Uqasha: Nafsu | Prolog

301K 3.8K 125
                                    

Start of UQASHA: NAFSU

Segalanya bermula dengan pergaduhan mama dan papa yang berakhir dengan perceraian mereka akhir tahun lepas. Kemudian, berlaku pula kes perebutan harta antara mereka yang memaksa mama menghantarku ke rumah Ucu di Kota Bharu selama setahun.

Setahun itulah aku menumpang kasih. Ucu menjagaku bagai anak sendiri dengan penuh sabar. Bulan pertama aku di sini, aku lebih gemar bersendiri dan memendam diri. Ucu berusaha sedaya-upaya untuk memberikan aku keselesaan di rumahnya.

Kemudian, perkara yang tidak diduga terjadi. Pertemuanku dengan Hairi Zafran mengubah segalanya. Suasana kampung yang asalnya menyesakkanku kini tidak menjadi masalah besar. Aku masih sukakan kesibukan kotaraya, namun keheningan kampung kini boleh kuterima.

Hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sepatutnya menjadi hari yang gembira untuk semua pelajar Tingkatan 5. Tamatnya peperiksaan terakhir itu menandakan tamatnya perjalanan mereka sebagai pelajar sekolah menengah.

Sayangnya, tidak untuk aku. Aku bimbang inilah pengakhiran kisah cintaku dengan Hairi.

Selesai kertas Lukisan Kejuruteraan di Blok Teknikal, aku bergegas ke kantin sekolah. Kami telah berjanji untuk berjumpa. Lebih setengah tahun bercinta melalui alam maya, akhirnya dia mengajakku untuk bertemu empat mata setelah kertas terakhirku selesai.

Dalam perjalanan, aku disapa beberapa kenalan. Kami bertukar-tukar ucapan tahniah sebelum aku meminta diri. Sedang aku melewati bangunan pentadbiran, speaker berdengung menandakan ada pengumuman. Namun, aku tak endahkan dan terus berlari ke kantin.

Sampai di kantin, mataku melilau mencari kelibat kekasih hatiku.

"Mana dia ni?" Hatiku getus perlahan. Tanganku sedikit bergetar, jantungku laju. Ada rasa kurang selesa di dadaku, mungkin kerana kami tidak pernah berbual mahupun berdating, sekadar bertegur sapa untuk bertukar surat.

Lagipun, sekolah melarang keras pelajarnya bercinta. Pernah sekali kami hampir ditangkap guru disiplin kerana berduaan di belakang blok sewaktu bertukar surat. Oleh itu, demi menumpukan perhatian di sekolah, kami bersetuju untuk terus berhubung melalui telefon sahaja.

"Uqasha, apa awak buat di sini? Semua pelajar diminta berkumpul di dewan sekarang. Ada pengumuman penting." Puan Azilawati, guru Fizikku menyapa. Cemas aku pandang sekeliling mencari wajah ceria itu, namun aku anggukkan kepalaku lalu jalan beriringan ke dewan bersama Puan Azilawati.

Dewan semakin penuh dengan pelajar yang menduduki kertas terakhir pada hari ini. Cepat-cepat aku duduk di barisan belakang dan menghidupkan telefon bimbitku. Ada 1 mesej yang belum dibaca.

From: Hairi Zafran
Time: 10.53 a.m.
Saya otw ke skola. Jumpa awk di kantin ye. Ade pkara penting sy nak bgtahu dan bincangkan dgn awk. See u!

Kami berbeza aliran. Aku di aliran Teknikal manakala Hairi di aliran Sains Tulen. Kertas terakhirnya, Biologi, telah tamat dua hari lepas. Hari ini, dia ke sekolah semata-mata untuk berjumpa denganku. Mulutku mengukir senyuman kecil ketika membaca mesej itu berulang kali.

Tapi, di manakah dia?

Suara lelaki menguji mikrofon di atas pentas menyentak lamunanku. Mataku pantas tertancap ke hadapan tatkala mikrofon itu bertukar tangan. Pengetua sekolah menyambut lalu menguji suaranya sambil pandangan dihamparkan serius ke arah kami.

Jariku pantas menaip mesej balas.

To: Hairi Zafran
Time: 11.27 a.m.
Hairi, awk kat mana? Sy kat dlm dewan ni.

Selesai menekan balas, suara Pengetua kembali mencuri perhatianku. Telefon di tanganku bergetar, menandakan mesej masuk. Pasti mesej balas daripada Hairi. Belum sempat aku memeriksa isi mesejnya, pengumuman Pengetua membuatkan darahku berderau.

"Warga SMK Ayer Sempadan, saya ingin menyampaikan satu pengumuman penting kepada anda semua. Cikgu Basir, guru disiplin kita telah mendapat satu khabar yang amat mendukacitakan mengenai seorang pelajar kita." Ujar Pengetua, sayu. Mesej Hairi di tangan terus terlupakan apabila suasana dewan tiba-tiba senyap.

"Pelajar kita, Hairi Zafran, telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi kerana kemalangan. Arwah meninggal di tempat kejadian." Suara Pengetua bergetar sebelum tangannya menekup matanya, kesal.

Aku terpaku. Hairi Zafran yang manakah dimaksudkan Pengetua? Ada Hairi Zafran lainkah di sekolah ini?

Pelajar sekelilingku mula kecoh dengan suara tidak percaya, malah mempersoalkan kebenaran berita itu. Sekelip mata, suasana dewan menjadi hingar-bingar. Hatiku tidak percaya. Bukankah baru sebentar tadi telefonku bergetar kerana mesej Hairi? Terus kupandang isi mesej di tanganku.

From: Maxis
Time: 11.27 a.m.
RM0. Your SMS didn't reach 0123445678 as the phone is switched off. It'll be sent once the phone is switched on. To stop these alerts, send STOP to 22021.

Telefon di tanganku terlepas. Jantungku semakin sesak. Suara Pengetua yang kembali meminta perhatian semakin sayup di pendengaran. Mataku berair, kabur seketika sebelum ia tertutup.

Duniaku gelap. Kisah cintaku ternyata berakhir hari ini.

RAW || UqashaWhere stories live. Discover now