Bab 5 - Roti coklat & blueberry

1K 138 41
                                    

SUKU tahun pertama, sebelum disibukkan dengan segala macam hal berkaitan peperiksaan SPM, kami semua diberi peluang untuk menghadiri Kem Santai Minda, Penuh Jiwa. Kem yang dikatakan menjauhkan kami seketika daripada pelajaran.

"Amy."

Lan.

"Kau boleh tolong aku, uruskan pembahagian makanan, tak?"

Dia hentikan langkah aku di pintu bas. Tanpa bersoal jawab, aku mengangguk sekali lalu terus memanjat tangga bas. Aku meletakkan beg sandang belakang aku di bangku paling hadapan. Bangku pertama, di belakang tempat duduk pemandu. Di situ, sudah ada Liyana yang duduk menantikan aku. Memang kami berjanji untuk duduk sekali.

"Aku nak tolong Lan." Hanya itu yang aku beritahu pada Liyana. Tanpa menanti reaksi atau kata balasnya, aku turun semula dari bas.

Hampir aku berlaga dengan Hadi di tangga bas. Dia yang baru hendak memanjat masuk hanya beriak selamba. Aku bergerak ke tepi, membuka laluan. Dia masuk tanpa berkata apa. Ini yang aku katakan tidak ada adab. Senyum tidak. Sepatah 'terima kasih', memang tak payah nak harap!

Kes lama, aku anggap selesai selepas dia menerima pukulan rotan di telapak tangan. Kes di kantin sekolah. Kes bungkusan plastik roti yang tercampak di atas lantai. Betul-betul di hujung kasut aku. Yang diabaikan dia, sebagaimana dia mengabaikan soalan aku yang bertanyakan adakah sampah itu miliknya.

Kerana kebiadabannya tidak mengutip sampah sendiri, malah memulaukan aku yang menyoal dia yang seakan manusia bisu, aku tulis nama dia. Lalu, kuserahkan kepada guru disiplin, Cikgu Siva. Sewaktu nama dia dipanggil ke bilik disiplin, aku turut berada di sana. Dia pandang aku dengan pandangan tajam. Tetapi, bila diminta membela diri oleh Cikgu Siva, dia hanya berdiam, mematung. Malah, bila telapak tangannya dilibas rotan buluh halus milik Cikgu Siva, mukanya bersahaja. Tangannya tidak dianjak langsung.

Sebaliknya, aku pula yang memejam mata di saat libasan itu menyentuh kulit telapak tangannya. Malah, entah mengapa tersentap hati aku saat rotan buluh itu mencecah telapak tangan yang menadah tanpa sedikit pun tampak ingin diubah.

Libasan kali kedua, aku kuatkan hati. Aku ingin menyaksikan sendiri kekebalan seorang Aiman Hadi. Pada aku, kekebalan Aiman Hadi itu bersalut kedegilan. Mungkin juga penuh dengan salutan dendam. Sengaja agaknya dia menahan setiap inci kesakitan libasan. Sakit hati dan dendam terhadap pengawas macam aku itu kujangkakan mungkin lebih tebal.

Libasan ketiga.

Kali ini fokusku tidak pada rotan buluh yang melibas laju. Tetapi, lebih kepada seraut wajah milik jejaka tinggi, Aiman Hadi.

Aku juga, baru perasan, sepanjang dia menerima libasan itu, dia rupa-rupanya telah memaku pandangan ke muka aku. Maka ini bermakna, dia telah melihat riak sakit, sentap dan riak penuh persoalan yang terpapar di wajah aku semenjak bermulanya libasan ke atas telapak tangannya.

Aku.

Pengawas yang telah membuatkan telapak tangannya menerima tiga libasan rotan.

Ironinya, aku juga yang tanpa sedar telah memapar riak wajah kesakitan sedangkan yang menerima 'sentuhan' rotan adalah dia.

"Amy!"

Laungan namaku oleh Lan, membuatkan aku tergeleng. Mudah benar aku diheret ingatan kejam hanya kerana berpapasan dengan Aiman Hadi!

"Aku bagi air. Kau bagi roti." Sebaik aku sampai di hadapannya, Lan terus hulur kotak yang berisi roti pelbagai perisa.

"Tak nak gabungkan ke, Lan? Senang sikit nak hulur roti dan air sekali. Boleh gerak cepat sikit. Kau ambil bahagian belakang, aku di bahagian depan."

"Kalau letak air mineral sekali dalam kotak kau, nanti berat. Payah kau nak angkat. Lenguh nanti."

Tersenyap aku dengan alasan Lan. Sudah lama aku tidak nampak sisi prihatin Lan pada aku. Ya. Semenjak dia bersama dengan Dilla. Kami jarang berhubung seperti dahulu. Mungkin, masanya, dan bil telefonnya, sudah dikhaskan untuk Dilla. Dilla lebih penting. Aku hanya kawan. Yang dia tahu, tidak akan hilang.

