BAB 1

10.5K 674 227
                                    

Malam itu, hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Suasana yang sedia sejuk semakin bertambah dingin, sedingin air di kali yang ditimba perlahan bagi membasahkan anggota wuduk. Ya Allah, sejuk sungguh sehingga menggigil, berlaga gigi dan menggeletar tubuh setiap kali air menyentuh kulit.

"Aariz, cepat naik. Kamu tu bukannya sihat sangat duduk bermain air tu," panggil Ibu Hamidah, iaitu pengasuhnya sejak dari kecil sehinggalah dia besar panjang sekarang ini.

"Sekejap, ibu," jawab Aariz sambil menggeleng kepala.

Tersenyum sahaja dia mendengar panggilan bimbang wanita yang dikasihinya semenjak dia tinggal di rumah anak-anak yatim Darul Hikmah sejak berumur tujuh tahun. Haih Ibu, tidak sah kalau setiap kali dia menziarahi rumah anak-anak yatim itu, dia tidak akan dibebel olehnya. Masa kecil-kecil dahulu, acap kali jugalah wanita itu naik angin akan kedegilannya.

"Ish, malaslah cakap dengan kamu ni. Ada-ada sajalah ulahnya," balas Ibu Hamidah sambil memuncungkan bibir.

"Iyalah ibu, Ayiz naiklah ni." Aariz akhirnya mengalah dengan rajuk seorang Ibu Hamidah.

Sebelum dia naik ke pelantaian, sempat dadanya yang sedikit terdedah di sebalik baju kemeja putihnya dikerling. Parut lama kesan pembedahan, memanjang dari atas dada turun ke bawah. Hujung bibirnya ditarik hambar, sehambar fikirannya mengingatkan kejadian 15 tahun lalu di mana dia menerima rawatan pemindahan organ paru-paru daripada pesakit di hospital yang kematian otak.

Sehingga kini, dia masih tidak mengetahui siapakah gerangan insan mulia yang sudi meminjamkannya nafas untuk menyedut oksigen ciptaan Ilahi. Manusia mulia yang sudi memberikannya sedikit waktu untuk beribadah kepada Allah SWT.

'Ya Allah... tempatkanlah roh insan mulia penderma paru-paru kepadaku dalam kalangan orang yang beriman. Amin...' Doa Aariz di dalam hati. Lantas, dirinya berlalu naik ke dalam rumah untuk menyahut seruan Ilahi agar menyembah-Nya, Tuhan yang Maha Esa.

Usai menunaikan solat Isyak, Aariz menapak perlahan ke arah Ibu Hamidah yang sedang tersenyum simpul melayan ulah seorang kanak-kanak riang di ruang tamu. Rumah jagaan anak-anak yatim itu sederhana besar sahaja, letaknya pula di kawasan perkampungan berdekatan dengan hutan.

''Adik, seronok duduk dekat sini?" tegur Aariz kepada Dani, iaitu kanak-kanak paling muda di situ. Dani berusia dalam lingkungan tujuh tahun, sama seperti usianya ketika dia masuk ke Darul Hikmah.

"Seronok Abang Ayiz... ibu baik, semua kat sini baik. Abang pun baik," jawab kanak-kanak itu jujur. Gembira benar dia dilayan seperti putera raja di rumah itu memandangkan dia digelar adik bongsu.

"Wah, kalau begitu sukalah hati Abang. Mari sini kejap, Abang ada hadiah untuk adik," Aariz meraih kanak-kanak itu lalu diletakkan di ribanya.

Rambut Dani dielus lembut, teringat dia akan adiknya yang sudah kembali ke rahmatullah bersama dengan ibu bapanya pada 23 tahun lalu. Hatinya perih mengingatkan kembali peristiwa itu, tetapi apakan daya semuanya sudah dalam takdir Allah SWT.

"Ayiz..." tegur Ibu Hamidah lembut. Dia memahami rentak perasaan anak jagaannya itu.

Walaupun sudah lama perkara itu berlalu, perasaan bersalah anak muda berusia 30 tahun itu bukan mudah untuk diubati. Tambah-tambah lagi, punca mereka bertiga menghadap Allah SWT lebih awal semuanya berpunca daripada dirinya.

"Ayiz teringatkan Ahmad..." lirih Aariz perlahan.

"Kalau begitu, Ayiz sepatutnya hadirkan Ahmad dalam hidup Ayiz," balas Ibu Hamidah sambal tersenyum simpul.

"Apa maksud ibu?" soal Aariz tidak faham.

"Kahwinlah nak oi... itu pun perlu diajar ke? Usia kamu tu sudah 30 tahun, tahu?" jawab Ibu Hamidah lalu menepuk perlahan peha Aariz.

DIA... AARIZ IKTIZAR [COMPLETED]Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu