19

563 31 0
                                    

Pening juga kepalaku memikir baju apa yang sesuai untuk dipakai bagi menemankan Izlan hari ini.

Sekejap-kejap aku cuba menggayakan kebaya biru pemberian arwah Kak Abby. Kebaya bersulamkan manik itu rasanya hanya sekali sahaja ku sarung. Cantik namun aku segan hendak memakainya selalu. Nampak terlalu elegan pula.

Untuk hari ini aku mahu mengekalkan gaya yang sederhana, pada masa yang sama aku tak mahu Izlan malu apabila aku kelihatan tidak setanding dengannya.

Ah, dia pun sempoi sahaja biasanya, pujuk hatiku.

Tapi Izlan tak perlu terlalu bergaya. Dia lelaki. Kedua, dia sememangnya tampan. Tak perlu bersusah payah make over seperti perempuan.

Karismanya sahaja sudah membuatkan perempuan berpaling dua kali untuk memandangnya.

“Mak Su ni nak ke mana? Kan nak pergi rumah Nina aje.”tegur Firuz padaku apabila melihat aku serba tak keruan memilih baju.

Bersepah-sepah katilku dengan pelbagai pilihan baju yang hendak digayakan. Firuz sudah bersiap sedia dengan beg Hello Kittynya. Penuh dengan permainan dan buku-buku aktiviti. Bekalan hendak menghabiskan masa dengan Nina sepanjang hari ini.

Gembira dia apabila aku meminta dia tinggal di rumah Nina. Jika ada pembantu yang melayan mereka, aku tiada masalah hendak meninggalkan Firuz di sana. Harapanku agar karenah Firuz tidak menyusahkan ayah Izlan dan Kak Intan.

“Tak, Mak Su nak temankan Pak Su Izlan pergi kenduri. Tak tahu nak pakai baju apa..Ayuz tolong Mak Su pilih, yang biru ni ke atau pink ni?” tanyaku meminta pendapat Firuz.

Kebaya biru atau baju kurung cotton berbunga kecil pink bersulam manik di bahagian leher. Buntu pula aku jadinya.

“Yang kaler pink la Mak Su, cantik. Mesti Pak Su suka..”cadang Firuz sambil menokok nama Izlan tiba-tiba.

Aku menjegilkan mata. Pandai-pandai aje Firuz ni. Nampak sangatkah di matanya aku mahu nampak menarik di mata Izlan.

“Pandai aje Ayuz ni..Mak Su bukan nak bagi Pak Su tu suka la. Mak Su tak tahu nak pakai yang mana..”jelasku pada Firuz.

Beria-ia pula aku tak mahu Firuz salah tafsir padaku padahal Firuz baru berusia lima tahun. Budak zaman sekarang, bijak sungguh bab ini tak perlu diajar.

“Tak apa Mak Su, Ayuz suka aje Pak Su tu. Kalau Mak Su kahwin dengan dia, Ayuz dengan Nina lagilah suka….”jawab Firuz bersahaja.

Ah sudah, ke situ pula dia. Aku menjeling Firuz sambil tergelak. Jujur sungguh tanpa berselindung apa yang dihajatinya.

Aku terus mencapai kurung berbunga pink dan bersiap-siap. Lagi 15 minit dijangkakan Izlan akan tiba menjemput kami.

“Assalamualaikum Ayuz..”tegur Izlan pada Firuz sebaik sahaja Firuz masuk ke bahagian keretanya. Aku pula duduk di sebelah tempat duduk pemandu,

“Waalaikumussalam Pak Su..”sahut Firuz dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Izlan. Aku senang sekali dengan kemesraan yang ditunjukkan mereka berdua.

Izlan memandu untuk menghantar Firuz ke rumahnya. Nina dan seorang wanita separuh umur menunggu Firuz di kerusi rehat di halaman rumah. Ceria sahaja wajah Nina dan Firuz melambai-lambai ke arah kami sebelum kereta bergerak semula.

“Itu bibik yang awak cakap tu ke?” tanyaku pada Izlan.

Rasanya ini perbualan pertama antara kami berdua memandangkan sejak tadi kami asyik mendengar Firuz berceloteh. Izlan pula rajin melayan cerita Firuz. Dari satu topik ke satu topik.

“Haah, sebenarnya pembantu rumah jiran saya. Hari ni dia memang cuti. Selalu juga saya minta tolong kalau betul-betul urgent. Tapi saya bayarlah ikut hari..”jelasnya.

PESONA CINTA HANNAWhere stories live. Discover now