Hadi Amy Ramadan 2023

340 30 14
                                    

Hai, korang! Lama saya tak menulis di Wattpad. Hari ini ada seseorang mesej saya. Minta saya tulis bab Hadi Amy Ramadan 2023. Jadi, inilah sedikit hasilnya. Sekadar mengasah minda. Dah lama tak mengarang. Dah lama tak tengok karya sendiri. Ingat-ingat lupa dah. Tulis ni pun ikut rasa, ikut kepala je. Harap dapat mengubat rindu korang pada Hadi dan Amy. Selamat membaca.

***

"Abang cepatlah, dah nak azan isyak ni!" Amy terpaksa menjerit dari ruang tamu. Lama sangat Hadi bersiap. Mengalahkan anak dara!

"Ya, datang. Abang sakit perutlah tadi." Hadi turun dengan langkah tenang. Tak terkocoh sikit pun walaupun jam sudah hampir menunjukkan yang azan isyak bakal berkumandang bila-bila masa sahaja.

Amy pandang ke arah tangga. Terkebil-kebil matanya.

"Jom!" Hadi bagi isyarat tangan sambil dia menyarung kopiah. Kaki dah bergerak ke arah pintu. Kunci diambil. Sebaik selipar disarung, dia memandang pada Amy yang masih terkebil-kebil.

"Cepatlah. Tadi jerit-jerit. Abang dah siap. Amy tunggu apa lagi?"

"Sini kejap." Amy buat isyarat jari minta Hadi masuk semula ke dalam rumah.

Wajah Hadi berkerut. Tetapi kakinya melangkah masuk juga ke dalam rumah. Sampai sahaja di tengah ruang tamu, tubuhnya diterpa oleh Amylea.

"Allahuakbar. Batal wuduk abang. Dah kenapa ni? Aduh!" Tubuhnya didakap erat sebelum pipinya dicubit-cubit oleh Amy.

"Abang hensem sangat pakai baju Melayu dengan kain pelekat." Amy ketawa. Puas dapat memeluk Hadi dalam pakaian baju Melayu.

"Dah, jom ambil wuduk balik. Macam-macam, ya! Balik nanti kena."

Amy tanggalkan telekung. Bergegas ke bilik air. Mujur rumah mereka ada dua bilik air di ruang bawah. Cepat sedikit proses memperbaharui wuduk. Amy masih tersenyum. Bila mata bertembung dengan mata Encik Suami, dia ketawa. Wajah Hadi yang awalnya geram, kini membalas senyuman si isteri dengan mata berbicara, 'Nakal!'

Sewaktu Amy menyarung semula telekung, azan isyak terlaung dari surau di hadapan rumah. Cepat Amy melangkah keluar, sementara Hadi mengunci pintu rumah. Mereka beriringan ke surau untuk solat isyak seterusnya solat tarawih dan solat witir.

Selesai solat, sewaktu Amy melangkah keluar dari tempat solat muslimah, dia nampak Hadi juga keluar dari bahagian lelaki. Amy tersenyum. Hadi masih segak. Melihat si isteri, Hadi juga tersenyum. Mereka beriringan pulang.

"Abang nak air panas? Orang bancuhkan."

"Kita kongsi? Takut tak habis."

"Okey." Amy simpan telekung. Hadi pula  terus ke dapur menguruskan sampah. Diikat dan dibawa keluar. Dibuang ke dalam tong sampah di luar rumah. Memang itu rutinnya. Dia mengunci pagar rumah. Ramadan tahun ini hanya tinggal mereka berdua di rumah.  Sakinah sudah masuk universiti. Tinggal di kampus. Jannah dan Mawardah masing-masing di sekolah berasrama penuh.

Amy menghidangkan air teh limau panas.

"Minum sekali," ajak Hadi.

"Panas. Abang tahu kan, orang tak boleh minum panas-panas. Abang minum dulu. Nanti dah separuh, orang minum."

"Sengaja kan, nak minum lebih abang. Sebab tu angau. Dah nak ke surau, boleh pula main paut-paut. Terbatal dah air sembahyang."

Amylea ketawa. Dia yang sudah duduk di sebelah Hadi terus memeluk tubuh suami yang masih berbaju Melayu berkain pelekat. "Itulah, siapa suruh hensem sangat. Bukan sebab minum sisa abang pun, tapi sebab memang aura Aiman Hadi tu melampau!"

"Iya? Emm ... macam tak caya je. Hensem, eh?" Aiman Hadi menarik senyum.

"Hah, jangan nak riak."

"Tapi, kan ... dulu orang tu macam tak pandang je. Sibuk dengan Lan dia."

"Eh, eh ... mengungkit. Bukan tak pandanglah, ayang ... pandang. Dah jatuh pun. Tapi, pendam. Simpan. Takutlah nak jatuh pada orang macam Aiman Hadi. Macam serial killer yang tak ada perasaan. Takut terkecewa tergolek-golek dalam longkang. Buat-buatlah macam tak rasa apa. Kalau rasa tu menjengah, cakap pada diri, 'Bukan, bukan. Jangan perasan. Tak boleh jatuh. Dia manusia beku. Nanti kau sakit.' Hah, macam tu tau!"

