Bab 16 | Rasa Hati

11.7K 155 6
                                    

"Apa yang aku tak tahu?? Yang dulu kau masuk hotel dengan jantan-jantan tu kau ingat aku tak tahu?"

"....so you're still virgin."

Kata-kata yang pernah aku dengari daripada dua orang lelaki kembali berputar dalam kepala. Berulang-ulang kali kembali terngiang-ngiang di telinga bak radio rosak.

Aku pekup kedua belah telinga kuat. Tidak mahu mendengar apa-apa suara lagi. Serasa mahu gila aku dibuatnya selagi perkara ini tidak selesai.

Seawal pagi lepas subuh lagi Rayyan sudah keluar meninggalkan aku yang terlajak tidur. Bagaimana tidak terlajak tidur kalau kira-kira pukul 3 pagi baru mata mahu terlelap?

Semalam sepulangnya aku dari rumah mama, aku terus berkurung dalam bilik. Rayyan yang mengajak aku bersiap untuk keluar makan malam juga tidak aku hiraukan. Sudahnya Rayyan cuma menghangatkan kembali makanan yang aku simpan dalam peti ais lewat tengah hari semalam. Dia makan sendirian, aku langsung tidak hiraukannya.

Ya tanpa sedar aku mula tidak hiraukan Rayyan. Masalah yang membelenggu diri membuatkan Rayyan turut sama terkena tempiasnya. Bila Rayyan mahu bersuara saja aku terus menepis. Aku rasa terganggu dan rimas selagi.

Aku tahu Rayyan terasa hati dengan layanan aku tetapi seperti biasa dia hanya beriak selamba. Sedikit pun dia tidak meninggikan suara pada aku.

Kepala aku serabut dengan berita yang baru aku terima. Semuanya bagaikan satu permainan puzzle yang aku perlu cantumkan cebisan demi cebisan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Buat masa ini semuanya bagaikan samar-samar.

Apa motif kak long aniaya aku sebegitu sekali? Macam mana Rafiqi boleh tahu hal ini sedangkan aku sendiri tidak sedar? Bagaimana pula dengan Rayyan? Adakah dia tahu sesuatu berkenaan hal ini? Adakah Rayyan mengahwini aku kerana simpati? Atau dia punya agenda tersendiri?

Segelas jus oren dengan beberapa keping roti bakar yang terletak atas meja lampu aku pandang tanpa rasa. Walaupun kelam-kabut Rayyan bersiap pagi tadi, sempat lagi dia sediakan sarapan buat aku...

Alamat yang tertera atas cebisan kertas kecil yang aku peroleh dari mak kiah aku pandang lagi. Memastikan alamat yang tertera sama dengan lokasi aku sekarang.

Aku menjenguk sebuah rumah yang kelihatan sunyi dan tidak terurus. Laman rumah yang penuh dengan daun-daun kering dan rumput yang tinggi meliar sedikit sebanyak meranapkan harapan aku.

Nampak seperti rumah tidak berpenghuni namun kereta yang terparkir elok depan rumah mematikan hasrat aku untuk terus mengalah. Sudah sejam menunggu namun tiada langsung bayangan manusia akan keluar dari rumah itu.

Aku pun tidak tahu kenapa aku senekad ini. Seawal pagi lagi aku sudah bergegas ke sini. Padahal boleh saja aku menelefon tuan rumah ini sebelum ke mari? Atau nak lagi mudah, boleh saja aku turun dari kereta dan tekan loceng rumah yang tersedia elok itu.

Aku ramas-ramas tangan kasar. Aku gelisah. Aku takut akan kebenaran baru yang mungkin akan aku temui sebentar lagi. Nampaknya aku belum boleh terima hakikat bahawa aku dikhianati kakak kandung aku sendiri.

Kelibat seorang wanita berambut pendek dengan figura bak seorang model kelihatan keluar dari pagar rumah dengan santai.

Tidak mahu kehilangan kelibat wanita itu, cepat-cepat aku turun dari kereta.

"Assalamualaikum..."

Wanita itu menoleh apabila mendengarkan suara seseorang memberi salam.

Salam aku tidak dijawabnya malah dia memandang aku dari atas ke bawah dengan satu senyuman sinis.

"Inaraa? Jadi ini lah Inaraa? Cantik juga you ni eh no wonderlah beria orang tu angaukan you." Kata wanita kurus tinggi lampai itu dengan satu ketawa sinis dihamburkannya.

Padamkan Ragu ✔️ Where stories live. Discover now