Bab 7 - Teguran

967 140 47
                                    

AKU tak tahu nak rasa apa dengan semua teguran – Liyana, Hadi ... dan mungkin juga, Tuhan. Dalam amukan perasaan, aku membenarkan juga kata-kata Hadi.

"Manusia, kalau khilafnya ditegur, tapi hati rasa nak marah, itu manusia yang mati hatinya."

Aku tarik nafas, dalam. Kutahan seketika. Kata-kata Hadi yang terputar kembali menghadirkan rasa ...

... sakit.

Perit.

Kebenaran yang tidak sepatutnya aku sangkal. Tetapi, untuk menelan ...

"... tak payahlah minta maaf pada aku. Minta maaf pada diri kau tu dulu. 'Dia' dah lama kau abaikan."

Sekali lagi. Aku menghela nafas. Melepaskan kesakitan yang mencengkam-cengkam di segenap hati.

Aku pandang muka aku di cermin tandas yang suram. Memang pada waktu-waktu ini, tidak akan ada sesiapa pun yang berani menjenguk ke tandas, melainkan ... Ah, mulut! Jangan terlalu celupar. Jarum jam sudah hampir menginjak ke dua belas malam.

Kem pula terletak di tengah-tengah hutan.

Aku segerakan mencuci muka. Rambut yang kuikat satu, kuleraikan. Kusikat dengan jari-jemari tangan sebelum kembali mengikatnya dengan simpulan sanggul yang lebih kemas. Mendedahkan leher jinjang. Turut terpamer dada yang terbentang. T-shirt berkolar bulat, yang agak luas itu bukan baru hari ini kupakai. Tetapi, hari ini, selepas ditegur oleh Aiman Hadi, aku lihat ia amat mengaibkan.

Keluar dari tandas, aku bertembung dengan Lan.

"Kau buat apa di luar dorm waktu-waktu begini?" Aku tanyakan pada Lan.

"Aku patut tanya kau soalan yang sama, Amy."

"Aku cuci muka."

"Di waktu-waktu larangan?"

Tanpa menghiraukan Lan, aku bergerak ke arah dorm perempuan. Tidak perlu aku memerhati sekeliling, acah takut tertangkap dengan pengelola program.  Aku tak takut. Pada aku, aku masih tak salah. Aku keluar untuk bersihkan diri, cuci muka. Bukan buat apa. Di luar waktu larangan, ramai orang. Aku tak suka!

"Amy!"

Aku dapat rasakan Lan mengekori rapat. Tubuhnya berada di sisi kiri.

"Aku nak cakap sekejap."

Semerta langkah kakiku terhenti. Aku pandang dia. Aku pandang sekeliling. Memang kalau kena tangkap, tentu kami dituduh berkhalwat. Berdua-duaan di waktu larangan. Di dalam gelap, walaupun di tempat terbuka. Dah memang hutan namanya. Tandasnya pasti suram. Pasti kedudukannya di belakang.

"Cepat cakap. Aku tak kisah kalau kena tangkap, kena denda sebab aku ingkar arahan keluar ke tandas pada waktu larangan. Tapi, aku tak nak kena tangkap berdua dengan kau, Lan."

"Apa yang kau dan Hadi bualkan petang tadi di tepi sungai?"

"Tak ada apa. Benda tak penting. Kalau kau nak tahu, bila-bila lapang, balik dari kem, aku akan cerita." Aku terkocoh melangkah pergi sebelum terhenti dengan halangan tubuh Lan di hadapan.

"Dia ugut kau?"

Berkerut kening aku.

"Sudah kenapa dia nak ugut aku?" Pelik pula dengan soalan Lan. Nampak macam Hadi sedang ugut aku ke petang tadi? Kalau aku jadi orang yang menonton perbualan kami – aku dan Hadi, petang tadi, aku tak rasa yang aku akan kata Si Hadi itu sedang mengugut aku. Tengok muka dia yang tidak ada riak itu, lebih kepada ... macam aku yang ugut dia!

"Dia pernah berdendam dengan kau, tak mustahil dia akan kenakan kau!"

