Bab 4 : Mula

4.1K 102 0
                                    


Qistina meletakkan tas tangannya di atas meja solek. Dia menghempaskan badannya ke atas katil, cuba untuk merehatkan badannya yang agak lesu. Kepalanya dipicit-picit menggunakan tangan kirinya, sementara itu tangan kanannya memegang telefon pintarnya.

Tak ada Whatsapp langsung ke? Omelnya dalam hati, hampa kerana tiada pesanan yang dihantar oleh seseorang yang ditunggunya.

"Hish, mengarutlah kau ni, Qis!" Marahnya pada diri sendiri setelah sedar akan omelannya sendiri.

Dia bangkit dari katil, meletakkan telefon pintarnya ke atas meja tepi katil kemudian mencapai tualanya di belakang pintu dan menuju ke bilik mandi. Kalau dia tidur dalam keadaan tidak segar begini, tidurnya mungkin tidak akan lena, dan dia akan jadi burung belatuk sekali lagi pada syif hari ini, sama seperti tadi.

Baru sahaja menolak pintu bilik mandi, telefonnya berbunyi. Dia kenal benar akan bunyi notifikasi tersebut. Ianya datang dari aplikasi Whatsapp. Qistina berlari-lari anak menuju ke meja tepi katil dan mengambil telefon pintarnya kembali.

From: Azri, 9.11 a.m.

Good morning, Qis. I hope you're already home.

Take care and have a good rest.

Bibirnya mengukirkan senyuman. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdegup kencang. Dia sendiri tidak pasti sama ada ianya kerana lari-lari anak sebentar tadi atau kerana pesanan yang diterimanya.

Tanpa dia sedar, jarinya sedang menaip sesuatu untuk membalas pesanan itu. Butang send ditekan.

To: Azri, 9.12 a.m.

Good morning, Mr. Unknown.Yup, I'm home, safe and sound.

You too take care and have a nice day ahead.

Qistina meletakkan kembali telefon pintarnya. Dia seterusnya menuju ke bilik mandi meneruskan hajatnya yang terkandas sebentar tadi. Wajahnya kelihatan ceria, tidak seperti sebulan yang lalu. Tidurnya akan lebih lena selepas ini.

💘 💘 💘

Qistina terjaga dari tidurnya yang lena pada pukul 5 petang. Dahinya ditepuk berkali-kali menggunakan tumit tangannya. Dia memarahi dirinya sendiri kerana terlepas waktu Zohor. Bergegas dia mengambil tuala yang tersangkut di birai katil. Bajunya dilucutkan satu persatu dengan pantas sebelum kakinya melangkah masuk ke bilik mandi.

Dipulasnya tombol pancuran air pada tahap maksima. Dia mahu badannya dibasahi air jernih itu secepat yang boleh. Sebenarnya, waktu kerjanya bermula pada pukul 8 malam. Namun, dia terkenal dengan prinsip, 'Be on time, or die'. Sampai satu jam lebih awal pun dia tidak peduli. Janji dia tidak perlu menerima balasan kerana melanggar prinsipnya sendiri.

Usai menyegarkan diri, Qistina menyarung baju kelawar bermotif batik dan mengambil keputusan untuk turun ke dapur. Dia mahu menyediakan bekal makanan untuknya ke pejabat. Pada hujung bulan sebegini dia harus lebih berjaga-jaga dengan perbelanjaannya. Jika silap perkiraan, gajinya akan habis sebelum sampai waktu gaji seterusnya. Dia tidak mahu mengusik simpanannya yang dijadikan khas sebagai tabung kecemasan.

"Buat apa tu?" Tegur Dalilah setelah melihat kelibat Qistina memasuki dapur rumah mereka.

"Soalan jujur ke perli tu?" Qistina menghadiahkan jelingan tajam pada Dalilah. Tangannya ligat memotong kentang yang sudah siap dikupas minggu lepas. Kentang yang dipotong dadu itu akan dimasak bersama potongan-potongan ayam. Seleranya lebih kepada makanan yang bersup apabila mendekati hari cuti wanitanya.

❤️ Lara QistinaWhere stories live. Discover now