Tiba-tiba, Aiman Hadi meletakkan cawan berisi teh limau panas. Dia memusingkan tubuhnya menghadap Amylea. Terkunci mulut Amylea. Wajah Aiman Hadi hilang senyum. Amy dah risau. Dia ada salah cakap, ke? Kenapa Aiman Hadi tiba-tiba berubah riak? Dia nak marah, ke?

"Betul?" Tiba-tiba Aiman Hadi bertanya. Matanya merenung dalam pada anak mata Amylea.

"Aaa ... a ... apa yang betul?" Tergagap Amylea. Aura membunuh Aiman Hadi tiba-tiba muncul.

"Betul dulu masa kita berkawan, Amy dah jatuh pada abang sebelum abang jatuh pada Amy?"

Wajah Amylea bertukar merah. Cepat dia menunduk. Walaupun Aiman Hadi sudah berbelas tahun menjadi suami, tetapi sesekali lelaki ini menjadi Aiman Hadi yang muda remaja, yang pandangan dan suaranya mengocak jiwa, hati Amylea jadi tak tentu. Tak boleh nak mengaku. Malu!

Aiman Hadi mengengsot. Tubuhnya semakin rapat. Dua bahu Amylea disentuhnya, sebelum dia menunduk dan menjengah ke wajah si isteri yang menunduk. Dan tubuhnya dijatuhkan. Kepala sudah berada di atas riba Amylea. Wajah mereka bertentang. "Cakap."

"Tak naklah, bang. Ish, dah kenapa nak imbas cerita lama ni. Dah kahwin, dah ada anak besar pun! Tak payahlah tanya." Amylea mengalihkan mukanya, memandang ke sisi. Semakin merah bila Aiman Hadi merenung wajahnya dari atas riba.

"Jawab." Sepatah Aiman Hadi bersuara. Tegas tapi dengan wajah menyakat!

"Abang!" Amylea pukul bahu Aiman Hadi. Dia tahu Encik Suami ni sedang menyakat.

"Ya, ayang!" Aiman Hadi sudah tergelak. Dia bangun daripada riba Amylea. "Sini." Ditarik tubuh si isteri agar bersandar di dadanya. Rambut Amylea yang jatuh ke muka, dialihkan. Dahi si isteri dikucup. "Sukalah bila Amy jatuh pada abang. Haih, tak sangka!"

"Tak payah 'tak sangka' sangat. Ramai je budak perempuan kat sekolah tu jatuh pada abang masa tu."

"Tak kisah. Lantaklah dia orang. Yang sorang ni je yang abang kisahkan. Ingat senang ke nak tarik perhatian Amy. Dahlah banyak saingan. Bengang tau tahan perasaan. Nak pergi U pun tak senang. Kena ikut orang tu masuk form six. Lepas tu stalk dia pilih U mana. Kena check juga hubungan dia dengan 'ex-kawan baik' dia tu macam mana. Kalau agak-agak positif, kena fikir jalan nak jadikan negatif. Tak senang, yang!" Aiman Hadi mengada.

Amylea mengukir senyum. Dia mendongak memandang wajah cemberut Aiman Hadi. "Terima kasih, jatuh pada orang. Orang dah hampir reda dengan mana-mana jodoh. Sebab orang tak nampak pun ada orang yang nak kat orang. Yalah, kawan baik yang orang rasa jodoh orang pun macam tak nampak orang. Bila dia dah nampak, orang pula rasa macam ... tak nak dah. Rupa-rupanya, Allah nak bagi yang terbaik. Orang sayang abang sangat-sangat. Bulan Ramadan ni, orang nak doa banyak-banyak biar Aiman Hadi melekat je kat orang. Mata tu biar tak nampak perempuan lain. Hati tu biar kat isteri yang sorang ni je!"

"Hahaha ... doa orang perempuan ni lain macam ya, yang?"

"Hah, jangan main-main!"

"Memang dah melekat kat dia pun. Abang pun nak ambil kesempatan Ramadan ni untuk doa agar isteri abang sihat, cantik, dan terikat hati dengan abang. Penat yang kalau nak fikir sesuatu yang extra. Cukuplah ayang sorang. Yang sorang ni pun boleh buat jantung tak duduk diam. Kalau dua tiga, mati cepat agaknya abang ni, yang."

"Janganlah sebut mati. Orang tak nak hilang Aiman Hadi."

"Alaah ... okey, okey. Dah, air teh limau tu dah lama sejuk. Sini, minum." Aiman Hadi suakan cawan air teh limau ke bibir Amylea. Sabar dia menanti si isteri mencicip."

"Dah, abang pula."

"Suap?"

Amylea ketawa, "Nak berbalas-balas pula. Ish, ngada betul Aiman Hadi ni."

Dan, sepanjang malam mereka berbual. Tentang masa lalu dan masa depan. Salah satu sebab mengapa Aiman Hadi memilih Amylea, wanita ini ada sahaja bicaranya. Bila sudah menjadi isteri, Aiman Hadi terikut dengan cara Amylea. Ada sahaja topik yang mereka bualkan. Ada sahaja persoalan yang wanita kesayangannya ini kemukakan. Dan, Amylea pula suka bila Aiman Hadi mengada-ngada dengannya, di dalam rumah. Di luar, watak Aiman Hadi serius. Seolah-olah psiko yang mencari mangsa untuk dibelah-belah tubuh!

KAWAN (Completed)Where stories live. Discover now