"Tak apa, Lan. Aku okay. Beginilah. Kalau kau rasa, kotak aku akan berat dengan air mineral, aku angkut sikit dahulu. Bila aku dah edar sebahagian, aku akan turun ambil lagi.

"Tak, Amy. Kita ikut cara kau, tapi, bahagian aku, aku akan muatkan lebih." Dia tersenyum.

Dan, aku membalas senyuman itu dengan senyuman juga.
.
.

AKU dan Lan mula membahagi-bahagikan makanan untuk rakan-rakan di dalam bas kami. Ada empat buah bas kesemuanya. Setiap bas, mewakili satu kelas yang berjumlah dalam 25 orang. Paling ramai pun, 30 puluh orang satu kelas.

"Ini, kita punya." Aku hulur pada Liyana dua roti dan dua botol air mineral. Menginjak ke barisan kedua, aku tergamam.

Hadi!

Dia memilih untuk duduk di bangku betul-betul di belakang bangku aku dan Liyana. Di sebelahnya seorang lagi budak kelas kami, namanya Mawi. Budak berketurunan Iban. Berasal dari Sarawak. Tetapi, sudah lebih lima tahun menetap di Semenanjung. Ayahnya guru besar sekolah rendah berhampiran. Budak yang lebih kurang juga sikapnya dengan Hadi. Penyengap! Di dalam fikiran aku, mungkin Hadi ingin dekat dengan Liyana. Ya, mungkin.

Aku hulurkan dua roti coklat dan dua botol air mineral pada kedua-duanya. Yang menyambutnya ialah Hadi, kerana dia yang duduk di sebelah laluan. Mawi duduk di sebelah tingkap.

"Aku tak makan roti coklat." Hadi menghulur kembali sebungkus roti coklat yang dia punya.

Aku terkejut. Fikiran tiba-tiba berputar hebat, menyelak lembaran kisah setahun yang lalu. Hati dihenyak rasa. Aku tertanya, 'Benarkah, dia tidak makan roti coklat?'

"Sejak bila?" Entah kenapa, ringan mulut aku bertanya.

Sedikit berubah riak wajah Hadi Mungkin tidak percaya aku bertanyakan soalan berbunyi agak peribadi.

Tetapi kemudian, cepat dia mengawal riak. "Sejak kecil."

"Apa jadi kalau kau makan juga?"

Dia menggeleng.

Aku jungkitkan kening. Aku inginkan jawapan.

"Loya. Muntah."

Aku tarik nafas dalam-dalam. Sarat. Padat rasa yang menghimpit hati.  Aku tidak pasti sama ada Hadi masih menyimpan memori plastik roti. Tapi, bila dia menjawab soalan aku tadi, aku rasa sedikit lega. Mungkin dia lupa.

"Hadi, kau nak roti yang lain?" Aku bertanya dalam getar suara yang tertahan. Hati dan perasaan aku kini sudah dihimpit dengan resah.

"Ada roti apa?"

Aku unjukkan kotak di tangan. Dia memilih. Aku nampak dia ambil roti Blueberry.

"Hadi."

Dia buat tak endah. Renungan aku pada dia itu mungkin membuatkan dia resah. Tapi sedaya mungkin dikawalnya sebelum akhirnya dia bersuara, "Sudahkan kerja kau. Nanti lambat kita gerak."

Aku menghela nafas lalu menyegerakan tugas. Bila pandangan aku bertembung dengan Lan, dia angkat kening. Dia nampak aku berdiri lama di sebelah Hadi tadi. Aku tahu, ada yang dia hendak tanya tapi keadaan kami tidak mengizinkan. Bas akan bergerak sebentar lagi. Aku dan dia perlu segera menyudahkan kerja dan duduk di tempat masing-masing.
.
.

SEPANJANG perjalanan, otak aku ligat memutar ingatan. Kisah plastik roti dan Aiman Hadi mengganggu konsentrasi. Tidak pernah aku rasa terganggu sebegini.

"Awak, okay?" tanya Liyana yang melihat aku hanya berdiam semenjak bas berjalan. Mata aku tertancap di laluan. Tetapi, fikiran aku sama sekali hilang dengan biasan kisah tahun lalu.

"Okay." Lantas, kupejamkan mata. Biarlah aku memutar kisah dalam gelap. Aku tak suka orang nampak keserabutan pada aku. Aku seorang yang boleh mengawal masalah. Ya, itu yang selalu aku katakan pada diri sendiri. Ayat motivasi agar aku tidak kalah dengan masalah. Aku akan kawal 'dia' – masalah. Bukan 'dia' yang mengawal aku.

Aku terlena dibuai hayun tubuh bas. Dibobok wajah Aiman Hadi. Juga selang-seli gambaran roti coklat dan blueberry!

KAWAN (Completed)Where stories live. Discover now