Bab 8 : Rindu

2.8K 90 10
                                    

Hati Qistina ditiup rasa kebimbangan. Dia dapat merasakan bahawa Azri mulai menjauhkan diri daripadanya. Ini mungkin berkaitan dengan kes tempohari. Atau sebenarnya Azri biasa-biasa sahaja, hanya dia yang terkesan dek perbuatannya. Terbit satu rasa yang sudah lama tidak dirasainya. Rindu. Ya, rindu. Di sela-sela malam, rindu itu tiba.

Dia sudah lama tidak merasai rindu. Susah untuk dia jelaskan perasaan rindu yang dirasainya pada saat ini. Walhal, dia tidak pernah berjumpa Azri. Gambar dia pun aku tak ada. Tapi, tak salah kan kalau aku rindu padanya?

Entah kenapa perasaan rindu mulai terbit untuk seseorang yang dia sendiri tidak tahu akan kewujudannya yang sebenar. Pada tanggapannya, Azri sudah pandai menerbitkan rasa rindu di hatinya. Sama ada secara sengaja atau tidak, dia sendiri tidak tahu. Azri seolah-olah menggunakan jarak waktu yang tertentu untuk menghantar pesanan, dan setiap pesanannya pasti bergula.

Namun, kebanyakan rasa rindu ditempelak oleh pelbagai keraguan yang sering berlegar-legar diminda. Boleh jadi juga, Azri ini hanyalah seseorang yang mahu mempermainkan perasaannya. Cuma dia berharap, Azri tidak berperangai Afwan, yang menjadi manis hanya untuk memperbodohkan dirinya.


From : Azri, September 12, 2014, 11.11 a.m.

Qis, do you know what the definition of home is?


To : Azri, September 12, 2014, 11.13 a.m.

Home? Home is a house. Kan?


From : Azri, September 12, 2014, 11.14 a.m.

Home is somewhere you can put our heart together. It doesn't necessary to be a building. It just needs our feeling.


Kita? Sejak bila mereka bercinta? Qistina tersenyum sendiri. Pesanan dua hari lalu itu cukup menghiburkan hatinya. Ego setinggi langit menahan dirinya untuk merasa lebih daripada itu. Jadi, jika Azri menjarakkan diri sekali pun, dia tidak tergerak hati untuk bertanya.

"Hey, Qis. Kenapa senyum sorang-sorang tu? Teringat pakwe ke?" tegur Dalilah.

Qistina tersengih memandang Dalilah. Tidak sangka pula teman serumahnya itu perasan dia sedang tersenyum. Mungkin dia harus meminta pendapat Dalilah mengenai ini.

"Dal, kau ingat tak si Azri yang aku cerita minggu lepas?" soal Qistina.

"Ohh.... Ha, kenapa? Dia kacau kau lagi?" Dalilah bercekak pinggang. Wajahnya sengaja dibengiskan.

"Hish, kau ni. Bukan macam tu..." Berdebar-debar jantungnya hendak berbicara mengenai hati dan perasaannya kali ini. "Aku tak tahu apa yang aku rasa ni betul atau tak. Tapi aku rasa nak jumpa dia."

Dalilah tergelak kecil. Peha Qistina ditepuk-tepuknya. Dia sudah dapat mengagak Qistina akan jatuh hati pada si lelaki misteri itu suatu hari nanti. Cuma dia tidak sangka ianya secepat ini.

"Kau dah mula suka kan dia eh?" usik Dalilah.

"Hish, Dal! Mana ada." Qistina terdiam seketika. Dia tahu Dalilah sedang menunggu sambungan kata-katanya. "Hm... Aku rasa aku dah mula rindu dia." Muka Qistina ditutup menggunakan kedua-dua belah tangannya. Pertama kali dia malu ketika meluahkan perasaannya. Dengan Afwan, dia tidak pernah begini.

"Seriously? Kau bukan pernah jumpa dia pun!" ujar Dalilah yang terkejut dengan pengakuannya.

"Memang tak logik langsung kan?"

❤️ Lara QistinaWhere stories live. Discover now