1 : Kotak Beige

263K 2.7K 149
                                    

Kotak berwarna beige itu aku amati dalam-dalam. Tiga tahun kotak itu tersorok rapi di para almari bajuku yang paling atas. Aku berdebat sendiri, mahukah aku membuka kotak itu kembali?

Aku gelengkan kepala, tidak mahu menyelongkar cerita lama. Biarlah setahun kenanganku di Kota Bharu tersemat di dalam kotak itu, jauh daripada capaiku. Terlalu besar sejarah pahit itu untuk diimbas.

Selesai bersiap, aku turun ke meja makan. Mak Nah, pembantu rumahku sedang menuang kopi ke dalam cawan papa.

"Morning, Qasha. Pukul berapa kelas arini?" Tegur papa sambil melipat kembali surat khabar di tangannya. Aku mengambil tempat duduk di hadapan papa.

"Nine to one." Jawabku ringkas, sambil mengunyah roti kaya bakar di tangan.

"Pukul 9? Lagi 5 minit pukul 9, Qasha." Tegur papa mengenai kelewatanku.

"Mak Nah, mana ukulele Qasha? Setahu Qasha, Qasha simpan dalam almari." Aku tak mengendahkan soalan papa, malah mengalih perhatianku kepada Mak Nah. Dia terpinga-pinga.

"Ukulele?" Soalnya sambil menggaru kepala. Dia memandang papa, kemudian memandang aku kembali, keliru.

"Tak apalah." Aku mematikan pertanyaanku, cepat-cepat menghirup teh panas di sisiku dan berdiri, mahu beredar.

"Oh, Qasha. Kereta Qasha mama pakai. Kereta mama tak boleh hidup pagi tadi, dia rushing nak jumpa client." Papa selamba memberitahu.

"Habis, Qasha nak ke kampus macam mana?" Bentakku. Sudahlah lambat, keretaku dipakai mama pula. Takkan nak naik bas?

"Papa hantarlah. Jom." Papa menghabiskan kopinya dan kami beredar.

Suasana dalam kereta senyap. Setelah krisis hebat menimpa keluargaku lima tahun lalu, antara kami terasa renggang. Setelah tamat SPM, mereka menghantar aku belajar ke luar negara selama tiga tahun. Mereka mahu aku meneruskan hidup baru, jauh daripada segala memori pahit di sini.

Sewaktu tahun pertama aku di sana, mereka menyampaikan berita sudah merujuk kembali. Aku gembira, namun luka sudah menjadi parut. Keadaan antara kami tidak akan seperti dulu lagi.

Seperti yang dijangka, aku lewat sampai ke kuliah. Mrs. Lim, pensyarah Programmingku sudah terpacak di depan kelas. Aku dengan selamba berjalan masuk dan mengambil tempat dudukku di sebelah Janna.

"Uqasha, you are late again." Mrs. Lim memandangku tepat.

"Better late than never." Aku membalas. Berkerut dahi Mrs. Lim mendengarkan jawapanku.

"Yes, but this is the third week, and the third time you came late to my class. This is my last warning, I will not tolerate this behaviour- argh!" Suara Mrs. Lim yang asalnya meninggi dalam nada marah kepadaku, tiba-tiba bertukar kepada erangan sakit.

Tangannya sebelah berpaut menahan diri di meja, manakala sebelah lagi menekap perutnya yang membuyut. Kelas yang terdiam seketika kini panik.

"Mrs. Lim nak beranaklah, weh!" Jerit salah seorang rakan kuliahku di hadapan. Beberapa pelajar perempuan Cina berlari ke depan mendapatkan Mrs. Lim, manakala dua pelajar lelaki berlari keluar, mungkin untuk mendapatkan bantuan.

"Pagi-pagi dah drama. Kalau tau dia nak beranak, tak payah datang kelas pagi ni." Janna di sebelahku mengeluh. Aku toleh dan memandangnya tajam, tidak percaya kata-kata yang keluar dari bibirnya.

"Anyway Qasha, you bawa tak ukulele you?" Tanya Janna, menghiraukan pandangan badi yang kuberikan padanya.

"Tak." Aku menjawab pendek.

RAW || UqashaWhere stories live. Discover now