Bab 18 - 'Kau kawan aku'

1K 153 96
                                    

"AKU nak kau dengar."

Aku jadi serba salah. Aku ini banyak tugasan yang belum selesai. Tugasan yang bukan satu dua, tapi banyak perkara. Yang setiap satu di antaranya memerlukan aku membaca, mengolah kefahaman dan menterjemah ke dalam bentuk karangan. Aku perlu cari, baca dan catat juga setiap rujukan, petikan dengan berhati-hati. Perlu mengaitkan setiap point yang kuketengahkan dengan isu-isu tertentu. Banyak dan renyah! Setiap saat aku kira amat berharga.

Tetapi ...

Harga sebuah hubungan yang aku panggil kawan juga masih kuhitung peri penting dan ketinggian nilainya.

Selepas Lan dan Liyana, yang selalu ada dengan aku adalah Hadi. Walaupun aku dikelilingi oleh ratusan rakan lain yang memang baik dengan aku, yang tidak pernah sepi daripada menyokong hidup aku, tetapi dalam ratusan itu perasaan dekat dan sentiasa wujud di benak, pada setiap sela waktu, tidak semua.

Hanya Hadi yang ada.

Di mana-mana.

Dia ... kawan aku.

Walaupun dia tak pernah sama macam Lan yang selalu menelefon aku. Hadi tidak pernah langsung menelefon aku kalau bukan ada urusan penting. Tidak pernah WhatsApp aku ajak ber'chatting'. Mungkin sebab sifat Hadi sendiri yang tidak suka bercakap banyak, yang membuatkan dia tidak melakukan semua itu.

Tetapi, kali ini, dia menelefon aku untuk satu perkara yang aku tidak nampak kepentingannya pada aku. Tetapi, mungkin ia amat penting pada dia.

"Ya, Hadi. In-shaa-Allah, aku dengar jika kau nak aku dengar."

Hadi mendiamkan diri di hujung talian. Tiada kedengaran hembusan nafas, atau sebarang bunyi suara berbentuk kata. Aku menghitung saat. Satu. Dua. Tiga. Empat dan ... lima.

"Aku akan telefon balik. Siapkan kerja kau, dahulu."

Hadi putuskan talian sebelum sempat aku bercakap.

Kalau aku baru kenal Hadi, memang tidak akan kujawab lagi panggilannya. Suka-suka hati dia telefon, suka-suka hati juga dia putuskan tanpa sebarang salam. Hadi, Hadi. Nasib baik aku sudah kenal sikap kau. Dan, nasib baik, kita kawan!

MALAM itu, pada jam 11 malam, telefon aku bercahaya. Memang aku sering tidur lewat untuk masa-masa membaca. Menenangkan jiwa sebelum melelapkan mata. Membaca buku adalah perkara yang amat menenangkan bagi aku.

Aiman Hadi di talian.

"Dia jalan seorang diri. Waktu yang sama macam yang sekarang ini." Hadi memulakan cerita. Tanpa mukadimah bertanya sama ada aku bersedia untuk mendengar atau tidak. Juga tidak mengisahkan sama ada aku sudah mahu tidur atau tidak. Aku tidak diberikan pilihan. Jadi, aku diam dan hanya mendengar.

"Aku tak tahu nak buat apa. Mulanya, aku teruskan perjalanan aku. Tapi, bila aku tengok jalan di hadapan terlalu sunyi, aku jadi tak sampai hati. Aku berpatah balik. Aku tanya dia, kenapa dia boleh berada di sini pada waktu yang tidak sepatutnya. Dia berkata bahawa, dia bergaduh dengan tunangnya, yang telah diamanahkan oleh ayahnya untuk menghantar dia pulang ke kolej. Akibat pertengkaran itu, dia meminta diturunkan di tempat yang tidak dikisahkan bagaimana keadaannya pada waktu itu. Dia hanya ingin menunjukkan protes. Tetapi, kemudian tersedar yang dia tersilap percaturan. Dia ketakutan. Teguran aku padanya juga membuatkan dia jadi tidak tentu hala. Dia ragu dengan diri aku yang tiba-tiba mendekati dia."

Hadi terdiam sebelum kembali menyambung. "Amy, aku ... tak tahu nak buat apa. Kalau aku jalan berdua dengan dia sambil menyorong motosikal aku, akan lebih lewat jadinya. Aku suruh dia bawa motosikal aku, dia tidak pandai. Dia bukan macam kau. Pilihan untuk membuatkan semua itu berlalu dengan cepat hanyalah dengan membenarkan dia membonceng di tempat duduk belakang motosikal aku. Aku bagi beg aku untuk diletakkan di antara tubuh aku dan tubuh dia. Kami tak bersentuhan langsung. Kau percayakan aku, kan Amy?"

KAWAN (Completed)Where stories live. Discover now