Bab 3

5.9K 583 333
                                    

Aariz memberhentikan keretanya di parkir rumah banglo mewah setinggi tiga tingkat milik Dato' Sani. Pemanduannya dari Darul Hikmah di Bentong mengambil masa dua jam sahaja untuk sampai ke rumah majikannya ini. Jam tangan Casio G-Shock GBD100-1 di pergelangan tangannya dikerling sekilas sebelum pistol Glock MOS 19 yang disimpan di bawah kerusi pemandu diambil lalu disisipkan ke gun holster di pinggang.

Jaket hitam yang tersarung di kerusi hadapan bahagian penumpang juga diambil lalu dipakai dengan kadar segera. Tidak lupa juga, cermin mata hitam dan juga topi sudu turut diletak elok di kepala. Akhir sekali, topeng muka hitam yang direka khas bagi menapis habuk dan asap berbahaya dipakaikan ke muka. Dia alah pada dua benda itu. Sekali pandang, penampilannya hari ini seperti artis yang ingin mengelak daripada diserbu peminat.

"Dark, akhirnya muncul pun kau," tegur seorang lelaki yang turut sama berpakaian sepertinya. Namun, lelaki itu tidak memakai topeng muka dan itu yang membezakan mereka berdua sebagai bodyguard bersenjata Dato' Sani.

"Light," sahut Aariz lantas melagakan penumbuknya dengan buku lima lelaki itu.

"Dato' dah siap ke?" tanyanya pula.

"Macam biasalah Dark, orang tua tu kalau bersiap kalah bini dia," jawab Light. Ada nada selaran dalam jawapannya.

"Kau ni tak baiklah, Light!" gelak Aariz seoktaf nada. Tidak mahulah dia ketawa terbahak-bahak mentertawakan perangai siput sedut tambah miang majikannya itu.

"Betul apa aku cakap? Dasar orang tua... haih. Cuba kau tengok Fify tu, rasanya boleh berjanggut kucing tu tunggu tuan dia bersiap," cemuh Light lagi.

"Sabar itu separuh daripada iman, Light," tegur Aariz. Kawannya yang seorang ini tidak boleh dibiarkan hanyut dalam kegeraman, jika tidak semakin parah jadinya sindrom 'mak nenek' yang dihidapinya.

"Yalah, ustaz," balas Light lalu terus mendiamkan diri.

Sejujurnya, tidak kuasa dia mahu berhujah dengan Dark, si jejaka tampan berkulit putih setinggi 180 cm itu. Jika diajak berdebat, lebih baik dia mengangkat bendera putih siap-siap dek mulut si Dark ini boleh tahan pedas dan petah juga dalam berhujah.

"Tu, si bunga dah keluar," kata Aariz lalu ketawa kecil. Pantas tangannya membukakan pintu kereta Mercedes-Benz hitam metalik milik usahawan itu lalu mempersilakannya masuk dengan penuh hormat.

"Good morning my sunshine berdua," tegur Dato' Sani sambil melangkah penuh ayu ke arah Aariz dan Taqi, atau lebih dikenali sebagai Light.

"Morning, Dato'," balas Aariz dan Taqi serentak. Meremang bulu roma mereka berdua mendengar suara lembut si majikan, seram sungguh.

Namun begitu, sapaan selamat pagi daripada mereka berdua itu tidak lagi terus dijawab dek Dato' Sani. Usahawan itu lebih suka memboloskan dirinya ke dalam kereta dek alasan biasa, penat berjalan dari pintu utama rumah menghala ke garaj. Dia kan si bunga dengan berbaju sut pink, kasut putih, dan rambut disikat rapi ke belakang. Sekali pandang, macam pondan pun ada. Tetapi itulah, lembut jangan disangka lemah, sekali menjerit habis terkeluar suara jantan!

"Dato', ada nak singgah di mana-mana tak sebelum jumpa Cik Amra?" tanya Aariz dengan tenang di kerusi pemandu. Masa masih berbaki lagi setengah jam sebelum perjumpaan dengan pegawai pemasaran syarikat pengiklanan yang dikenali sebagai Cik Amra.

"Ya, singgah di kedai bunga dan belikan aku bunga ros merah untuk cik adik cantik tu," jawab Dato' Sani dengan matanya masih terfokus pada cermin kecilnya di tangan. Sejak dari tadi, tangannya ligat membetulkan rambut yang disisir rapi bagaikan tidak puas dengan penampilannya.

"Baik, Dato'," jawab Aariz lalu menghidupkan enjin kereta.

Keberadaan Light yang statik tercatuk di atas motor sambil menunggu masa untuk superbike berjenama Ducati itu ditunggang dikerling sekilas melalui cermin sisi. Wah, cemberutnya wajah lelaki tinggi lampai berkulit sawo matang itu!

DIA... AARIZ IKTIZAR [COMPLETED]Where stories live. Discover now