Tiga puluh dua

0 0 0
                                    

Perpisahan itu bersebab. Andai kata ia boleh mengamankan segala, maka lebih baik berjauhan.

*****

KOTA ATKINSON

"KITA dah sampai, D." Suara Albert memecahkan lamunannya yang sejak tadi menerawang ke horizon kenangan saat dirinya di Pulau Batu tempoh hari.

Tercenggang bukan kepalang remaja itu tatkala melihat tempat tinggal ayah kandungnya. Beberapa kali dia menelan air liurnya.

"Selamat datang ke mahligai kita, anakku!"

Albert mempelawa D untuk berkeliling dalam rumah yang teramat besar sedemikian. Dia berfikir, lebih kurang sekitar tiga atau empat buah kapal terbang boleh muat dalam rumah tu.

"Kenapalah bikin rumah besar-besar kalau cuma tinggal berdua?"

Albert terhibur dengan kelakuan anak bujangnya sebaik melihat keadaan rumah tersebut. Soalan tadi sengaja dibiarkan tergantung sepi.

"Kamu berehatlah dulu, D. Nanti malam, ayah akan tunjukkan sesuatu pada kamu dan bahas semula pasal apa yang telah menjadi perjanjian kita sebelum ini."

"Cakaplah sekarang." D mendesaknya.

Dia kena tahu hujung pangkal cerita dan mengenali asal usulnya.

"Kamu tak rasa penat ke sebab perjalanan kita tadi sangat jauh dan lama dalam kapal terbang. Ayah risau kamu mabuk udara-"

"Aku tak penat dan tak mabuk udaralah. Cepatlah bagitahu aku semuanya. Aku perlukan bukti yang menyatakan bahawa kau tu adalah ayah kandung aku."

Albert mengangguk dan melayankan saja. Dia mengarahkan anak buahnya untuk meletakkan barang-barang D ke dalam bilik. Kemudian, dia dan anaknya berjalan masuk ke dalam sebuah kamar bacaan.

Rak buku yang setinggi pokok kelapa dewasa itu menjadi hidangan mata D seusai menjejakkan kaki ke dalam sana. Ribuan bahkan jutaan buku tersusun rapi mengikut kategori dan genre.

Tempat itu mempunyai sebuah tangga menuju ke tingkat atas. Mereka naik ke sana seraya duduk pada sebuah ruang yang dihiasi sebuah meja kopi dan dua bangku mewah.

"Kamu duduk dulu. Ayah nak ambilkan sesuatu."

D menurut tetapi bebola matanya tidak puas berguling ke segenap ruangan demi menjelajah pengalaman baharu.

Tidak lama kemudian, Albert muncul kembali sambil membawa sebuah kotak bersederhana besar.

"Ini semua barang kepunyaan ibu kamu, D. Namanya, Julian..."

Beberapa buah album gambar dia belek lalu memperlihatkan kepada anaknya itu.

"Ib... ibu?" D seperti ingin menangis. Namun, berusaha dia tahan.

Terpampang wajah cantik seorang wanita yang anggun mengenakan blazer hitam. Rambutnya yang sedikit keperangan pula terhurai kemas separa dada sambil tersenyum manis.

"Cantik, kan?" soal Albert apabila anaknya tidak lepas menatap gambar sekeping itu.

D menganggukkan saja. Timbul rasa kagum kepada ibunya itu. Dia hanya mendengar cerita mengenai kisah ayah dan ibu kandungnya sambil membelek foto kenangan yang lain.

Pelbagai kisah dan sejarah lampau dia ketahui pada saat itu juga. Tetapi dia terpukul dengan kenyataan bahawa ibunya telah lama meninggal dunia angkara sebuah tragedi.

"Habis tu, di mana pusara ibu?"

Albert berhenti bercerita. Dia mengangkat punggung seraya berkata, "Esok, ayah sambung cerita. Sekarang, kamu berehatlah. Dah lewat malam ni."

Siling (2020)Where stories live. Discover now