Bab 21 - Aku, dia, kawan

1.1K 138 91
                                    

TIDAK pernah aku rasa macam apa yang aku rasa sekarang. Saratnya dalam dada usah ditimbang. Lebih berat bila tidak mampu untuk kuluahkannya. Aku bukan jenis manusia yang suka meluah dalam sebutan. Aku ... tak mampu untuk dilihat lemah bila bercakap, meratap pada satu-satu keadaan.

Aku sedih.

Aku rasa kepedihan itu menikam-nikam.

Tetapi, perlu ke aku menangis? Lebih-lebih lagi di tempat awam. Di hadapan seorang lelaki yang aku gelar kawan. Dia ajnabi pada aku. Malu jika aku menangis di hadapannya, kerana dia. Walaupun dia sedang berada di dalam koma.

"Hadi." Hanya nama dia yang mampu kututurkan. Tak mampu rasanya nak menyebut lebih panjang lagi. Tak mampu nak buat ayat panjang-panjang. Nak beritahu yang aku ini kawan dia, yang tak pernah tinggalkan dia ketika dia keseorangan terlantar tanpa sesiapa.

Aku tahu, Hadi mendengar.

Aku tahu, Hadi mampu merasai kehadiran aku.

"Bangun, Di. Kau janji nak datang ke rumah aku lagi. Nak berbual dengan abah aku lagi." Aku paksa diri untuk bercakap walaupun sangat-sangat lelah menuturkan setiap ayat.

Jangan menangis, Amylea. Kau kena kuat. Aku bercakap dengan diri sendiri.

"Sampai bila kau hendak menziarahi dia?" Lan bertanya pada aku, sewaktu kami bertembung di wad Hadi.

"Entahlah, Lan. Selepas kau hilang dulu, dia yang rapat dengan aku. Memang aku tak banyak berkongsi masalah aku, perasaan aku dengan dia macam masa aku dengan kau dulu. Tapi, dia yang ada depan mata, yang selalu ajak teman, ajak bercerita walaupun dia sendiri cakap pun boleh dikira patah katanya.

Aku pernah sakit bila kau hilang tiba-tiba. Sakit sebab aku hilang kawan. Aku tak nak sakit lagi. Takkanlah semua yang bernama kawan itu, datang hanya untuk meninggalkan aku? Tuhan tak kejam. Aku tahu. Kau, Liyana dan Hadi datang dalam hidup aku untuk membuatkan aku rasa memiliki sesuatu.

Setiap seorang daripada kalian beri satu rasa pada aku. Aku sayangkan kau orang. Aku suka berkawan dengan kau. Dengan Liyana. Dan, dengan Hadi. Lebih-lebih lagi bila Hadi tidak ada sesiapa. Kau faham tak, Lan?"

"Aku faham. Dan, aku nampak sikap ambil berat kau pada setiap seorang kawan, sejak dahulu lagi. Sebab itu aku kembali. Aku tak mampu nak padam nama kau daripada ingatan aku. Aku sedar, aku tersilap menjauhi kau hanya kerana perkara bodoh yang aku sendiri tergelincir laku. Dan, kau terima aku semula tanpa mengungkit satu apa pun."

"Baguslah kalau kau faham. Dan, baguslah sebab kita terus jadi kawan. Jadi, kau tak perlu pelik bila aku kata aku akan selalu ziarah Hadi sehingga dia sedar."

"Bagaimana dengan masa depan kau?"

"In-shaa-Allah, tidak akan terjejas."

"Perkahwinan? Bakal suami? Takkan dia izinkan kau ziarah lelaki ajnabi walaupun Hadi dalam keadaan koma?"

"Dia perlu terima yang aku memang mementingkan hubungan kawan. Kawan adalah kawan. Kawan aku juga adalah kawan dia. Seorang lelaki, bila dia memilih aku sebagai isteri, dia kena kenal sikap aku bagaimana. Pendirian aku sendiri bagaimana. Kalau aku nak jatuh cinta dengan kawan aku, dah lama aku buat. Tapi, aku tahu hati aku."

"Dah ada ke, Amy?"

Aku menggeleng. "Tak."

"Aku ada peluang?"

"Kau dah bertunang, kan Lan?"

Lan ketawa. "Tapi, kalau nak pasang dua pun apa salahnya, kan? Kuota ada empat. Apa ada hal!"

Aku menarik senyum. Sedikit terhibur dengan sikap gila-gila Lan. Kawan aku sudah kembali. Dia memang tidak pernah menahan kata-katanya bila dengan aku. Dia bebas bercakap apa yang dia ingin cakap. Aku tidak pernah ambil berat dengan kata-kata Lan, walaupun perkara sedemikian memang pantang bagi seorang perempuan untuk dibuat gurauan.

KAWAN (Completed)Where stories live. Discover now