaknya.

Aku duduk bersila sambil melipat telekung-telekung yang digunakan oleh kami. Beberapa orang jemaah wanita yang lalu berhampiran kami melemparkan senyum. Aku membalasnya.

“Tak pernah. Nina tak pernah pergi masjid.”jawab Nina polos.

Nina dan Firuz berbaring sambil mata menatap keindahan kubah. Sambil main laga kaki berdua.

Selamat mereka masih kanak-kanak untuk berperangai sebegini. Jika aku yang baring terlentang seperti itu di tengah-tengah masjid, mesti dituduh perempuan yang hilang rasa malu.Atau hilang waras.

“Oh ya ke? Ayah Nina selalu bawa Nina jalan-jalan ke mana?”tanyaku.

Tiada niat untuk merisik. Hanya sekadar perbualan kosong untuk mengisi masa sebelum kami keluar dari masjid.

“Tak.Nina dah tak ada ayah. Dia dah tak tinggal dengan Nina.”cerita Nina selamba.

Sambil itu kakinya masih cuba menindih kaki Firuz. Aku memandang Nina. Menunggu butiran selanjutnya dari bibir comelnya.
“Ayah dah ada mama lain.Dia dah tak sayang mama Nina..”

Aku terdiam. Oh, bunyinya sama nasib dengan Firuz. Tapi Nina kehilangan ayah yang mencari kasih baru.Berbeza dengan Firuz yang ditinggalkan terus oleh ibu dan ayahnya di dunia yang fana ini.

Patutlah Nina nampak manja dengan Pak Sunya. Ada cerita rupanya di sebalik keakraban mereka.

“Okaylah tu Nina. Awak ada mama lagi. Saya lagi sedih tau. Mama dengan ayah saya dua-dua dah meninggal dunia. Dah masuk kubur..”sampuk Firuz laju.Lagi selamba dan tidak berperasaan.

PESONA CINTA HANNAWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu