"Ayah, oh ayah!" jeritannya dibaluti dengan kegirangan itu bergema ke segenap penjuru rumah. Haris yang mendengarkannya pun berasa pelik.

"Kenapa kamu terpekik melolong macam orang kena kejar anjing tu, Man?"

Seusai si anak mengatur nafas, dia mula membuka mulut, "Pak Cik Hanif... dia dah ditemukan, ayah."

Langsung saja kedua bahu Hilman dipegang kejap oleh Haris. Teruja punya pasal.

"Jadi sekarang ni, dia ada dekat mana? Hifza pulak?"

"Sekarang ni, dia dah dibawa ke hospital besar. Sebelumnya, ada beberapa orang kampung yang jumpa Pak Cik Hanif terapung-apung di tengah laut. Dengan badan yang yang penuh darah. Tapi tak ada pulak yang nampak kewujudan Hifza di situ..."

Diri Haris diresapi dek semangat yang baharu seraya melangkah dengan laju.

"Cepat, Man. Bawa ayah ke hospital sana. Ayah nak tengok keadaan dengan pak cik  kamu tu..."

"Baiklah, ayah. Jom."

Tidak membuang waktu yang lama, mereka berdua akhirnya bertolak menuju ke tujuan.

Pelbagai tanda tanya yang memenuhi horizon pemikiran Pak Haris. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah terjadi dengan adiknya itu.

Hatinya juga terasa tidak enak. Semoga semuanya akan baik-baik sahaja. Doanya begitu.

*****

"KAMU kenal dengan orang ini?" soal salah seorang daripada anggota polis itu menyuakan soalan kepadanya. Itu pun setelah beberapa minit meminta suspek membuka mulut.

Kelihatan sebatang tubuh terbaring tidak sedarkan diri. Namun ia sama dengan dirinya sewaktu di dalam kamar pesakit - salah satu tangannya digari.

"Dia, Leo..." ringkasnya. Akan tetapi, jawapannya itu tidak memuaskan hati si penyoal.

"Itu saja yang kamu tahu pasal dia? Selain itu, kamu pernah bertemu dengan dia sebelum ni di mana-mana? Boleh ceritakan dengan saya?"

Koby senyap seketika sebelum mengeluh kecil. Dia terpancing dek kenangan lampau. Pada waktu itu, dia masih berkhidmat untuk K.O.D.

15 tahun yang lalu...

Latihan bela diri dia tamatkan selepas mendapat panggilan daripada pihak atasannya untuk merekrut orang baharu.

Koby bergegas menuju ke tingkat tiga bangunan tersebut yang berfungsi sebagai tempat latihan utama agen baru.

"Dia, Leo. Tadi, dia masuk ke perbatasan tempat ni dan dia berminat untuk menjadi salah satu daripada anggota K.O.D."

Kapten Naz mengutarakan penjelasan serba-sedikit mengenai figura yang dia maksudkan.

Koby hanya mengangguk sambil memerhati lelaki yang bernama Leo berkenaan.

Menurut penelitiannya, Leo persis dengan seseorang tetapi stok memorinya berkabus. Dia tidak ambil peduli tentang itu sebelum masuk ke arena pertempuran.

Ya. Tempat di mana Leo sedang berdiri tanpa tahu akan apa yang perlu dia lakukan di sana.

"Leo, aku perkenalkan diri... Koby. Mulai pada saat ini, aku akan merekrut kamu dan aku akan ajarkan kamu tentang selok-belok latihan di sini."

Leo tampak mengerti. Tampangnya juga menunjukkan lelaki tersebut benar-benar serius.

"Tapi sebelum itu, aku ingin menanyakan beberapa soalan kepada kamu dan aku amat berharap yang kamu akan jujur dengan aku."

Sekali lagi Leo mengangguk.

"Kenapa kamu nak sertai K.O.D?" Soalan Koby yang pertama terpacul.

Kelihatan Leo terkelu. Dia beberapa kali menelan air liurnya serta mulai berkeringat.

"Saya nak membela golongan yang lemah di luar sana," jawabnya dengan penuh yakin.

"Hmm... walaupun kamu tahu akan risiko yang bakal kamu pikul?" soalan berantai pula ditanyakan.

"Ya. Saya sanggup merisikokan diri dan kehidupan saya sendiri untuk mempertahankan hak dan pembelaan."

"Tapi kamu kena tahu, yang ia tidaklah seperti yang kamu fikirkan. Tugas di K.O.D ini amatlah rumit. Ia tidak sama dengan pekerjaan lain di luar sana."

"Tak apa, saya pasti sanggup melakukan semuanya."

"Kenapa tak mencari pekerjaan lain? Sedangkan kamu masih muda. Keluarga kamu sudah semestinya tersangat perlukan kamu."

"Saya hidup sebatang kara. Mak ayah saya dah meninggal dunia masa saya masih bayi lagi dan saya cuma tinggal di rumah asuhan anak-anak yatim."

Provokasi Koby terhenti di situ. Dia merasakan sesuatu. Namun tanpa aba-aba, dia menyerang Leo.

Leo yang tidak melakukan apa-apa persediaan, mengakibatkan dia jatuh terduduk dek pukulan maut daripada Koby.

"Buargh!" Cecair likat Leo muntahkan. Sakit terasa perutnya tika itu.

"Bangun dan balas balik serangan aku. Lekas!"

Dalam kepayahan, Leo menegakkan tubuhnya. Akan tetapi, serangan laju oleh Koby menyebabkan dia tumbang sekali lagi.

"Argh!" erangnya bergema.

"Kamu kena sentiasa peka dengan keadaan walaupun kamu dalam kesakitan..."

Pandangan tajam Leo menyoroti individu di hadapannya. Dalam kelam-kabut, dia cuba melawan kembali.

Buku lima dia angkat selagu dengan jeritan kuatnya. Natijahnya, Koby menyiku perut Leo sebelum membantingnya ke depan.

Leo meraung dek beban sakit yang menyengat batang tubuhnya. Seumpama setiap ceruk sendi terputus dikeranakan hal itu.

"Lain kali kalau nak menyerang pihak lawan, jangan bersuara. Jeritan kamu akan menarik perhatian pihak musuh dan dia tahu kamu muncul dari arah mana. Paling teruk sekali, dia mudah mematahkan serangan kamu walaupun kamu sudah kerahkan sepenuh tenaga. Ingat itu!"

Tamat imbas kembali...

Koby menceritakan serba-sedikit mengenai perkenalan mereka. Akan tetapi berkaitan dengan K.O.D itu, dia masih menyembunyikannya. Dia ingin tahu sejauh mana pihak kerajaan boleh dia percayai. Dia khuatir jika pihak polis mengambil kesempatan akan organisasi berkenaan.

Tiba-tiba, Leo terbangun daripada lena yang panjang. Wajah Koby adalah sajian pertama yang dia jamah.

"Kau!" Mata Leo terbeliak.

1248 patah perkataan
Diterbitkan pada 05 September 2021
12:48 pm






Siling (2020)Место, где живут истории. Откройте их для себя