Bab 12 - Batu geliga

925 149 77
                                    

"MAAF, kelas. Hari ini Sir Ahmad ada kecemasan. Kelas Bahasa Melayu terpaksa ditunda. Kalian boleh keluar untuk makan atau bersantai sementara menantikan kelas seterusnya."

"Boleh saya tunggu di dalam kelas?"

Semerta aku menoleh ke belakang.

Suara Hadi.

"Tak boleh Aiman Hadi. Saya terpaksa kunci kelas ini bagi mengelakkan sebarang konflik atau isu keselamatan."

Tiada balasan atau bangkangan daripada Hadi.

Puan Azura meneruskan kata-kata, "Sebagai memohon maaf, Sir Ahmad minta saya serahkan voucher McDonald, bernilai RM10 untuk setiap seorang. Boleh ditunaikan di restoran McDonald, di aras satu, bangunan ini. Selamat menjamu selera."

Seorang demi seorang mula menolak bangku, bangun dan mencapai voucher dari tangan Puan Azura. Masing-masing keluar dari kelas dengan wajah ceria. Siapa sahaja yang tak suka bila tak ada kelas? Semua suka. Terlebih suka bila dapat pula voucher McDonald RM10. Fuh!

Aku membiarkan rakan-rakan sekelas bergerak dahulu. Aku suka untuk menjadi yang terakhir. Tetapi aku silap. Aiman Hadi masih duduk sewaktu aku sudah pun berdiri.

"Aiman Hadi?" Puan Azura mula bersuara.

Aku yang baru hendak melangkah keluar terus mati langkah. Voucher McDonald RM10, aku sumbat ke dalam beg sandang. Mata melihat ke wajah Aiman Hadi yang begitu lemah membawa tubuh tingginya. Wajah yang biasanya sukar dibaca riaknya, kini amat mudah ditebak. Dia sedang berwajah muram. Pelik betullah si Aiman Hadi ini!

Sebaik mata dia memandang pada aku, aku berpaling dan mempercepatkan langkah. Kejadian pagi tadi masih lagi membuatkan aku tidak mampu berlawan pandang dengan Hadi.

Aku terus berjalan meninggalkan kelas, menelusuri koridor. Bunyi bilik dikunci tertangkap di pendengaran sebelum ketukan tumit kasut Puan Azura menjauh. Pastinya cik puan itu melangkah ke pejabat. Arah yang bertentangan dengan pintu keluar yang sekarang berada di hadapan aku.

"Amy."

Terkujat aku sekejap. Berderau darah. Betul ke pendengaran aku yang Aiman Hadi sedang memanggil aku? Ya Allah, tenang-tenang sahaja Amy. Pusing dan jawab sahaja. Buat-buat lupa perkara pagi tadi. Tetapi, tubuh mengkhianati. Terus berdiri tegak tanpa bergerak. Aku tak sanggup nak pusingkan badan.

"Amy."

Terasa haba seorang manusia sudah berada di tepi.

Aku menahan nafas.

"Ya?" Aku jawab bersahaja. Ditambah dengan riak wajah selamba.

"Kau nak ke mana?" Itu yang Hadi tanya. Dia macam tak ingat kisah pagi tadi bagaimana dia memalau 'terima kasih', aku. Sama macam dia palau soalan aku masa kes plastik roti dulu.

"McDonald. Redeem voucher." Aku jawab sepatah-sepatah.

"Aku ikut kau."

Aku pandang muka dia. Meminta penjelasan. Wajah tidak beriak itu tampak muram.

Tanpa berkata apa, dia tiba-tiba menarik beg yang tersandang di bahu aku. Tertarik juga tubuh kecil aku.

"Jom, cepat. Nanti habis waktu," katanya membuatkan aku jadi keliru. Kita orang kawan ke?

Suka-suka hati dia tarik aku. Walaupun tak menyentuh tubuh, hanya menarik pada beg; nampak macam kita orang ini kawan baik. Lan yang berkawan baik dengan aku pun tak pernah buat macam ini.

Hadi hanya melepaskan pegangan pada beg aku sebaik kami tiba di hadapan pintu McDonald. Dia pandang aku dengan bisu.

"Kenapa?" Seram pula aku dengan sikap Hadi.

KAWAN (Completed)Where stories live. Discover now