"Mengarutlah, Lan. Budak macam Hadi bukan ancaman pada aku. Sudahlah. Lupakan sahaja tentang semua ini. Tak ada bendalah!"

"Sejak bila kau pandai berahsia dengan aku, Amy?"

Tanpa sengaja, aku lepaskan keluhan. Jadi rimas pula dengan desakan Lan.

"Lan. Boleh tak kau percayakan aku? Kita bukan baru kenal. Kau tahu aku macam mana. Aku boleh handle budak lelaki, okay! Gangster macam mana pun, aku boleh handle ... In-shaa-Allah. Dan, sudah kenapa kau tiba-tiba ragu dengan kemampuan aku? Tak pernah pula selama ini kau ..."

"Sebab, itu bukan budak lain. Itu ... Hadi. Aiman Hadi."

"Dah kenapa dengan Aiman Hadi? Ada beza ke, dia dengan budak lelaki lain?"

"Ya. Dia ... banyak tarik perhatian kau."

Aku terdiam. Tak pernah pula aku tahu tentang perkara ini. Aku pandang muka Lan. Macam mana Lan boleh ....

Dia perhatikan aku dan Hadi, ke? Bukan ke dia sibuk dengan Dilla dia?

"Amy ..."

Aku tersedar.

"Lan ... pada aku, dia sama sahaja dengan budak-budak lain."

"Janji dengan aku, Amy. Kalau dia ugut kau atau ada buat perkara yang tak tentu, kongsikan dengan aku. Aku tetap kawan baik kau walaupun aku ada seseorang yang lain." Dia berlalu selepas memberikan renungan ke dalam anak mata aku selama lima saat.

"LAN!"

Aku berdiri di antara Lan dengan Hadi. Penumbuk Lan hampir mencecah muka Hadi. Senget juga muka budak Hadi ini nanti. Heh, entah hantu mana merasuk Lan sampai nak angkat tangan pada Hadi. Sedar atau tidak yang Hadi itu rakan sekelas? Sedar atau tidak perlakuan dia itu sudah macam seorang yang tidak waras?

"Kenapa kau tak bagi aku tumbuk dia? Dia dah malukan kau!"

"Apa yang kau cakap ni, Lan?" Dengan kening berkerut, aku menyoal Lan. Sungguh, aku tak faham.

"Dia suruh kau pakai tudung, kan?"

"Ya. Tapi, kenapa kau sampai nak tumbuk dia? Aku okay." Aku jeling Hadi sekilas. Janganlah budak Hadi ini berbunyi. Janganlah dia pecah rahsia yang aku terkesan dan agak marah juga dengan teguran dia.

"Aku tahu kepantangan kau, Amy. Dan, aku percaya kau akan berubah dengan sendirinya satu hari nanti. Tak perlulah dia nak suruh kau, macam dia itu bakal laki kau!" Serentak itu, Lan tikam mata Hadi dengan jelingan tak berkesudahan. Haish, macam abang kandunglah pula Si Lan ni!

Ini yang dikatakan peribahasa Melayu sebagai 'lebih sudu berbanding kuah.' Aku yang kena tegur oleh Hadi, tidak apa-apa, Lan pula yang melenting.

"Lan, aku okay. Apa yang dia cakap itu tidak boleh disangkal. Kita semua tahu itu bukan Hadi yang suruh. Dia hanya mengambil tanggungjwab menyampaikan. Semua itu jelas di dalam al-Quran. Aku, walaupun tidak menutup aurat dengan sempurna – hanya menjaga cara berpakaian, tanpa menghiraukan bahagian atas, aku tetap faham – di antara tuntutan Tuhan dengan tuntutan manusia.

Benda betul, jangan dibangkang. Itu suruhan Tuhan, bukan Hadi! Jadi manusia yang lebih bijaksana, Lan. Kalau sudah salah, tetap salah. Jangan jadi manusia yang cuba menegakkan benang basah."

Aku lihat, gelombang di dada Lan semakin mengendur.

Hadi?

Tidak beriak.

KAWAN (Completed)Where stories live. Discover now